SELEPAS menubuhkan Kasi Gegar Entertainment, penyanyi dan komposer, Aizat Amdan meluaskan lagi bidang perniagaannya dengan membuka sebuah restoran di Ampang, sekitar hujung Januari lalu.
Lebih bermakna, kata Aizat, pembukaan Restoran Kari Gegar itu bertujuan untuk berkongsi tip dan menu rahsianya.
“Sebenarnya, resipi kari ini adalah resipi turun temurun dari kampung saya di Raub iaitu Kampung Pintu Padang, Pahang.
“Saya dah makannya sejak kecil lagi bahkan hampir setiap hari saya makan kari ini. Keunikannya terletak pada rasa santannya yang agak kurang sekali gus membuatkan ia tidak terlalu berlemak.
“Lauk kari ini merupakan diet yang baik buat mereka yang ingin kelihatan kurus. Jadi, tidak salah saya kongsikan kepada semua yang berada di luar sana,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Gegar Aizat 2016, baru-baru ini.
Lebih istimewa, penyanyi yang popular dengan lagu Sungai Lui ini juga bersedia meluangkan masa melayan peminatnya di restoran itu.
“Restoran ini dimiliki Kasi Gegar Entertainment dan juga diuruskan ahli keluarga saya yang lain.
“Resipi kari gegar mempunyai rasa pedas yang berbeza jika dibandingkan dengan kari biasa. Bahkan, restoran ini juga menawarkan masakan kampung yang lain seperti ayam goreng special, ayam kampung, sambal hitam dan sambal goreng.
“Insya-ALLAH, jika ada masa terluang saya akan berada di sini untuk beramah mesra bersama pelanggan,” katanya.
Satu bulan, satu lagu
Dalam pada itu, mengenai perkembangan karier seninya pula, penyanyi berusia 27 tahun ini baru saja melancarkan projek Gegar Aizat 2016.
Mengulas lebih lanjut, kata pelantun Pergi itu, Gegar Aizat 2016 merupakan salah satu strategi pemasaran yang dijalankan Kasi Gegar Entertainment bagi memberi kelainan pada karya terbaru daripadanya.
“Dalam projek ini, saya akan menghasilkan satu lagu pada setiap bulan sehinggalah akhir tahun ini. Kiranya tahun ini saya akan mempunyai 12 lagu dan akan menghimpunkannya kepada sebuah album.
“Ia akan diikuti dengan konsert bagi meraikan 10 tahun penglibatan saya dalam industri yang dijangka pada awal 2017 nanti,” katanya.
Pada masa sama, kata Aizat, setiap lagu yang dihasilkannya itu akan dilancarkan bersama klip video di saluran YouTube, OfficialAizatAmdan.
“Bahkan, saya juga akan membuat rakaman video aktiviti harian dan jadikannya sebuah blog khas buat peminat.
“Tahun ini adalah tahun yang mencabar buat saya kerana jadual kerja saya sudah disusun untuk setahun," katanya sambil berharap segala rancangannya itu menjadi.
0 Comment to "Aizat Amdan buka restoran"
Post a Comment