Monday, 14 December 2015

Juarai #GegarVaganza 2, Siti Nordiana Tak Mahu Kontroversi Malapkan Namanya


Penyanyi Siti Nordiana akan cuba untuk mengelak daripada dihimpit kontroversi apabila namanya kembali popular selepas menjuarai program Gegar Vaganza 2 pada malam Ahad.

Siti Nordiana atau Nana, 31, berkata, kontroversi yang tidak membantu hanya akan menjejaskan langkahnya untuk kembali mengukir nama dalam industri hiburan tanah air.

"Kalau boleh memang kita tidak mahu ada kontroversi dan gosip, pada saya ia melihat bagaimana kita memberi reaksi kepada gosip tersebut.

"Sejak masuk ke dalam industri saya memang sudah bersedia dengan perkara ini. Pada saya kalau ia sesuatu yang tidak betul, kita tidak perlu layan untuk memanjangkannya," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Nana berkata demikian ketika ditanya tentang gosip dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang ustaz.

Tambah Nana, dia sedar keputusan untuk kembali aktif ke industri hiburan secara tidak langsung mendedahkan dirinya untuk menjadi perhatian masyarakat.



Siti Nordiana bersama Faradhiya dan Ezad Lazim.

Nana diumumkan sebagai juara program Gegar Vaganza musim kedua yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Siti Nordiana atau Nana, 31, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Madrid, Sepanyol bernilai RM30,000 dan trofi sumbangan Astro.

Selain itu, Nana bakal merakamkan single terbaharunya terbitan Astro.

Dalam pada itu, Nana berkata, wang kemenangan tersebut bakal digunakan untuk membaiki rumah keluarga dan membesarkan perniagaan pakaian yang diusahakan selama ini.

"Saya ada perancangan untuk bantu keluarga dan selebihnya untuk mengembangkan lagi perniagaan butik saya.

"Insya-Allah, buat masa ini saya perlu fokus kepada single yang bakal diterbitkan pihak Astro dan tentang syarikat rakaman, ia masih lagi dalam perbincangan," ujarnya.

Selain itu, tambah Nana, biarpun sudah pernah melalui zaman kegemilangan suatu masa dahulu, namun dia masih merasakan perjalanan kerjayanya seperti artis baharu.

Pada malam kemuncak Gegar Vaganza 2, panyanyi Faradhiya berada ditempat kedua manakala bekas vokalis kumpulan Exists terpaksa berpuas hati ditempat ketiga.

- Juarai #GegarVaganza 2, Siti Nordiana Tak Mahu Kontroversi Malapkan Namanya

SHARING GOOD

0 Comment to "Juarai #GegarVaganza 2, Siti Nordiana Tak Mahu Kontroversi Malapkan Namanya"

Post a Comment