Kemangkatan putera Johor berjiwa rakyat Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim begitu dirasai ribuan rakyat Johor dari pelbagai kaum yang hadir memberi penghormatan terakhir ke atas Almarhum.
Mereka berbaris sepanjang Jalan Ayer Molek, di luar Istana Besar sehingga ke Makam Diraja Mahmoodiah.
Cuaca mendung yang diselangi hujan lebat seketika pagi tadi tidak menghalang ribuan rakyat untuk keluar memberi penghormatan.
Mereka jelas kelihatan sedih atas pemergian putera keempat Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Ramai menitiskan air mata ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Tunku Laksamana Johor itu di Bilik Singgahsana, Istana Besar.
Suasana semakin pilu bila Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berangkat tiba.
Baginda mengesat air mata ketika disambut Sultan Ibrahim.
Beberapa pemimpin negara turut hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Selesai penghormatan terakhir oleh orang awam dan orang kenamaan, jenazah kemudiannya disembahyangkan di bilik yang sama yang turut disertai Perdana Menteri.
Turut hadir ialah Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah.
Juga hadir pemimpin Singapura termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional Teo Chee Hean dan Menteri Luar merangkap Undang-undang K. Shanmugam.
Setelah selesai disembahyangkan, jenazah kemudiannya diangkat turun melalui tangga utama Istana Besar sebelum diletakkan ke atas pedati yang ditarik Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Sultan Johor, yang turut ditemani bekas Ketua Polis Johor, yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, mendahului mengiringi jenazah yang diusung sejauh tiga kilometer.
Kira-kira 30 Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan ratusan penjawat awam dan kakitangan Istana Johor mengikuti di belakang Sultan Johor mengiringi jenazah.
Putera sulung, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail; dan putera ketiga, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris berada di atas pedati mengiringi jenazah.
Tunku Ismail bersama Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman kemudiannya mengusung keranda Almarhum bersama beberapa anggota Askar Timbalan Setia kira-kira 50 meter ke makam.
Hujan lebat yang menyirami istiadat pemakaman Tunku Abdul Jalil seolah-olah berhiba menangisi pemergian putera Johor itu.
Tunku Abdul Jalil, yang mangkat pada usia 25 tahun, akhirnya selamat dimakamkan pada pukul 3.20 petang, disaksikan seluruh kerabat diraja Johor dan sekalian rakyat yang menyayangi Almarhum.
0 Comment to "Kemangkatan Putera Berjiwa Rakyat Begitu Dirasai Rakyat Johor"
Post a Comment