Thursday, 8 October 2015

Nasihat Che Ta: Jangan harap duit lelaki


NAMA Rozita Che Wan, 42, tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sahaja memiliki kejelitaan yang didamba ramai wanita, aktres ini juga memiliki kehidupan yang hampir sempurna. Selain memiliki keluarga bahagia, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta juga dilihat semakin berjaya dalam perniagaannya.

Dengan lebih sejuta pengikut di Instagram, Che Ta mampu mengembangkan lagi pengaruhnya sebagai selebriti dan apa sahaja yang dilakukannya, baik perihal bisnes, keluarga mahupun penampilannya, pasti menjadi tumpuan ramai peminat.

Namun lumrah kehidupan, bukan semua yang dilakukan wanita jelita sepertinya itu disenangi ramai apabila ada segelintir netizen yang memberikan komen-komen negatif menerusi Instagram miliknya.

Tidak pernah mengambil hati, sementelah lagi mahu memusuhi golongan yang digelar 'hatters' ini, Che Ta berkata, perkongsiannya di Instagram itu adalah semata-mata untuk memberikan motivasi kepada wanita lain untuk berjaya sepertinya.

“Memang ada orang cakap saya ambil semua gambar bercuti untuk tujuan menunjuk-nunjuk, tetapi sebenarnya tidak.

“Saya mahu gambar itu menjadi motivasi kepada wanita di luar sana untuk berusaha sehingga berjaya dan boleh menjadi seperti saya dapat bercuti ke mana sahaja.

“Sebagai wanita, jangan mengharap sangat duit lelaki, perlu berdiri atas kaki sendiri,” katanya.


Dalam pada itu, ada segelintir pihak yang cuba mempertikaikan kemewahannya lebih-lebih lagi dia sudah jarang dilihat berlakon.

“Biasalah mulut orang. Jika dia lihat secara negatif, maka negatif jadinya. Namun sebenarnya segala rezeki itu saya dapat menerusi perniagaan saya.

“Itu adalah sumber pendapatan utama saya ketika ini. Setakat ini, saya menjalankan sebanyak empat jenis perniagaan iaitu syarikat produksi, bidang fesyen dengan label Padusi, minyak wangi (Precious dan Gorgeous) dan tidak lama lagi losyen badan pula,” katanya.

Oleh sebab peniagaannya semakin rancak kini, Che Ta berkata, dia terpaksa memperlahankan karier lakonannya.

“Saya mahu fokus pada perniagaan ketika ini kerana berniaga lebih untung berbanding lakonan.

“Saya fikir macam ni, jika berlakon saya dapat raih pendapatan kira-kira RM70,000 sebulan. Tetapi dengan perniagaan, saya boleh buat sehingga RM200,000 sebulan,” katanya.

Bagaimanapun, Che Ta mengakui yang sehingga kini masih menerima tawaran untuk berlakon, namun terpaksa menolaknya disebabkan faktor masa.

“Jika saya terima pun lihat pada watak sekiranya berbeza daripada sebelum ini. Lagipun lakonan masih penting kerana memberi populariti di mana ia boleh membantu meningkatkan perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Selain Rysya, Rozita turut dilantik sebagai duta kepada 10 produk lain, antaranya Logivite, Jakel, Tropika, stroler Mini Cooper, Idola dan sebuah lagi jenama perabot yang akan diumumkan kemudian.


Upah jurugambar sendiri

Melihat gambar-gambar percutiannya yang cantik, Che Ta mengakui yang dia turut membawa seorang jurugambar setiap kali pergi bercuti ke luar negara.

“Senang kalau bawa jurugambar sendiri, tak payahlah kita susah nak ambil gambar selfie atau pelbagai gaya.

“Kita jalan sahaja senang sudah ada orang ambilkan gambar kita. Kalau kita sendiri yang ambil gambar susah.

“Jurugambar itu nanti akan kongsikan gambar yang diambil di Instagram dan selebihnya akan disimpan di dalam video cakera padat,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis minum petang bersamanya sebagai duta produk kecantikan Rysya baru-baru ini.

Tambahnya, jurugambar yang diupah juga akan menjadikan gambar sepanjang percutian mereka ke dalam sebuah album gambar.

“Kalau kita, ambil gambar pakai telefon, kalau telefon rosak habis semua gambar tersebut akan hilang.

“Oleh itu, tidak kira ke mana saya akan pergi, bercuti atau berbulan madu, saya akan bawa jurugambar untuk memudahkan kerja saya,” katanya yang hanya beri kepercayaan kepada satu syarikat untuk mengambil gambarnya.

Che Ta berkata, dia berkenan dengan jurugambar dari salah sebuah syarikat setelah mengambil gambar ketika majlis cukur jambul anak perempuannya, Aisyah Dhia Rana.

“Kami lihat gambar yang diambil semua cantik dan memuaskan hati, jadi saya terus berkenan untuk mengupahnya,” katanya.

- Nasihat Che Ta: Jangan harap duit lelaki

SHARING GOOD

0 Comment to "Nasihat Che Ta: Jangan harap duit lelaki"

Post a Comment