Sunday 15 November 2015

Fathia & Aiman bermusuh


PASANGAN bercinta ini saling bersaing secara sihat dalam karier masing-masing.

KISAH cinta antara pasangan popular, Fathia dan Aiman Hakim Ridza bukan lagi satu rahsia dalam kalangan peminat.

Mengakui rasa sayang itu masih kekal melekat dalam hati, Fathia bagaimanapun sebenarnya menyifatkan Aiman sebagai seteru utamanya dalam karier sebagai pelakon.

Bersama Sensasi Bintang, pemilik nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff, 28, itu membicarakan hala tuju hubungannya bersama pelakon kacak berkenaan selain turut berkongsi mengenai keperibadiannya yang barangkali tidak diketahui umum.


SENSASI BINTANG: Apa perkembangan terkini berhubung hubungan anda dan Aiman?

FATHIA: Masih berjalan seperti biasa. Belum ada sebarang perkembangan untuk ke peringkat seterusnya, tambahan pula masing-masing agak sibuk dengan karier. Buat masa ini, hubungan kami masih kuat dan mampu bertahan. Kalau boleh, memang mahu cepat mendirikan rumah tangga, cuma masanya belum tiba.

Pernah berbincang untuk mendirikan rumah tangga?

Sudah tentu, cuma sekadar perbincangan biasa dan tidak terperinci. Segala persiapan ke arah itu juga belum dimulakan lagi.

Tidak sukar bercinta dengan insan yang sama bidang?

Memang sukar tetapi kepercayaan memainkan peranan yang cukup penting. Selagi saya percaya dia (Aiman) seorang yang baik, bagi saya ia bukan satu masalah.

Bagaimana kalian mengatasi perasaan cemburu antara satu sama lain?

Tidak sama sekali. Kami okey. Buat masa ini, hanya masa menjadi masalah utama kami. Apabila masing-masing sibuk, kami sukar meluangkan masa bersama. Itu saja.

Anda berdua semakin mencipta nama sebagai pelakon berkaliber. Pernah timbul konflik berhubung perkara itu?

Ramai yang tidak tahu bahawa kami sebenarnya ‘bermusuh’ walaupun bercinta. Ini kerana, kami saling bersaing antara satu sama lain. Seperti contoh, kami selalu memberikan yang terbaik terutamanya apabila melibatkan skil lakonan. Jadi, kami sering bergaduh kerana bab saingan, bukannya membabitkan hati dan perasaan. Meskipun saling menyokong karier masing-masing, saya percaya ia sesuatu yang bagus buat perhubungan kami terutamanya ketika menentukan siapa pelakon yang lebih bagus. Pengkritik yang jujur sudah semestinya pasangan kita, justeru ia membantu kami memperbaiki kelemahan masing-masing.

Boleh ceritakan serba sedikit keperibadian anda yang barangkali tidak diketahui umum?

Saya sebenarnya seorang yang cuai dan cemerkap. Jadi, rakan-rakan tahu mengapa saya menukar nombor telefon bimbit sampai dua tiga kali setahun gara-gara telefon bimbit rosak angkara jatuh terhempas (ketawa). Selain itu, saya juga memiliki perasaan gemuruh ketika berada di atas pentas untuk melakukan sebarang persembahan, selain memiliki aerofobia (takut menaiki pesawat) sejak kecil. Jika ada menaiki sebarang penerbangan, saya mudah panik sehingga mengejutkan penumpang di sebelah (ketawa). Saya juga suka makan terutamanya pemanis mulut. Cuma, saya tidak gemar bersenam, jadi saya tidak kisah dan sentiasa gembira dengan bentuk tubuh badan seadanya. Saya juga cukup sensitif dan tidak suka berfesyen. Selain itu, saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah menonton televisyen dan bermain gitar berbanding melepak di luar.

Boleh kongsikan sebarang projek terkini bersama pembaca Kosmo! Ahad?

Saya bakal bergandingan bersama hero dari seberang untuk filem terbaharu saya tidak lama lagi. Ia dijangka ditayangkan di Malaysia dan juga Indonesia. Penggambarannya dijadualkan bermula sekitar Januari tahun depan dan memakan masa selama 20 hari di Jakarta, Indonesia dan juga Mauritius. Cuma buat masa ini, masih terlalu awal untuk berbicara lanjut berhubung perkara itu. Ini merupakan filem keempat saya dan teruja apabila dapat bekerjasama dengan filem kolaborasi seperti ini.

Selain itu, ada sebarang projek lain?

Saya juga bakal menjalani penggambaran drama terbaharu berjudul Rumi Dan Jawi arahan Erma Fatima yang dijangka disiarkan di Astro Mustika HD (134). Dalam drama sebanyak 40 episod berkenaan, saya akan bergandingan bersama Remy Ishak.

- Fathia & Aiman bermusuh

SHARING GOOD

0 Comment to "Fathia & Aiman bermusuh"

Post a Comment