Monday 21 September 2015

Jay Abdullah tidak tiru Jamal Abdillah


TIDAK mahu disamakan dengan Raja Pop Jamal Abdillah, Jay Abdullah mempunyai gaya tersendiri dari segi nyanyian.

MASIH lagi berstatus hijau dalam lapangan nyanyian tanah air, Jay Abdullah membuktikan kepada khalayak bahawa masih lagi ada kesinambungan serta kelahiran penyanyi yang bersuara ‘jantan’ seperti Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah.

Tidak mahu berselindung bahawa dirinya banyak terpengaruh dengan aura yang ditonjolkan oleh pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu, Jay sememangnya menjadikan beliau antara rujukan utama dalam bidang seni suara, namun masih beridentitikan dirinya sebagai seorang penyanyi baharu.

Empunya nama penuh, Nor Ilmie Nazarudin itu bersikap optimis walaupun ramai yang menyamakan suaranya dengan bintang tersohor itu. Malah, dia yakin ada ruang untuknya menempatkan diri sebagai seorang penyanyi dalam industri muzik tempatan dengan identiti yang tersendiri.

Berpeluang bertemu dengan penyanyi yang baru sahaja melahirkan album studio pertamanya berjudul Karam di Studio Utusan baru-baru ini, Jay berkongsi cerita survival dirinya sebagai penyanyi baharu.

“Ke mana saya pergi, orang akan menyamakan suara saya dengan Jamal Abdillah. Itu perkara biasa.

“Saya akui, beliau memang idola saya dan kadang-kadang saya terikut cara nyanyiannya tetapi kalau betul-betul diamati, vokal kami berbeza. Beliau berada pada tahap yang lagi tinggi sebagai seorang penyanyi, manakala saya baru hendak bermula,” ujar pemuda yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu.

Akui Jay, dia tidak pernah berniat untuk meniru gaya nyanyian Jamal, sebaliknya bersyukur kerana diberi bakat oleh Tuhan. Apa yang dia lakukan sekarang hanya mencuba sebaik mungkin untuk memanfaatkan bakatnya itu.



Jay merupakan seorang yang agak pemalu tetapi mula selesa apabila sudah berkenalan.

Album penuh

Secara rasminya, Jay baru bergelar artis rakaman sejak dua bulan lalu. Apa yang menarik, walaupun masih asing dalam dunia seni, Jay mengambil langkah berani dengan menghasilkan album yang memuatkan 10 buat lagu baharu sekitar Julai lalu.

Dia yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warisan Records berasa cukup bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pemuzik berpengalaman, S. Atan yang bertindak sebagai penerbit albumnya berjudul Karam.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerja dengan individu yang sudah lama berada dalam industri seperti S. Atan dan Habsah Hassan.

“S. Atan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi seorang penyanyi yang baik. Saya sangat berterima kasih kepada beliau,” katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album Karam adalah Karam, Terpasung Dalam Mimpi, Raja Cinta, Permata Hati, Zapin Bidadari, Tiado Duo Ko Tigo, Bila Kasih Berpindah Kasih, Menanti Kasih Kekasih, Joget Salam Lebaran dan Ayah Bonda Dilayar Hati.

Menurut Jay, album tersebut mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.

Ditanya soal genre muziknya yang dilihat lebih cenderung ke arah ‘orang lama’, Jay mempunyai alasannya tersendiri untuk menangkis persoalan tersebut.

“Lain orang lain pendapat, saya cuba lakukan sehabis baik. Jika apa yang dikerjakan tidak mencukupi, saya akan lakukan yang lebih baik pada masa hadapan.

“Boleh dikatakan untuk album yang pertama ini ia merupakan satu eksperimen buat saya untuk sekurang-kurangnya dikenali sebagai seorang penyanyi. Insya-Allah, untuk projek yang akan datang, saya akan mencuba sesuatu yang baharu,” tutur Jay bersemangat.

Jay tidak kisah mengambil risiko menghasilkan album penuh yang memuatkan 10 buah lagu baharu, sementelah ramai penyanyi lain tidak berapa berani untuk berbuat demikian memandangkan keadaan industri seni yang tidak berapa stabil terutama dari segi jualan album.

“Saya buat kerana minat dan saya jujur untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang ini, bukan semata-mata untuk mengejar untung,” ujarnya menutup bicara.

- Jay Abdullah tidak tiru Jamal Abdillah

SHARING GOOD

0 Comment to "Jay Abdullah tidak tiru Jamal Abdillah"

Post a Comment