Monday, 5 October 2015

Fouziah Gous terkejut, penampilan dikritik!


PENAMPILANNYA menerusi program popular tempatan, Nona nampaknya semakin mendapat perhatian.

Ia terbukti apabila apa sahaja yang dilakukan oleh pengacara cantik ini menerusi program itu mula meniti di bibir peminat seni.

Tidak hanya memberikan respons positif, empunya nama Fouziah Gous juga turut menerima kritikan negatif.

Jika di awal penampilannya sebagai hos Nona, dia dipertikaikan kerana kelihatan 'kayu', sebaliknya pula kali ini apabila busana yang dikenakannya dikatakan nipis dan jarang sehingga memperlihatkan pakaian dalamnya.

Enggan mengambil pusing mengenai perkara itu, akui pelakon berusia 32 tahun ini, dia tidak tahu mengapa ada sahaja yang dilakukannya dalam program itu tidak kena di mata penonton.

"Komen seperti itu memang tidak masuk akal. Bagi saya ia hanya untuk menjatuhkan semangat saya sebagai hos Nona semata-mata.

"Bila mendapat tahu perkara ini hebat dikatakan di blog dan forum, memang saya terkejut. Lagi pun, apa yang saya pakai sepanjang mengacarakan Nona, semuanya telah ditentukan pihak penerbit," katanya.

Menurutnya, dia yakin dengan kemahuan penerbit yang sentiasa memastikan dirinya kelihatan 'elok' dan selesa di layar skrin.

"Mereka juga punya panduan tersendiri. Nona sendiri sudah berpuluh tahun diterbitkan. Jadi mereka sudah tahu apa yang terbaik untuk hosnya dan sentiasa memastikan apa yang diberikan kepada saya tidak menjolok mata atau keterlaluan," katanya.


Lebih berhati-hati

Dalam pada itu, ujar Fouziah, dia kesal dengan tuduhan tersebut kerana dia juga seorang yang peka dengan penampilannya.

"Sebenarnya setiap kali saya mengenakan busana, saya akan memakai singlet kerana saya memang selesa begitu.

"Tidak sangka pula, akan timbul isu sebegini. Apa pun saya akan lebih berhati-hati selepas ini," jelasnya.

Berkongsi lanjut, katanya, dia amat selesa dengan rancangan itu kini.

"Alhamdulillah, semuanya semakin mudah dan saya juga gembira dengan setiap pembaikan dilakukan menerusi program itu.

"Sebab itu juga saya tidak mahu melayan gosip-gosip seperti ini. Bimbang ia memudaratkan kerja saya sahaja.

"Biarlah saya fokus kepada kerja dan memberikan terbaik untuk Nona," katanya.

- Fouziah Gous terkejut, penampilan dikritik!

SHARING GOOD

0 Comment to "Fouziah Gous terkejut, penampilan dikritik!"

Post a Comment