Sunday 20 September 2015

Azura, Fiza, Tyler galas tugas ikon Volunteer Malaysia


KETIGA-TIGA penyampai radio ini begitu teruja untuk menjadi ikon sukarelawan.

DALAM memastikan alam persekitaran kita pada hari ini terus berada dalam keadaan baik dan terjamin, ia sememangnya menuntut rasa tanggungjawab yang ada dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

Tanpa ada rasa sayang dan cinta terhadap alam sekitar, secara tidak langsung ia akan menjurus kepada permasalahan lain yang mungkin bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada persekitaran tetapi kepada hidupan yang ada di muka bumi ini.

Justeru, menerusi program Volunteer Malaysia di bawah inisiatif 1Malaysia For Youth (iM4U) menjadi platform terbaik dalam melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan penyayang menerusi kerja-kerja kesukarelawan.

Jika tahun lepas, lebih 26,000 sukarelawan turut serta pada program itu, namun pada tahun ini, angka yang lebih besar semestinya menjadi sasaran pihak iM4U dalam merealisasikan hasrat murni mereka demi menjaga kestabilan ekosistem.

Menerusi program itu juga, tiga barisan penyampai radio tanah air, Azura Zainal, Fiza dan Tyler boleh dikatakan cukup bertuah apabila ketiga-tiga mereka terpilih menjadi ikon Volunteer Malaysia pada tahun ini.

Semestinya, masing-masing mempunyai peranan dan tugas tersendiri dalam menjayakan misi menjadikan persekitaran negara bersih.


Azura hapus denggi

Bagi penyampai radio Red FM, Azura Zainal, penyertaan dirinya dalam program kesukarelawan berskala besar itu merupakan pengalaman pertamanya sejak berkecimpung dalam dunia penyiaran.

“Apa yang pasti, saya cukup berasa teruja apabila diberi peluang untuk turut serta dalam program kesukarelawan ini. Apatah lagi, saya sendiri sudah lama tidak melakukan kerja-kerja turun padang sebegini bersama masyarakat sejak zaman sekolah.

“Program sebegini sememangnya bagus, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi secara tidak langsung memberi juga manfaat kepada komuniti dan masyarakat setempat,” katanya.

Terpilih menjadi salah seorang ikon Volunteer Malaysia, Azura menggalas tanggungjawab besar dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa pentingnya menjauhi wabak denggi.


BAGI trio penyampai radio ini, alam sekitar perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

“Apabila pihak iM4U datang kepada saya, mereka sudah menetapkan bidang tugas ikon yang perlu dilakukan. Jadi, bagi tahun pertama ini, peranan saya sebagai ikon lebih kepada penularan wabak denggi.

“Tugas saya adalah menyalurkan maklumat yang betul mengenai denggi dan memberi inspirasi kepada orang lain mengenai pentingnya menjaga kebersihan,” katanya yang juga pernah terlantar sebulan akibat denggi pada 2012.

Kata Azura, antara aktiviti yang dilakukannya termasuklah turun padang dalam usaha membersihkan kawasan tumpuan seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Apabila sebut sukarelawan, ia tidak semestinya gotong- royong sahaja. Sebagai contoh, baru-baru ini saya terlibat dalam mengedarkan ubat jentik-jentik di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, medium sosial media juga berperanan dalam mengingatkan orang ramai untuk mengekalkan kebersihan persekitaran,” katanya.

Fiza bersihkan laut

Berlainan pula ceritanya dengan penyampai radio saluran iM4U FM, Fiza apabila diberi tugas yang agak mencabar apabila dilantik menjadi ikon bagi aktiviti pembersihan dasar laut. Biarpun ia agak mencabar kerana memerlukan kemahiran menyelam, kata Fiza, dia cukup teruja menerima tugas tersebut.

“Tahun ini baru berkesempatan untuk menyertai program kesukarelawan. Apatah lagi dilantik menjadi sebagai ikon, ia memberi saya satu keterujaan untuk bersama-sama masyarakat lain melakukan kerja-kerja pembersihan dasar laut.

“Ia tidak menjadi masalah memandangkan saya juga memang seorang penyelam,” katanya.


FIZA, Azura dan Tyler tidak sabar untuk menjalankan tugas masing-masing dalam program kemasyarakatan.

Menurut Fiza, ramai yang tidak tahu bahawa pada bahagian dasar laut, terlalu banyak sampah sarap dan bahan buangan yang ada.

“Biasanya, kita tengok di permukaan air nampak bersih, tetapi di bawahnya sebenarnya ada banyak bahan buangan seperti plastik, lampin pakai buang, tayar atau jaring. Jadi benda-benda asing begini yang perlu dibersihkan bagi memastikan keindahan laut terutamanya di bahagian dasar itu terpelihara,” katanya.

Antara kawasan yang menjadi pilihan untuk proses pembersihan termasuklah Pulau Mamutik dan Pulau Sulug di Sabah.

“Mereka yang menyertai kira-kira 50 orang sahaja memandangkan program itu memerlukan lesen menyelam. Jadi, mereka yang mempunyai lesen perakuan untuk menyelam sahaja boleh turut serta,” ceritanya.

Tyler peka alam sekitar

Berbeza pula dengan penyampai radio iM4U FM, Tyler apabila tahun ini merupakan tahun keduanya menyertai program kesukarelawan di bawah program Volunteer Malaysia.

Jika tahun lalu, dia terlibat dengan skop pembersihan pantai, pada tahun ini, selain dilantik menjadi ikon, Tyler berperanan dalam memastikan untuk mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya mengekalkan kehijauan alam sekitar.

“Dengan itu, saya berperanan dalam memberi inspirasi kepada orang ramai untuk bersama-sama memelihara kehijauan alam sekitar.

“Antara program yang dilakukan termasuklah projek kitar semula barangan terbuang. Sebagai contoh, mentol kaca yang tidak digunakan, kita jadikan sebagai pasu bunga kecil sebagai produk hiasan,” katanya.

Kata Tyler, kesedaran orang ramai betapa pentingnya untuk mengekalkan kehijauan alam ini mungkin masih kurang.

“Apa yang kita miliki pada hari ini sebenarnya penting untuk dipelihara bagi memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati alam.

“Jika bukan kita yang mahu menjaganya, siapa lagi?” soalnya.

- Azura, Fiza, Tyler galas tugas ikon Volunteer Malaysia

SHARING GOOD

0 Comment to "Azura, Fiza, Tyler galas tugas ikon Volunteer Malaysia"

Post a Comment