Sunday 15 November 2015

Farahdhiya Disunting #GegarVaganza


Kesan daripada persembahan pada minggu pertama di program nyanyian Gegar Vaganza, Farahdhiya disunting banyak pihak yang mahu menguruskan kerjaya nyanyiannya.

Mengenang jejak semalam jauh lebih mudah daripada membuat hayunan langkah di kala ini. Banyak kata hati yang memberi penyatuan rasa lalu mengorak tindakan.

Adakala hati mampu membuatkan diri melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan menjadikan hayunan langkah tidak senada. Ikut hati lesu, namun pemikiran mampu memperhalusi sesuatu tindakan dengan bijak.

Begitu yang berlaku dalam hidup Farah Dhiya Mohamed Amin atau nama pentasnya Farahdhiya selepas menyertai program nyanyian Gegar Vaganza 2015 Musim Kedua sejak 18 Oktober lalu.

Keputusan menyertai program hiburan popular itu memberi hayunan langkah berbeza Farahdhiya ketika ini.


Seperti judul lagu hitnya sebelum ini, Bertakhta Di Hati, nyanyian Farahdhiya dalam program menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) itu memang bertakhta di hati para penonton setia rancangan tersebut.

“Saya memang tidak menjangkakan sambutan seperti itu. Sejujurnya saya juga tidak menyesal berkata, ya untuk menyertai program Gegar Vaganza walaupun pernah menolak tawaran menyertai program itu sebanyak dua kali sebelum ini.

“Paling jelas, saya menerima peminat baharu yang sebelum ini benci menonton lakonan antagonis saya di kaca televisyen. Saya bersyukur dengan perubahan itu,” ujarnya yang popular dengan watak antagonis dalam drama Spa Q (2007) itu sambil ketawa.

Lagu susah tembus pasaran

Penyanyi berdarah campuran Inggeris dan Melayu itu tidak pernah menyangka dirinya kembali disimbahi percikan populariti selepas pernah mengecapinya dahulu ketika hit dengan lagu Bertakhta Di Hati pada 2004.

Lebih sedekad berlalu, Farahdhiya optimis untuk lebih aktif dan berhasrat menghasilkan single waima tidak memenangi pertandingan Gegar Vaganza sekalipun.

“Bukan tidak ada single yang dihasilkan selepas Bertakhta Di Hati popular. Ada, cuma tak dapat sambutan. Semua lagu saya selepas itu sukar untuk menembusi pasaran. Jadi, saya mula rasa penat nak buat single.

“Alhamdulillah, Gegar Vaganza menggilap semula nama saya dan ia merupakan platform yang bagus untuk membuktikan bakat dan saya boleh menyanyi dengan baik. Bagaimanapun, saya harus teliti memilih single untuk dipasarkan selepas ini,” kongsinya teruja untuk mengasah semula pesona nyanyian menerusi single baharu selepas semakin dilupakan peminat selama ini.

Ketika namanya kembali menjadi sebutan, penyanyi berusia 31 tahun itu juga menerima limpahan tawaran persembahan dan turut disunting.

“Kesan selepas buat persembahan pada minggu pertama saya dapat banyak permintaan daripada pihak pengurusan artis yang mahu menguruskan kerjaya nyanyian saya. Termasuk orang-orang terkenal dalam industri. Buat masa ini, saya susah nak cakap sebab mahu fokus pada Gegar Vaganza,” ujarnya yang tidak mengetepikan karier lakonannya walaupun kembali aktif menyanyi selepas ini.

Baginya, minat kedua-dua pada bidang tersebut perlu berjalan seiring biarpun dirinya mengaku berlakon adalah memenatkan dan menuntut dirinya berada di lokasi dari pagi hingga pagi esoknya.

Tidak mahu dengar nyanyian Krisdayanti


Farahdhiya mengaku cerewet dalam melakukan sesuatu perkara demi memberikan yang terbaik dalam hidupnya.

Berteguh dengan prinsip, Farahdhiya membulatkan tekad dan memberikan persembahan yang baik dalam Gegar Vaganza setiap minggu di samping berada di lokasi penggambaran drama untuk slot Aksi dan Akasia akan datang.

“Memang penat sangat. Minggu depan, saya akan mula menjalani penggambaran drama untuk slot Aksi TV3 yang berjudul Bodyguard terbitan syarikat A. Aida Production Sdn. Bhd. Hujung bulan ini pula, saya akan mula penggambaran drama untuk slot Akasia dengan pelakon Izara Aishah dan Zamarul Hisham,” kongsinya yang turun berat badan sebanyak enam kilogram dengan amalan pemakanan sihat demi beraksi dalam Gegar Vaganza.

Untuk malam ini, Farahdhiya akan menyampaikan lagu popular Mencintaimu nyanyian penyanyi Indonesia, Krisdayanti.

Debar menghiasi seluruh jiwa raganya, Farah menegaskan, tidak mahu mendengar Krisdayanti menyanyi lagu tersebut demi memberi keaslian dalam persembahannya nanti.

“Saya tidak pernah nyanyi lagu itu. Tapi ramai yang cakap lagu itu ibarat ‘makanan’ saya. Pada saya, apabila nyanyi lagu orang yang mempunyai nama dan suara besar, ia bukan sesuatu yang mudah. Cabaran saya sangat besar. Saya kena buat sebaik-baiknya dengan cara tersendiri,” ujarnya yang turut membawa pemuzik luar untuk susunan beberapa lagu yang dirasakan mencabarnya baginya di Gegar Vaganza.

Bukan apa, kata Farahdhiya, dia kena menjadi cerewet jika mahukan sesuatu persembahan itu bagus dan lain daripada lain.

“Kalau mahu jadi bagus atau lain daripada lain, kita kena bersikap cerewet. Bukan bermaksud pemuzik di Gegar Vaganza tidak bagus. Tak sedap pula jika saya meminta macam-macam sedangkan ramai artis dalam Gegar Vaganza lagi yang memerlukan khidmat mereka. Jadi, lebih elok saya bawa susunan pemuzik sendiri iaitu Zimi Sofarz dan duduk berbincang mengenai persembahan nanti,” jelasnya yang terbaharu digosipkan memilih kawan dan tidak bercampur dengan peserta-peserta Gegar Vaganza.

Masih solo

Bagi Farahdhiya tiada istilah memilih kawan dalam Gegar Vaganza kerana sudah menganggap semua peserta seperti satu famili.

“Minggu lepas saya ada terbaca gosip di sebuah akhbar yang mengatakan saya memilih kawan dekat Gegar Vaganza. Saya dikatakan pilih artis mana yang mahu bercakap dan selebihnya buat tak tahu saja.

“Saya tidak berhutang sebarang penjelasan dengan sesiapa. Sebabnya, saya tahu saya hormat semua peserta yang ada dalam Gegar Vaganza. Pada saya, Gegar Vaganza itu sudah macam satu famili. Keutamaan saya sudah tentu pada pertandingan. Ada masa kita perlu serius atau perlu tenangkan diri sebelum persembahan,” ujar Farahdhiya yang masih solo tanpa kekasih yang bertakhta di hati sejak putus dua tahun lalu.

- Farahdhiya Disunting #GegarVaganza

SHARING GOOD

0 Comment to "Farahdhiya Disunting #GegarVaganza"

Post a Comment