Wednesday, 2 September 2015

Tak Termampu lagu rujuk Diana Rafar


SELEPAS tiga bulan kembali rujuk sebagai isteri Zamarul, Diana berharap mereka dikurniakan seorang lagi anak bagi melengkapi kehidupan rumah tangga yang baru dijalani buat kali kedua.

AWAL tahun ini, industri hiburan kecoh seketika apabila pasangan dramatis terkenal, Zamarul Hisham dan Diana Rafar sah bercerai talak satu meskipun sepanjang lima tahun bernikah, tiada berita kurang enak didengar tentang kebahagiaan mereka.

Namun jodoh pertemuan itu di tangan tuhan apabila empat bulan berpisah, mereka berdua kembali rujuk sekali gus membuktikan kasih sayang selama sembilan tahun bercinta masih lagi kuat.

Baru-baru ini, KOSMO! sempat menemui pemilik nama sebenar Adiana Abdul Rafar, 33, di pembukaan butik fesyen Dokoh di Bangi Sentral, Selangor dan bertanya khabar terkininya setelah menggalas semula tanggungjawab sebagai seorang isteri.


Artis Meletop!: Sejak kembali rujuk dengan Zamarul Mei lalu, apakah perubahan yang Diana alami dalam rumah tangga sekarang?

DIANA: Banyak sebenarnya yang telah berubah kerana saya sudah merasai situasi bersuami, bercerai dan Alhamdulillah bersuami semula. Saya banyak muhasabah diri selepas rujuk semula. Selain lebih banyak bersabar dan menerima baik dan buruk Zamarul, saya kini sedar bahawa kunci untuk melayari rumah tangga yang bahagia terletak pada diri sendiri, bukan pada pasangan. Jika masing-masing saling menerima, setakat bergaduh hal remeh temeh itu bukan satu alasan bermasam muka.

Sewaktu dalam tempoh masa sebelum nekad kembali menjadi isteri Zamarul, apakah yang anda fikirkan?

Sebenarnya, ketika sedang dilema sama ada untuk rujuk atau tidak dengan Zamarul, ada seorang komposer datang menemui saya dan menawarkan sebuah lagu untuk dinyanyikan. Pada mulanya saya tidak berminat kerana fikiran tengah kusut memikirkan hal perceraian tetapi apabila mendengar lagu itu, saya dapat mengaitkan situasi kami pada masa itu dengan lagu. Secara ringkasnya, boleh dikatakan lagu ini mendorong saya untuk kembali bersama Zamarul.

Boleh anda jelaskan dengan lebih terperinci tentang lagu itu?

Tajuk lagu itu ialah Tak Termampu dan dicipta oleh komposer bernama Badrul. Ketika mula-mula mendengar lagu itu, hati saya tersentuh kerana liriknya seolah-olah menceritakan keadaan saya selepas bercerai. Malah selepas mendengar lagu itu juga, hati saya kuat mengatakan ingin dan perlu rujuk semula dengan Zamarul.

Bagaimanakan pula dengan Zamarul? Adakah dia turut mendengar lagu itu?

Disebabkan lagu itu, untuk pertama kalinya sepanjang 14 tahun berkenalan, dia beria untuk mengikut saya ke studio untuk sesi rakaman. Malah ketika mendengar saya menyanyi lagu itu, Zamarul tidak dapat menahan sebak kerana lirik serta melodi yang dihasilkan begitu rapat dengan kejadian yang menimpa kami. Insya-Allah lagu itu akan diperdengarkan kepada peminat tidak lama lagi.

Anak anda, Kashfi Haikal sudah berusia lima tahun. Tiada niat untuk menambah cahaya mata?

Sesungguhnya saya teringin menimang anak kedua cuma belum ada rezeki. Jika direnungkan, mungkin ini ujian kerana dahulu saya sering merancang dan bila bercakap tentang anak, saya kalau boleh mahu ia ditangguhkan dahulu. Sekarang, apabila hati ini benar-benar mahukan kehadiran bayi lagi, peluang itu tidak datang. Namun saya dan Zamarul tetap bersabar dan yakin, jika ditakdirkan rezeki kami, pasti ada. Doakanlah kami.

Bagaimana dengan perkembangan terkini?

Saya sekarang lebih fokus untuk menguruskan spa De Lugano Spa di Shah Alam, Selangor dan sekali sekala mengambil tawaran untuk menjadi wajah kepada sesetengah produk seperti tudung dan pakaian muslimah. Alhamdulillah kerana setakat ini rezeki saya tidak putus walaupun sudah tidak aktif dalam dunia seni.

- Tak Termampu lagu rujuk Diana Rafar

SHARING GOOD

0 Comment to "Tak Termampu lagu rujuk Diana Rafar"

Post a Comment