KEADAAN Hazami sewaktu dikunjungi pihak media di kediaman ibunya di Gombak, Selangor pada Ogos lalu.
PERTENGAHAN Ogos lalu menjadi detik hitam yang tidak mungkin dilupakan oleh penyanyi Hazami.
Masakan tidak, dia yang disahkan menghidapi penyakit Piverticulum (penyakit berkaitan usus) dan sedang dalam proses pemulihan dikejutkan dengan berita kematiannya sendiri selepas seminggu dirawat di Pusat Rawatan Tropicana, Selangor.
Waktu itu ramai kenalannya terkejut apabila Hazami sendiri menjawab setiap panggilan telefon saudara-mara dan rakan-rakan bertanyakan kebenaran berita kematiannya yang menjadi viral di internet.
Penyanyi lagu saduran Sonata Musim Salju itu juga mengaku tertekan dengan berita berkenaan sehingga dia mengalami sesak nafas.
Kini, selepas hampir dua bulan berehat, Hazami atau nama penuhnya Norkamal Hazami semakin dilihat semakin pulih.
Selain menjalani pemeriksaan berkala di hospital, dia juga dinasihatkan oleh doktor untuk mengamalkan diet yang seimbang dan mengambil banyak buah-buahan.
Hazami yang bakal melancarkan single terbaharu pada bulan depan memberitahu, berat badannya kini telah meningkat sebanyak enam kilogram (kg). Sebelum ini sewaktu terlantar di hospital berat badannya hanyalah 50kg.
Namun, dia dinasihatkan oleh doktor untuk menambah berat badan melebihi 60kg. Bercakap soal kerjaya, Hazami kini sedang melakukan persediaan untuk kembali ke pentas seni dan mengeluarkan album penuhnya.
Artis Meletop!: Bagaimanakah keadaan Hazami selepas dua bulan menerima rawatan di hospital?
HAZAMI: Sepanjang tempoh rawatan, saya dimasukkan sebanyak enam pek darah akibat mengalami pendarahan kritikal. Alhamdulillah, sekarang tahap kesihatan bertambah baik dan saya telah kembali bertenaga untuk bekerja semula.
Selepas diserang penyakit usus secara mengejut, doktor menasihatkan agar memperbanyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan agar kejadian sama tidak berulang. Buah strawberi kini menjadi kegemaran saya.
Apakah penyakit anda sebenarnya? Bolehkah terangkan secara terperinci?
Saya mengalami masalah berkaitan usus besar atau nama sainstifiknya, Piverticulum. Perkara ini berlaku disebabkan amalan diet yang tidak seimbang sejak tahun 2002. Ketika itu, saya amat mementingkan penampilan kerana kerjaya sedang berada di puncak. Tanpa disedari, keinginan untuk menurunkan berat badan menjadi sebab utama saya menghidapi penyakit ini.
Apakah langkah pencegahan yang diambil untuk mengelakkan penyakit sama menyerang kembali?
Mengikut nasihat doktor, saya diminta mengamalkan diet seimbang. Saya harus memperbanyakkan makan sayuran dan buah-buahan dan perlu mengambilnya sebanyak empat kali sehari. Saya juga diminta agar tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau ubat dalam bentuk tablet.
Setakat ini, apakah perubahan yang anda rasai selepas mengamalkan diet seimbang?
Pada peringkat awal, saya agak bosan apabila diminta makan sayur dan buah-buahan dengan kerap. Hal ini kerana saya bukanlah seorang penggemar makanan sihat.
Namun, selepas mengamalkan pemakanan seimbang, saya dapati tahap kesihatan semakin baik termasuk sistem pencernaan.
Saya perlu mengamalkan diet seimbang kerana kesihatan belum pulih sepenuhnya dan bagi mengelakkan penyakit sama menyerang kembali.
Sebelum ini ada laporan mengatakan anda telah meninggal dunia. Bagaimanakah penerimaan anda terhadap berita tersebut?
Sudah pasti saya cukup terkejut. Dalam fikiran saya hanya terlintas keluarga dan dan rakan-rakan apabila mereka tidak putus-putus menelefon bertanyakan kesahihan berita tersebut.
Bukan itu sahaja, jururawat yang merawat saya di hospital turut terkejut mendengar berita kematian berkenaan.
Diharapkan selepas ini, kejadian sebegitu tidak berulang dan perlulah disiasat terlebih dahulu tentang kebenaran berita sebelum menghebahkannya.
Selepas lama berehat, bilakah anda akan kembali bekerja?
Sebelum ini memang saya ada katakan mahu berehat selama dua bulan untuk pulih sepenuhnya dari segi mental dan fizikal. Kini, saya rasa semakin pulih dan pada bulan depan akan melancarkan single terbaharu.
Bagaimanapun, judul single masih belum ditetapkan kerana terdapat dua pilihan lagu iaitu Ke Hujung Nyawa atau Cintai Dia.
Selain telah mula memenuhi undangan pentas, saya juga masih giat menghasilkan lagu dan berusaha menghasilkan karya lebih segar.
0 Comment to "Hazami amal diet seimbang"
Post a Comment