Sunday 20 September 2015

Imej Che Ta tak calar walau dihentam


Biarpun dihentam Edry dan orang ramai, Che Ta tidak berasakan imejnya tercalar.

MINGGU lalu industri hiburan kecoh seketika apabila pelakon Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta memutuskan untuk tidak lagi meneruskan tugasnya sebagai pengkritik kepada pelajar-pelajar Akademi Fantasia 2015 (AF2015).

Semuanya gara-gara berasa terhina dengan teguran secara terbuka Pengetua AF2015 iaitu Edry Abdul Halim terhadapnya kerana mengkritik peserta-peserta program realiti itu.

Selepas itu, Edry dalam satu kenyataannya mengalu-alukan tindakan Che Ta menarik diri dalam program berkenaan kerana merasakan aktres itu tidak layak memikul tugas pengkritik yang diberikan.

Ironinya, pengkritik tetap AF2015 iaitu Datuk Ramli MS telah membidas sikap Edry yang menegur Che Ta di hadapan khalayak.

Menurut Ramli MS, Edry dan penonton salah faham mengenai tugas Che Ta yang hanya menjalankan peranan sebagai pengkritik awam bukannya seorang pakar muzik seperti dirinya.

Sensasi Bintang berkesempatan mendapat komen balas Che Ta baru-baru ini berhubung kenyataan Ramli MS.

Pelakon jelita itu menyifatkan kenyataan Ramli yang menyokongnya sebagai satu tindakan yang murni.

Kata Che Ta, Edry dan orang ramai yang menegur dan menghentam cara kritikannya kepada pelajar-pelajar AF2015 tidak tahu posisi sebenar yang dipikulnya.


“Saya berterima kasih dan menghargai komen Datuk Ramli yang memahami situasi ini. Sejujurnya, saya mewakili penonton-penonton di konsert mahupun di rumah yang memberi komen secara jujur daripada hati,” ujarnya ketika dihubungi Sensasi Bintang.

Biarpun dihentam tidak pandai mengkritik, namun ia tidak melemahkan Che Ta untuk terus berada dalam industri hiburan.

Che Ta juga tidak berasa imejnya tercalar selepas kejadian tersebut. Baginya, orang yang sepatutnya malu adalah pihak yang mula-mula mencipta kontroversi tersebut.

“Saya tidak berasa imej tercalar dengan apa yang terjadi. Bagi saya, pihak tersebut (Edry) yang sepatutnya berasa malu dengan tindakannya,” ujar Che Ta.

Seperti Akademi Fantasia sebelum ini terdapat AF undi masuk pelajar-pelajar AF yang terkeluar, tidak mustahil perkara yang sama terjadi pada pengkritik sepertinya.

Ditebak andai dirinya diminta menjadi pengkritik AF2015 kembali, Che Ta ada jawapannya.

“Tak payahlah. Lagipun Ahad ini (hari ini) saya akan bercuti ke Sydney, Australia selama seminggu,” kongsinya yang kini sedang sibuk mempersiapkan koleksi-koleksi jubah padusi miliknya untuk pertunjukan Minggu Fesyen Kuala Lumpur.

Malah, pada bulan depan juga Che Ta bakal mengeluarkan koleksi tudung baharu di bawah label Zeraenrawdah.

“Alhamdulillah walaupun pihak tersebut (Edry) mengatakan saya tidak pandai berlakon dan mengacara tetapi rezeki saya sangat murah.

“Saya sedar bakat yang ada tidak seberapa tetapi saya bangga dengan diri ini,” ungkapnya menutup perbualan.

- Imej Che Ta tak calar walau dihentam

SHARING GOOD

0 Comment to "Imej Che Ta tak calar walau dihentam"

Post a Comment