PELAKON Arja Lee menyifatkan perjalanan karier seninya dalam bidang nyanyian masih belum tiba walaupun pernah tampil dengan single pertama, Cerita Pada Mereka, awal Januari tahun lalu.
Lebih memilukan, Cinta Pada Mereka hanya mampu bertahan selama sebulan di corong-corong radio sebelum ‘senyap’ sehingga ke hari ini.
Pun begitu, itu bukan alasan utama untuk pemilik nama sebenar Azharudin Ramli ini mengaku kalah, sekali gus berputus asa terhadap bidang yang diminatinya itu.
"Saya bukanlah menyanyi hanya sekadar untuk berseronok mahupun mengisi lapang.
"Saya memang mahu menjadi penyanyi. Saya percaya saya boleh menjadi penyanyi yang baik kerana jika tidak, mengapa hingga hari ini saya masih lagi menerima pelbagai jemputan," katanya pada Zass ketika ditemui pada sesi tayangan khas filem Rembat, baru-baru ini.
Tidak mudah berputus asa, artis berusia 31 tahun itu bakal tampil dengan single keduanya, Bintang Malam hasil sentuhan penyanyi, Asfan Shah.
"Kali ini, saya akan mengetengahkan konsep balada rock berbanding balada sebelum ini. Imej saya juga akan bertukar sepenuhnya.
"Apa yang pasti, kali ini saya berusaha untuk mencari identiti sendiri agar tidak lagi disamakan dengan penyanyi lain.
"Insya-ALLAH, lagu ini akan dilancarkan sekitar November depan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Arja dapat dilihat menerusi filem terbaharunya, Rembat yang kini sudah berada di pawagam.
Bukan itu sahaja, Arja juga baru saja tamat menjalani penggambaran filem Sayu Yang Syukur dan kini semakin aktif menguruskan perniagaannya.
0 Comment to "Arja Lee Tetap mahu jadi penyanyi"
Post a Comment