SEJAK mula bertapak di dalam industri muzik tanah air, nama Hazama bukan lagi asing malah setiap nyanyiannya sering mendapat perhatian ramai.
Lagu demi lagu, prestasi penyanyi ini tidak pernah mengecewakan tambahan pula vokal yang dimilikinya berjaya menambat halwa telinga peminat muzik tempatan.
Terus mengatur langkah ke peringkat seterusnya, Hazama buat pertama kalinya bakal beraksi menerusi showcase solo berbayar ‘ Hazama The Penglipur Lara’ di Hard Rock Cafe pada 20 Disember ini.
Bagaikan impian menjadi kenyataan, Hazama akui tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini untuk menghiburkan peminatnya di samping berkongsi cerita sepanjang showcase tersebut.
“Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hasrat untuk mengadakan showcase secara solo khas buat peminat sebagai tanda terima kasih kerana tidak jemu menyokong dan menerima lagu saya.
“Alhamdulillah, pihak Hard Rock sendiri memberi ruang ini kepada saya dan saya ambilnya sebagai satu pengalaman walaupun agak gementar kerana inilah showcase berbayar pertama saya.
“Saya harapkan peminat juga ambil peluang ini untuk bersama-sama berhibur dengan nyanyian saya,” katanya pada majlis santai bersama media di Red Box, The Garden baru-baru ini.
Bertambah istimewa, showcase ini turut mengundang penyanyi popular era 90 an, Zamani untuk turut bersama memeriahkan persembahan pada malam itu.
“Saya memilih Zamani kerana dialah salah seorang idola saya dan ramai yang tidak tahu sebenarnya kami berkongsi cerita yang sama di mana semuanya akan saya kongsikan pada malam showcase nanti.
“Pada malam itu, selain membuat persembahan solo, saya juga akan berduet beberapa buah lagu bersamanya,” janjinya.
Enggan menjadikan kisah peribadi penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu sebagai satu penghalang, Hazama meminta semua pihak memandangnya dari sudut yang positif.
“Saya tidak kisah pasal risiko sebab saya hargai bakat yang dimilikinya, apa sahaja cerita di sebaliknya saya tidak mahu ambil pusing dan saya berharap peminat yang hadir juga memiliki pemikiran yang sama.
“Secara jujurnya, saya juga tidak kisah jika idola saya itu menenggelamkan saya pada malam itu kerana bagi saya dapat mengundangnya juga sudah satu penghargaan buat saya,” jelas penyanyi lagu Sampai Mati ini.
Mengulas lanjut mengenai showcase tersebut, Hazama memberitahu, dia bakal menyampaikan 14 lagu termasuk lagu cover.
Teaser album
Selain sibuk dengan persiapan showcase, Hazama yang berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Juara Lagu 30 (AJL30) menerusi lagu Sampai Mati bakal menampilkan album terbaharunya yang dijangka siap sepenuhnya pada 2016.
“Sebelum tampil dengan album penuh, saya akan lancarkan single Di Amaran Mama ciptaan Ajai dan Ad Samad ini terlebih dahulu.
“Lagu ini menampilkan muzik yang berbeza dengan lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini dan ia lebih kepada penceritaan.
“Boleh dikatakan ia bersesuaian dengan konsep album yang saya akan keluarkan nanti.
“Single ini mungkin dikeluarkan selepas saya selesai dengan AJL 30,” jelasnya.
0 Comment to "Impian Hazama jadi kenyataan"
Post a Comment