Perancangan keluarga - Biarpun Afifah belum mahu hamil dalam kadar segera, pasangan ini merancang untuk memiliki empat orang anak.
ENAM tahun menyulam cinta, bukan satu jangka masa yang singkat. Sudah pasti pelbagai dugaan dihadapi dalam tempoh itu. Setahun mengikat ikatan dalam lingkaran orang bertunang juga bukan mudah dijalani mereka. Apatah lagi, jarak menjadi pemisah mereka apabila si dara melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan (pergigian) di Mesir.
Namun, bak kata pepatah, asam di darat ikan di laut, di dalam kuali bertemu jua. Tanggal 29 Ogos 2015 menjadi tarikh keramat buat penyanyi terkenal, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 29, apabila disatukan secara sah dengan pasangannya, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 26.
Sekitar 100 jemputan yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara dan teman rapat menjadi saksi pernikahan pasangan itu yang dilangsungkan dalam majlis serba sederhana di kediaman pengantin perempuan di Seremban 2, Negeri Sembilan.
Lebih manis, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Ada Untukmu itu dinikahkan oleh bapa Afifah, Ahmad Tawfek Zulkifly, 52, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah dan Cerai Seremban 2, Wan Nawang Wan Sulong.
Mengaku sebelum sah bergelar suami Afifah gemuruh dirinya tidak dapat dibendung, kini rasa itu bertukar manis kerana impian memperisterikan wanita idamannya itu terlaksana. Sementelah mereka harus berbangga kerana berjaya menempuh gelombang ikatan enam tahun dan jarak yang memisahkan mereka beberapa tahun kebelakangan ini.
“Alhamdulillah terasa seperti mimpi kerana saya sudah bergelar suami orang. Masa berlalu begitu pantas, tidak sangka hari ini saya bernikah. Macam orang baru selesai berlari keliling padang, sukar digambarkan gementar rasa sebelum bernikah. Bermula sekarang saya perlu melaksanakan tanggungjawab (sebagai suami) sebaik mungkin,” katanya penuh teruja.
Pada majlis akad nikah itu, Afifah menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 dan mas kahwin sebanyak RM1,000.
Keesokannya, pasangan itu diraikan dalam satu majlis persandingan yang diadakan di City Kingdom Ballroom, Seremban. Kedua-duanya tampak manis apabila mengenakan pakaian berwarna sedondon merah jambu dan perak rekaan Wan Azlan & Zainurin Couture.
Putus, sambung - Sepanjang enam tahun berkenalan, hubungan Nubhan dan Afifah pernah beberapa kali terputus. Namun kerana jodoh yang kuat selepas setahun bertunang mereka akhirnya sah bergelar suami dan isteri.
Saat diarak memasuki dewan, baik Nubhan mahu pun Afifah, kedua-duanya tidak lekang melemparkan senyuman sebagai tanda berbesar hati dengan kehadiran tetamu yang meraikan mereka sebagai pasangan pengantin baharu.
Momen paling mendebarkan, ibu dan bapa Afifah membaca puisi sebagai kejutan istimewa kepada pasangan itu dengan disaksikan oleh tetamu yang hadir.
Nubhan yang juga pengasas produk kecantikan, Juwita Divine memberitahu, dia berasa terharu dengan kandungan puisi tersebut. Antara bait puisi yang begitu terkesan ialah perasaan serta amanat ibu dan ayah Afifah ke atas perkahwinannya dengan bakal doktor gigi itu.
Mengenai perancangan selepas bernikah, anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu menjelaskan, dia dan isteri merancang ke Amsterdam, Belanda untuk bercuti serta berbulan madu pada September ini sebaik sahaja Afifah pulang dari Mesir untuk menguruskan hal pembelajarannya.
“Afifah masih lagi belajar di Mesir yang berbaki 10 bulan lagi (tamat pada Jun 2016). Sekarang dia bercuti dan semester baharu akan bermula penghujung September ini.
“Jadi kami akan menggunakan kesempatan yang ada untuk bercuti dan berbulan madu ke Amsterdam,” katanya yang memilih destinasi tersebut kerana kagum dengan panorama dan seni bina bangunannya yang menarik.
Nikah awal
Perkara yang membuat Nubhan berasa lega ialah perancangan mereka bernikah awal daripada jangkaan sebenar terlaksana dengan baik. Jika mengikut perancangan, mereka akan bernikah pada Jun 2016 selepas Afifah selesai pengajian di Mesir dan pulang ke Malaysia. Namun, selepas keluarga kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mempercepatkan perkahwinan mereka, maka tanggal 29 Ogos 2015 menjadi tarikh keramat buat Nubhan dan Afifah menyimpul kasih.
“Jika ikutkan hati, saya mahu bernikah pada Mac lalu secara nikah gantung. Namun, hasrat itu ditunda sehingga kedua-dua belah keluarga bersetuju untuk kami bernikah pada bulan Ogos. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” ujar Nubhan.
Sementara itu saat diusik mengenai cahaya mata, Afifah pantas menyatakan jika boleh dia memerlukan masa untuk menyudahkan baki pengajiannya terlebih dahulu sebelum membina keluarga besar bersama Nubhan. Tanpa berselindung, dia memberitahu tidak mahu pembelajarannya terganggu jika tidak membuat perancangan keluarga yang tepat.
“Untuk kebaikan bersama, biar saya habiskan pengajian dahulu kemudian hamil dan membina keluarga,” katanya ringkas.
Mengimbas semula perkenalan mereka, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia itu berkenalan dengan Afifah pada tahun 2008 sewaktu terlibat dalam satu program persembahan di Pangkor, Perak. Mereka diperkenalkan oleh salah seorang kakitangan yang menguruskan persembahan itu yang juga merupakan ibu saudara Hidayah.
Selepas lima tahun berkawan dan mengenali hati budi, pasangan itu kemudian memutuskan untuk mengikat tali pertunangan pada 7 Oktober tahun lalu di Seremban.
0 Comment to "Asmara suci Nubhan, Afifah"
Post a Comment