JEREMY (dua dari kiri) bersalaman Norman (tiga dari kanan) sebagai simbolik kerjasama selepas menandatangani memorandum persefahaman di Cyberjaya.
WALAUPUN ramai berpendapat program-program realiti televisyen di negara ini sudah mencapai satu tahap di mana ia harus ‘direhatkan’ seketika, KRU Studios dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) dan HyppTV bakal tampil sebuah program realiti mencari penyanyi rock & roll terbaik yang mempunyai ‘DNA’ seorang rockers.
Diberi judul Rockers itu, program berkenaan mensasarkan bakat-bakat penyanyi solo rock baharu berusia antara 18 hingga 28 tahun yang mampu menyanyikan lagu berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan baik.
Naib Presiden Eksekutif Media Baharu TM, Jeremy Kung berkata, program realiti tersebut merupakan kali pertama diterbitkan seumpamanya di saluran HyppTV.
“Buat masa sekarang, HyppTV banyak menyajikan drama. Jadi, Rockers memberikan satu kelainan yang saya harap ia dapat memenuhi permintaan penonton.
“Rockers bukan hanya menghidangkan muzik. Ia malah turut memaparkan drama dan suka-duka perjalanan para peserta dalam usaha menjadi bintang rock terbaik tanah air,” kata Jeremy pada sidang akhbar pelancaran program tersebut di Cyberjaya, baru-baru ini.
Jeremy turut meluahkan keyakinan tinggi bahawa genre rock tetap mempunyai tarikan yang tersendiri dalam kalangan peminat dan penonton. Peminat pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti diari dan konsert mingguan di saluran HyppSensasi (116).
Sementara itu, Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abd. Halim berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan menerbitkan sebuah program realiti yang berkonsepkan rock & roll bagi mencungkil bakat muda dalam dunia seni tanah air.
Tiada undian SMS
“Menariknya, ini kali pertama program pencarian penyanyi rock solo amatur diwujudkan. Saya yakin, banyak bakat terpendam di luar sana yang boleh ditonjolkan, sekali gus diberi peluang menyambung legasi muzik rock tanah air.
“Namun, penyanyi rock sedia ada juga boleh mencuba nasib asalkan mereka tidak terikat dengan kontrak mana-mana syarikat rakaman.
“Sebanyak 15 peserta bakal dipilih untuk berentap dalam program ini dan setiap finalis akan diberi peluang untuk merakam single sendiri,” ujarnya optimis.
Tambah Norman, para peserta akan dinilai sepenuhnya oleh juri profesional dan bukannya melalui undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Penjurian bukan atas dasar populariti, sebaliknya fokus program adalah memaksimumkan kualiti.
“Bakat mereka akan dinilai oleh seorang ‘tok guru’ yang akan diumumkan kelak,” tambah Norman.
Pemenang program pencarian bakat unik tersebut bakal memenangi wang tunai bernilai RM50,000, kontrak rakaman album dan berpeluang merakamkan single di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Penyertaan boleh dibuat dengan menghantar klip demo nyanyian dalam format audio, video atau pautan laman perkongsian video, YouTube berserta maklumat lengkap menerusi alamat emel ujibakat@rockers.com.my sebelum 30 September ini.
Untuk maklumat, layari laman web rasmi www.rockers.com.my atau lawati laman sosial RockersSensasi di Facebook, Twitter dan Instagram.
0 Comment to "KRU cari rockers solo"
Post a Comment