BIAR sesibuk mana pun dirinya sebagai seorang selebriti tersohor, Afdlin Shauki pasti akan mencari masa terluang untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja amal.
Malah, sejak kepulangannya dari bumi Palestin pada 2012, bintang filem Papadom itu dilihat lebih selesa melakukan pelbagai kerja-kerja amal bagi membantu insan yang lebih memerlukan.
Situasi itu menyebabkan nama pelakon, pelawak dan pengarah berusia 45 tahun itu hampir tenggelam daripada radar industri seni tanah air.
"Pada saya, kerja-kerja amal ini adalah satu ibadah. Lagi pula, saya ingin membuat sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
"Secara tidak langsung, aktiviti sebegini juga akan memberi kekuatan dan dorongan untuk terus beribadah kepada ALLAH SWT," katanya kepada Zass ketika ditemui di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dengan niat untuk kembali kepada masyarakat, teraju utama filem Buli ini nekad menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu golongan selebriti terutamanya pelawak yang memerlukan bantuan akibat terlantar sakit atau hidup terbiar.
Yayasan dikenali sebagai Yayasan Afdlin Shauki itu juga bersedia membantu rakyat negara ini yang ditimpa kesusahan dan melarat selain membantu pelarian Syria dan Palestin.
Kata Afdlin, penubuhan yayasan berkenaan susulan idea bersama kawan baik merangkap rakan kongsi dalam perniagaannya, Azrin Ahmad Kadri.
"Kekerapan saya mengikuti pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dalam melakukan kerja-kerja amal menyebabkan Azrin memberi cadangan untuk menubuhkan yayasan itu.
"Saya tak kisah sekiranya nama saya digunakan bagi tujuan sebegini kerana tujuannya hanyalah satu iaitu untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Lagi pula, apabila tertubuhnya yayasan ini sekali gus membantu pelbagai badan kebajikan selain memberi bantuan zakat kepada golongan asnaf," katanya.
Tersinggung dengan industri
Berbalik kepada soal karier seninya, hero filem Soal Hati ini pernah menyuarakan hasrat untuk bersara, sebelum ini.
Bagaimanapun, Afdlin mengakui ia merupakan satu keputusan yang agak sukar untuk dilakukan bahkan tidak bersedia untuk menghadapinya.
Namun begitu, tanpa sedar, pelakon filem Kami Histeria ini sudah pun berehat daripada lapangan hiburan sejak dua tahun lalu.
"Sejujurnya, di kala usia sebegini, ‘keseronokan’ untuk berlakon tiada lagi. Tidak seperti semasa saya berusia 25 tahun.
"Jika dulu, saya seronok melihat diri sendiri dalam kaca TV, tapi kini ia berbeza sama sekali.
"Ada benda lain yang lebih menyeronokkan. Apa yang pasti, jiwa saya kini lebih terarah kepada belakang pentas,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, masalah sambutan penonton terhadap industri perfileman tempatan menyebabkan Afdlin merasakan industri pengarahan bagaikan tiada lagi masa depan buatnya.
Masakan tidak, kali terakhir anak kelahiran Johor Bharu ini mengarah adalah menerusi filem Papadom 2 pada 2013.
"Sejujurnya, saya berasa agak tersinggung dengan industri seni tempatan yang dilihat semakin kekurangan karya bermutu tinggi.
"Oleh itu, dalam tempoh dua tahun berehat, saya banyak mengkaji dan melihat apa yang sedang berlaku dalam industri hiburan.
"Insya-ALLAH, menerusi kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), saya akan kembali ke kerusi pengarahan menerusi filem epik, Sandakan Tears, tahun depan," katanya.
Menjadi sebuah projek mega, katanya, naskhah ini akan menyaksikan penglibatan beberapa pelakon popular dari Australia yang telah menempa nama di pentas Hollywood.
Super Spontan ke Eropah?
Meskipun begitu, itu tidak bermakna pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan merajuk hati dengan industri hiburan tempatan, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada produktiviti karya komedi.
Ternyata usahanya itu berbaloi sementelahan lagi program realiti berbentuk permainan secara improvisasi, Super Spontan terbitan syarikatnya, Vision Works diangkat sebagai Rancangan Komedi Bukan Bersiri Terbaik oleh Anugerah Lawak Warna 2015.
Sebagai pengasas, kata Afdlin, ia adalah sesuatu yang wajar dibanggakan kerana format Super Spontan, adalah yang pertama di dunia biarpun ia mendapat inspirasi daripada program Amerika Syarikat (AS), Whose Line Is It Anyway.
"Super Spontan wujud melalui satu idea yang bermula sejak tiga tahun lalu.
"Ia membawa satu konsep berbeza yang mana kebiasaan kebanyakan program di luar bercorak permainan saja tetapi tiada yang dalam bentuk pertandingan.
"Tambahan pula, bukanlah satu perkara mudah meyakinkan dan mendapat sokongan serta kepercayaan daripada penonton," katanya sambil memberitahu Azrin juga bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk program ini.
Lebih membanggakan, tidak hanya di Malaysia, program yang memasuki tahun ketiga itu kini boleh ditonton di Singapura melalui Super Spontan Upsize di stesen TV Suria.
"Alhamdulillah, ini adalah program pertama yang disiarkan di Astro Warna yang berpeluang merentas sehingga ke luar negara.
"Sebenarnya, populariti Super Spontan ditambah pula dengan formatnya yang mempunyai tarikan sendiri, ia membuka mata stesen TV Suria membeli format program itu.
"Selepas Singapura, sasaran seterusnya adalah untuk menembusi pasaran Indonesia dan kalau boleh sehingga ke Eropah," katanya.
Malah, dek kejayaan dan reputasi program itu juga, Afdlin kini muncul dengan Super Spontan All Stars yang bersiaran pada setiap Jumaat, jam 10 malam bermula 28 Ogos lalu di Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Seperti sedia maklum, program itu menghimpunkan 14 bekas peserta Super Spontan musim lalu untuk merebut gelaran juara terunggul.
"Ingin saya tekankan, Super Spontan bukanlah sebuah program bersifat hiburan semata-mata.
"Ini kerana setiap kali di akhir rancangan, kita akan selitkan dengan pemberian sagu hati buat mereka yang kurang bernasib baik," katanya.
Perluaskan bisnes
Dalam pada itu, bertitik tolak daripada kesukaran mendapatkan studio bagi menjayakan program Super Spontan, Afdlin berhasrat membuka sebuah studio khas menjelang suku ketiga tahun depan.
Sebagai ahli perniagaan, katanya, studio khas itu merupakan salah satu projek jangka panjangnya selain sibuk menguruskan bisnes Pelikat Pants menerusi jenama B.O.B Afdlin Shauki yang diusahakannya sejak hampir tiga tahun lalu.
"Studio itu akan merangkumi akademi latihan untuk mereka yang berminat mendalami dunia komedi, pengarahan, pengarahan dalam studio dan juga kejuruteraan bunyi.
"Tujuan saya menyediakan akademi latihan itu kerana saya mahu menyalurkan segala ilmu dan pengetahuan yang saya ada untuk dikongsi dengan peserta.
"Bagi saya adalah sesuatu yang merugikan jika saya tidak berkongsi ilmu yang ada," katanya.
Mengenai bisnes Pelikat Pants pula, hero filem Sumolah ini turut bercadang untuk membesarkan lagi peluang perniagaannya itu dengan pelbagai koleksi bersesuaian untuk semua golongan masyarakat.
"Sasaran saya adalah untuk mengembangkan jenama B.O.B Afdlin Shauki sehingga berjaya mencapai satu tahap yang sama dengan jenama antarabangsa.
"Lebih-lebih lagi, kita baharu saja mendapat agen dari Australia jadi adalah penting untuk meluaskan lagi koleksi Pelikat Pants.
"Insya-ALLAH, semua itu akan dilaksanakan mulai tahun depan," katanya yang kini sudah membuka butik di Wangsa Maju dan Avenue K, Kuala Lumpur.
0 Comment to "Yayasan Afdlin Shauki"
Post a Comment