MELIHAT pada susuk tubuhnya, pasti ramai menginginkan bentuk badan sepertinya.
Manakan tidak, pemilik nama Sharifah Sakinah ini terkenal dengan rutinnya yang menyukai aktiviti fitness dan senaman sehingga mempunyai ramai pengikut.
Maka tidak hairanlah, Sharifah Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired ditawarkan menjadi pengacara bersama Cikgu Fitness Malaysia, Kavin Zahri, bagi rancangan Jom Kurus Cabaran 30 Hari, di Astro Bella.
Akui teruja mengendalikan program tersebut, Sakinah berkata, ia sekali gus dapat mengajak semua peminatnya untuk mendapatkan badan ideal.
“Saya ini seorang yang kuat makan sebenarnya, namun disebabkan saya seorang yang aktif membuatkan badan kekal seperti ini.
“Sebelum ini juga saya suka mengajak peminat untuk menjaga kesihatan dan tampil menarik di laman sosial Instagram sahaja, dengan program ini skop itu akan menjadi luas.
“Saya sebagai selebriti, memang mahu mengajak seramai mungkin rakyat negara ini untuk kekal sihat dan kurus,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Wajah Baru Astro Bella, baru-baru ini.
Kongsi pengalaman
Menurut pemenang Anugerah Lawak Warna 2015 ini, dia juga akan kongsikan pengalaman penjagaan kesihatan dirinya kepada 12 peserta Jom Kurus Cabaran 30 Hari.
“Saya bukanlah pakar kesihatan, tetapi saya sukakan fitness dan apa yang saya boleh bantu mereka (12 peserta) adalah untuk kongsi pengalaman saya selama ini dan beri keyakinan kepada mereka agar dapat melakukan perubahan.
“Saya juga akan tolong dari sudut emosi peserta dan tabiat yang lebih baik. Contohnya saya akan saran mereka setiap kali bangun awal untuk bersenam dengan mudah dan konsisten.
“Ibaratnya saya ini hadir dalam rancangan ini sebagai 'ibu peri',” katanya dengan nada gurauan.
0 Comment to "Sharifah Sakinah ajak peminat sihat dan kurus!"
Post a Comment