Wednesday, 9 December 2015

Siti Nordiana bakal juarai Gegar Vaganza?


PENGLIBATAN penyanyi popular sekitar era 90-an ini menerusi Gegar Vaganza 2 mendapat perhatian banyak pihak khususnya peminat seni tempatan.

Sementelah prestasinya sebagi peserta program itu dilihat mampu mengatasi beberapa peserta otai seperti Haiza, Acong Sweetchild dan Nassier Wahab.

Ia terbukti apabila selama tujuh minggu berada dalam program tersebut empunya nama Siti Nordiana Alias ini sentiasa mendapat pujian dan komen positif daripada juri terlibat iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Mengimbas persembahannya sepanjang program tersebut, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berjaya menambat hati peminat kerana kesungguhan dan kemantapan vokalnya sebagai seorang penyanyi.

Berikan sahaja apa lagu, dia menjayakannya dengan baik.

Antara lagu pernah dinyanyikannya dan mendapat pujian hebat termasuklah Memori Berkasih, Ku Tak Akan Bersuara dan terbaharu Mengapa nyanyian asal Nicky Astria.

Kerana kejayaannya menerusi lagu Mengapa juga, Nana layak menyertai lima lagi peserta lain ke final.

Berkongsi perasaannya, akui Nana, dia bersyukur kerana usaha dan pengorbanannya selama ini berhasil.

“Alhamdulillah, dapat beraksi di pentas final merupakan impian saya dan saya sangat bersyukur kerana terpilih,” katanya.

Pada masa sama, ada yang sudah meramalkan Nana akan bergelar juara Gegar Vaganza musim kedua ini.

Berbicara mengenai ramalan itu, kata Nana, apa yang dikatakan peminat itu adalah satu doa.

“Ia juga merupakan semangat kepada saya. Insya-ALLAH, saya akan buat yang terbaik untuk semua yang mengharapkan kejayaan saya.

“Apa yang penting kini, saya mahu fokus kepada konsert final dan jika sudah menjadi rezeki saya bergelar juara, Alhamdulillah,” katanya.

Jelasnya, jika kemenangan tidak berpihak kepadanya, dia tidak ambil hati mahu pun kecewa.

“Dapat melangkah ke final pun merupakan kejayaan besar kepada saya,” katanya.


Kurangi latihan

Ditanya bagaimana persediaan atau strateginya di pentas final nanti, ujarnya, bagi lagu Putus Terpaksa, dia terpaksa mengurangkan latihan kerana lagu tersebut nadanya amat tinggi.

“Saya hanya akan praktis bahagian yang susah sahaja. Ini kerana saya tidak mahu mengganggu kemampuan vokal saya nanti. Kalau terlebih praktis, saya bimbang suara akan hilang atau pecah.

“Manakala bagi lagu Awak Kat Mana pula, saya akan pastikan untuk menghafal lagu dan liriknya dengan baik,” katanya.

Selain itu, Nana turut mendapat bimbingan kelas vokal daripada Cikgu Shafi, Erni Zakri dan Datuk Ramli MS.

Menurutnya, ia pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang menyertai program tersebut.

“Dahulu saya tidak pernah sertai kelas vokal, jadi bila ada kesempatan ini, saya gunakan sebaik mungkin.

“Barulah saya tahu teknik vokal yang sesuai apabila mahu menyanyikan sesebuah lagu itu,” katanya.

Pada masa sama, bagi memastikan vokalnya dalam keadaan baik, Nana turut mengurangkan makanan bergoreng dan berlemak.

Untuk mengekalkan stamina pula, Nana turut mendapat latihan zumba agar kekal bertenaga.

Mengakui persaingan amat sengit, katanya yang pernah popular menerusi lagu Cinta Hanya Sandaran ini memberitahu, debaran untuk beraksi di pentas final nanti semakin kuat.

“Bagi saya, semua peserta adalah saingan hebat, tiada satu pun yang saya rasakan memberi persaingan kurang.

“Nak pilih yang mana menjadi saingan terkuat amat sukar. Masing-masing punya gaya dan kehebatan yang tersendiri,” katanya.

Sedikit mengenai harapannya di konsert final nanti, akui Nana, dia hanya mahu memberikan yang terbaik.

“Saya dapat lagu yang sungguh mencabar, malah sebelum ini lagu yang dipersembahkan juga adalah lagu yang benar-benar menguji kemampuan saya sebagai penyanyi.

“Jadi di konsert akhir nanti, pasti akan ada kelainan dan saya akan tambah perisa pada persembahan tersebut,” kata penyanyi berusia 31 tahun itu.

- Siti Nordiana bakal juarai Gegar Vaganza?

SHARING GOOD

0 Comment to "Siti Nordiana bakal juarai Gegar Vaganza?"

Post a Comment