Sunday 15 November 2015

Gandingan pertama Ummi Nazeera, Fezrul Khan


KEDUA-DUA figura ini pertama kali digandingkan dalam Alif Imani.

MEMBENTUK persefahaman itu bukan mudah, sementelahan pula kali pertama bertentang mata biar bertahun-tahun memiliki destinasi yang sama.

Benar kata orang, mahu mengetahui isi hati seseorang itu diibaratkan sama seperti mana ketika menikmati hidangan piza. Juadah itu hadir dalam kotak empat segi sedangkan dihidang dalam bentuk bulatan. Tatkala dijamah, ia berbentuk segi tiga. Perbezaan bentuk itu saja sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.

Itu belum dikira kisah-kisah silam mahupun peribadi yang sengaja dikorek pengkritik gara-gara dipayungi status selebriti. Ternyata, mendiamkan diri bukan satu-satunya pilihan yang dimiliki Ummi Nazeera dan Fezrul Khan setiap kali dihimpit badai kontroversi selama ini.

Elak cerita kisah peribadi

Bukan sedikit kontroversi yang terpaksa dihadam pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 25, tatkala menguak pintu industri seni sekitar tahun 2010. Tidak perlu lagi digali semula segala kisah hitam yang terpalit sebelum ini, Ummi kekal percaya setiap yang berlaku itu ada hikmah-Nya.

“Berhubung kontroversi, saya percaya ia sebenarnya bergantung kepada faktor usia. Mungkin, saya masih terlalu muda ketika mula-mula berada dalam industri sebelum ini.

“Saya juga belum begitu pandai untuk mengendalikan perkara itu sebelum ini. Jadi, saya cuba mengelak sedaya-upaya supaya tidak terlibat dalam sesuatu isu yang diperbesarkan. Mudah-mudahan, saya tidak lagi terlibat dalam situasi seperti itu. Doa-doakan,” ungkapnya mohon dimengerti.

Ummi yang mengakui masih solo juga tidak menolak kemungkinan bertemu jodoh dengan sesiapa selepas ini.

“Saya tidak boleh mengatakan masih belum masanya terutamanya apabila sudah berada pada umur seperti ini. Cuma, saya belum benar-benar memikirkan perkara itu. Jika ada jodoh, insya-Allah,” ujarnya menguntum senyum.


Sengaja ditebak sama ada Ummi kini bersifat selektif tatkala memilih watak terutamanya selepas berhijab, ini jawapan jujur beliau.

“Sebenarnya, saya telah lama bersikap sedemikian sebelum berhijrah lagi terutamanya apabila terikat dengan komitmen sebagai pelajar ketika melanjutkan pengajian ke luar negara sebelum ini.

“Jadi, saya tidak boleh menumpukan sepenuh komitmen terhadap karier. Bukan tidak pernah mencuba sebelum ini, cuma saya rasa sukar untuk melakukannya secara kerap kerana kekangan masa.

“Mungkin, saya akan benar-benar aktif semula berlakon pada tahun depan, cuma pada masa ini terlalu awal untuk berkongsi sebarang projek terbaharu,” ujarnya.

Begitu juga Fezrul atau nama sebenarnya, Fezrul Khan Junaidi, 33, yang lebih gemar mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ apabila mahligai perkahwinannya bersama Noorhafizah Zulkafli, 31, selama tiga tahun akhirnya terkubur baru-baru ini.

“Senang cerita, tiada jodoh. Jika saya ingin bercerita panjang, khuatir disalah anggap dan menjadi bualan orang. Ia bukan sesuatu yang elok untuk bercerita terutamanya berkaitan dengan rumah tangga.

“Jika tanya saya, lebih suka bercerita mengenai karier. Apabila masyarakat dididik dengan perkara seperti ini, mereka akan lebih mengetahui sesuatu mengenai industri. Jadi, saya lebih suka menyimpan setiap perkara peribadi. Biarlah saya simpan untuk diri sendiri,” ujarnya yang turut berhasrat mencabar bakatnya sebagai penyanyi.

Cuma, itu bukan bermakna Fezrul bersikap defensif sejak menceburi bidang seni sekitar 2004.

“Saya ada juga memuat naik aktiviti peribadi saya di Instagram terutamanya berkaitan hobi iaitu memancing dan sukan ekstrem. Jika mahu bercerita mengenai soal peribadi daripada A hingga Z, mungkin saya bukan orangnya,” jelasnya.

Kekal fokus terhadap perkembangan karier, ini bukan masanya untuk mencari pengganti buat Fezrul.

“Buat masa sekarang, belum ada lagi. Jika ada pun sekadar kawan-kawan biasa saja,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran drama berkisarkan ahli bomba berjudul Hero bersama Sharnaaz Ahmad, Tiz Zaqyah dan Azhan Rani selepas ini.

Bertemu dalam Alif Imani

Usai melewati suka-duka sebagai anak seni selama bertahun-tahun lamanya, percaya atau tidak, ini kali pertama Ummi dan Fezrul bergandingan menerusi drama arahan Keoi Khalid iaitu Alif Imani.

“Ini merupakan kali pertama saya bergandingan bersama Fezrul, mungkin disebabkan beliau seorang pelakon yang berpengalaman.

“Ketika bertemu dengannya semasa sesi taklimat skrip tempoh hari, kami tidak mengambil masa yang lama untuk berkomunikasi serta membentuk persefahaman yang baik.

“Ia cukup berbeza ekoran ada ketikanya sukar untuk memulakan kata-kata dengan segelintir pelakon sebelum ini, tetapi tidak ketika bersama Fezrul.

“Persefahaman juga berjaya dibentuk memandangkan watak kami bukan tertumpu kepada soal cinta, sebaliknya lebih kepada kasih sayang,” ujar Ummi.

Sesuatu yang menarik mengenai drama Alif Imani ini, jelas Ummi, apabila tiada watak antagonis dalam drama berkenaan.

“Sebaliknya, penganiayaan terpaksa dilakukan ketika berdepan situasi terdesak apabila teraniaya,” jelasnya.

Fezrul pula meletakkan Ummi sebagai pelakon yang bagus dan hebat pada kaca matanya.

“Ummi seorang yang mudah menjiwai watak Imani dengan cukup berkesan. Dia juga cukup hebat berlakon. Berhubung soal persefahaman, ia agak sukar pada mulanya. Cuma, ia berjaya dibantu oleh Keoi supaya persefahaman itu dapat dirasai penonton,” jelasnya.

Cabaran hidupkan watak

Mengulas lanjut, Ummi menjelaskan bahawa Imani merupakan seorang gadis yatim piatu yang berasal dari kampung dan merupakan adik angkat kepada Suri lakonan Fasha Sandha dalam drama yang ditulis oleh Wan Mahani itu.

“Imani banyak terhutang budi dengan keluarga Suri serta berdepan transformasi daripada tiada apa-apa sehingga menjadi pereka fesyen yang berjaya.

“Selain itu, dia juga sangat memuja hubungan antara Suri dan suaminya, Alif yang dijayakan oleh Fezrul. Imani juga seorang yang naif, cuma pada masa sama memiliki semangat yang cukup kental dan ceria,” ujarnya.

Ungkap Ummi, Imani juga seorang isteri yang setia serta bersifat perahsia dan hanya berkongsi sesuatu bersama rakan baiknya.

“Perubahan watak Imani daripada zero to hero boleh dilihat penonton sepanjang drama sebanyak 14 episod ini,” ceritanya.

Ummi memberitahu, dia menghayati watak Imani berdasarkan tiga titik perubahan dalam kehidupan gadis itu.

“Pertama, ketika Imani belum berkahwin iaitu seorang yang sangat ceria, kemudiannya murung ketika berkahwin sebelum bersikap berdikari pada penghujung episod.

“Graf moodnya juga berbeza-beza sepanjang perjalanan cerita apabila semakin matang berbanding bersifat kebudak-budakan sebelum itu,” ujarnya.

Ummi juga gembira apabila mendapat tunjuk ajar Keoi buat kali pertama menerusi drama bersiri berkenaan.

“Saya percaya sebagai seorang pelakon, kami perlu sentiasa berkomunikasi dengan pengarah. Bukan apa, kadangkala apa yang difikirkan tidak semestinya sama dengan apa yang dikehendaki.

“Ia cukup mudah apabila Keoi sentiasa berkomunikasi bersama kami. Ada suatu babak apabila saya ingin menggunakan prop tertentu dan ia dipersetujui Keoi.

“Selain itu, beliau juga banyak membantu saya untuk membentuk watak Imani,” ujarnya.

Nada sama juga disuarakan oleh Fezrul yang selesa dibimbing Keoi tatkala menghidupkan watak Alif dalam drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu.

“Ini kali kedua saya bekerjasama dengannya selepas Anugerah Terindah bersama Sari Yanti sebelum ini. Saya senang bekerjasama dan berbincang dengannya terutamanya hal-hal berkaitan skrip, lakon layar dan sebagainya,” ceritanya lagi.

Fezrul juga menyifatkan wataknya, Alif sebagai seorang lelaki yang cukup menyayangi isterinya iaitu Suri.

“Alif berdepan konflik sehingga tercetusnya kehadiran Imani dalam hidupnya. Sebenarnya, dia memiliki pelbagai karakter yang berbeza terutamanya ketika bersama Imani dan juga Suri,” jelasnya.

Selain Ummi, Fezrul dan Fasha, drama Alif Imani turut dibintangi oleh Amar Baharin sebagai teraju utama dan mula menemui penonton pada setiap Jumaat pukul 8.30 malam di saluran TV9 bermula kelmarin.

- Gandingan pertama Ummi Nazeera, Fezrul Khan

SHARING GOOD

0 Comment to "Gandingan pertama Ummi Nazeera, Fezrul Khan"

Post a Comment