BERTENAGA dan menghiburkan! itulah gambaran yang boleh diberikan terhadap persembahan istimewa Hazama The Penglipur Lara Live di Hard Rock Cafe yang berlangsung malam Ahad lalu.
Lebih mengejutkan, sambutan daripada peminat yang hadir adalah di luar jangkaan apabila lebih kurang 1300 penonton hadir memenuhi ruang showcase sekali gus menjadikan persembahan pada malam itu cukup meriah.
Tepat jam 9.20 malam kemunculan penglipur lara, Hazama telah mencetuskan keriuhan apabila penonton mula bersorak memberi semangat terhadap penyanyi kesayangan mereka itu.
Tanpa membuang masa, penyanyi berusia 31 tahun itu membuka tirai showcase dengan persembahan lagu cover Zakiah dan Bukan Aku Tak Cinta yang menceritakan tentang perjalanan awal karier nyanyiannya.
Bertepatan dengan konsep yang dibawa, Hazama berkongsi pengalaman awal berjinak-jinak dalam nyanyian sehinggalah berjaya merebut gelaran juara dalam program realiti Akademi Fantasia ke 9 (AF9).
Meneruskan persembahan, Hazama memilih medley hits daripada kumpulan lagenda Wings dan Search seperti Semalam Yang Hangat, Biarkan Berlalu, Gadisku dan Rozana.
“Lagu-lagu inilah yang saya selalu nyanyikan sebelum bergelar penyanyi dan setiap satunya membawa makna yang tersendiri buat saya,” luahnya ketika membuat persembahan.
Tidak melupakan lagu pertama yang menaikkan namanya sebagai penyanyi, Hazama turut menyampaikan lagu Pokok ciptaan komposer Taja dan Cinta Teragung karya Kuncidemak.
Ternyata nyanyiannya tidak mengecewakan apabila Hazama berjaya melontarkan vokalnya dengan baik.
Showcase yang berjalan tidak hanya dimeriahkan dengan persembahan nyanyian semata-mata, malah telatah mesra Hazama berjaya menarik perhatian peminatnya yang tidak jemu untuk menunggu hingga ke penghujung showcase.
Impian jadi kenyataan
Showcase bertukar menjadi lebih hangat apabila anak jati Keramat, Kuala Lumpur ini mengundang penyanyi popular era 90 an, Zamani untuk naik ke pentas.
Bagaikan impian menjadi kenyataan, Hazama berkongsi rasa terujanya dapat berkongsi pentas bersama idolanya itu dengan menyampaikan lagu Nur Kasih secara berduet sebelum Zamani menyampaikan dua buah lagu Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi.
“Zamani adalah idola saya sejak dari kecil dan saya amat berterima kasih kepadanya kerana sudi untuk memenuhi undangan saya pada malam ini.
“Saya amat meminati bakatnya dan lebih bangga kami berkongsi tempat asal yang sama iaitu di Keramat,” katanya dengan penuh bangga.
Peminat yang hadir tidak melepaskan peluang untuk turut bersama-sama menyanyikan lagu-lagu yang menggamit memori era 90 an itu.
Pada acara kemuncak, selain menyanyikan lagu-lagu hit seperti Sampai Mati dan Penglipur Lara, Relakan Jiwa, Hazama turut berkongsi lagu terbaharunya Di Amaran Mama ciptaan Ajai dan Dengarkanlah hasil karyanya sendiri.
Memenuhi permintaan penonton, Hazama menyampaikan dua buah lagu cover What’s Up dan Kamelia sebagai persembahan penutup pada malam itu.
0 Comment to "Hazama The Penglipur Lara menghiburkan!"
Post a Comment