Monday 21 September 2015

Amelina #Yukdangdut hidupkan irama dangdut


MAJLIS pelancaran #Yukdangdut turut diserikan dengan persembahan barisan artis dangdut yang pernah mencipta fenomena suatu ketika dahulu, (dari kiri) Haiza, Ani Maiyuni, Amelina dan kumpulan Eva.

DEMI merancakkan kembali irama dangdut dalam kalangan penonton di negara ini, Broadway Media Sdn. Bhd. berbesar hati menganjurkan kempen #Yukdangdut di saluran Astro Indopek, Bintang (141) dan Pelangi (142).

Menyajikan pelbagai program dan drama hiburan menarik dari negara jiran, Indonesia, kempen tersebut dibawa khusus untuk tontonan pelanggan siaran Indopek bagi menyemarakkan kembali alunan muzik dangdut yang pernah mencipta fenomena tersendiri suatu ketika dahulu.

Menurut Pengurus Besar Indopek, Shafirul Nizam Haron, kempen tersebut dilancarkan dengan menyasarkan golongan penonton yang terdiri daripada semua lapisan umur. Ini termasuklah golongan muda yang rata-rata tidak sempat merasai zaman kegemilangan muzik dangdut di negara ini.

“Kempen ini dibawakan khas menerusi saluran Indopek Pelangi dan Bintang untuk kembali menghidupkan keghairahan muzik dangdut ini di negara kita.

“Sejak sekian lama irama dangdut diketepikan atas alasan sudah tidak relevan dengan masa kini, kami di pihak Broadway Media sentiasa mencari alternatif bagi memastikan genre ini tidak mati.

“Hal ini kerana suatu ketika dahulu irama dangdut pernah menguasai dunia hiburan tempatan dengan kelompok peminat yang cukup ramai, terutamanya pada zaman Amelina, Mas Idayu dan Ani Maiyuni,” ujarnya sewaktu sidang akhbar majlis pelancaran kempen tersebut di RedBox, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara program yang terpilih untuk tayangan di saluran Indopek Bintang adalah seperti rancangan realiti Kontes Dangdut Indonesia 2015 (KDI) yang bersiaran setiap Sabtu dan Ahad pukul 4 petang bermula 26 September ini.



PEMILIHAN Amelina sebagai duta kempen #Yukdangdut kerana bekas Ratu Dangdut itu punya aura tersendiri.

KDI merupakan program realiti terkenal di Indonesia yang mencari penyanyi dangdut baharu. Program tersebut menampilkan barisan penyanyi dangdut sensasi antaranya Julia Perez, Narji, Gilang Dirga, Ussy Sulistiawati dan Bianca Liza selaku pengacara.

Bersiaran sebanyak 54 episod, KDI membariskan seramai 28 peserta yang bakal berentap pada konsert mingguan. Persembahan diadili oleh penyanyi Ayu Ting Ting, Erie Suzan, Bertha, Iyeth Bustami dan Ikke Nurjannah.

Mengisi saluran Bintang juga adalah Hijrah Selebriti setiap Jumaat (11.30 pagi), Late Night Show setiap Sabtu dan Ahad (11.30 pagi) dan Indonesia Lawak Klub setiap Selasa dan Jumaat pukul 12 tengah hari.

Bagi saluran Pelangi pula, antara program terbaik yang disajikan adalah The East setiap Sabtu dan Ahad (6 petang), Berpacu Dalam Melodi setiap Isnin hingga Jumaat (6 petang), 86 setiap Sabtu dan Ahad (8.30 malam) dan Sinema Pelangi setiap Sabtu pukul 3 petang.

Sementara itu, pemilihan penyanyi dangdut, Amelina sebagai duta kempen tersebut dilihat relevan dengan pencapaian yang pernah diraih penyanyi kelahiran Negeri Sembilan tersebut sewaktu era kegemilangannya dahulu.

Selain menyifatkan ia sebagai rezeki, Amelina, 41, berkata, pemilihannya selaku duta bagi kempen tersebut adalah peluang untuk dirinya memainkan peranan menghidupkan kembali irama dangdut yang semakin dipinggirkan.

“Saya percaya, masih ada dalam kalangan masyarakat kita yang meminati irama dangdut. Cuma, mungkin disebabkan perasaan malu dan sering dilabelkan hiburan kelas bawahan membuatkan mereka malu untuk mengakuinya.

“Malah, pengunduran artis dangdut yang seolah-olah tidak diberi ruang untuk mengetengahkan genre ini juga antara salah satu sebab mengapa dangdut semakin terpinggir, sedangkan suatu ketika dahulu ia mampu menarik peminat dalam kelompok yang cukup besar.

“Dengan program-program terbaik seperti ini, kami pembawa lagu bergenre dangdut sangat berharap agar ia mampu membantu menghidupkan kembali nafas irama itu dalam kalangan penonton.

“Mungkin suatu hari nanti, kalau sambutan yang diterima agak baik, giliran kami pula untuk muncul dalam program seperti ini bagi mewakili negara sendiri,” ujarnya.

- Amelina #Yukdangdut hidupkan irama dangdut

SHARING GOOD

0 Comment to "Amelina #Yukdangdut hidupkan irama dangdut"

Post a Comment