Ashraf Muslim bersama kedua-dua isterinya Dayana Lokman (kanan) dan Wan Sakinah Ahmad Saburi serta puteri sulung, Sarah Ashraf.
LUMRAH hidup berumah tangga, banyak perkara yang perlu dititikberatkan untuk mengekalkan keharmonian antara suami dan isteri terutama apabila menjalani hidup secara berpoligami.
Bagi pelakon dan usahawan, Ashraf Muslim atau nama lengkapnya, Muhd. Ashraf Muslim, 35, dia tidak pernah merancang untuk hidup berpoligami tetapi ia merupakan satu tanggungjawab yang dikurniakan Tuhan kepadanya untuk menjadi seorang lelaki yang lebih baik.
Memiliki dua orang isteri yang sangat memahami iaitu Noor Dayana Lokman, 29, dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 32, Ashraf mengakui kehidupannya sangat bahagia.
Bagaimanapun, bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Dia mengaku kadang kala berlaku juga salah faham antara dirinya dan dua isterinya itu namun berjaya diselesaikan dengan cara baik.
Selaras dengan langkahnya sebagai seorang muslim yang terus ingin berubah ke arah kebaikan, Ashraf yang cukup dikenali menerusi drama berjudul Manjalara suatu ketika dulu memberitahu kepada media bahawa dia mengimpikan kehidupan zuhud bersama keluarga besarnya.
Ditemui pada sidang akhbar teater muzikal Randai Cinduo Mato di Istana Budaya baru-baru ini, Ashraf sempat bercerita lanjut tentang kehidupan dan kerjaya seninya.
Artis Meletop!: Ashraf seperti sudah tawar hati untuk berada di hadapan kamera, sebaliknya memilih untuk dengan produk-produk lakonan bercorak islamik sahaja?
ASHRAF MUSLIM: Ya, memang begitu pendekatan yang digunakan sekarang selaras dengan peredaran usia dan perubahan status saya. Saya tidak mengalah daripada dunia seni kerana yakin boleh berdakwah menerusi karya yang bercorak islamik. Melaluinya, masyarakat boleh didedahkan dengan perkara-perkara positif yang menjadi tuntutan agama. Tidak mengapa jika ia (karya) kurang mendapat sambutan hebat seperti karya-karya yang sudah biasa dipertontonkan, tetapi apa yang diusahakan bersifat ikhlas.
Bermakna anda tidak kisah jika karya anda terutama dalam bidang lakonan tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan tidak mengambil pusing soal keuntungan?
Saya percaya jika kita ikhlas dalam melakukan sesuatu, kejayaan pasti akan menyusul. Misalnya, drama terbitan syarikat saya, Matahari Terbit Lagi menang anugerah Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2014 walaupun ia hanyalah sebuah drama yang dikategorikan sebagai drama berunsur islamik dan tidak seperti drama-drama popular lain. Ia membuktikan bahawa sentiasa ada jalan untuk berkarya. Apa yang penting kita harus percaya dengan rezeki. Soal untung atau rugi bukan menjadi kerisauan utama.
Baiklah, bagaimana dengan kehidupan sekarang sebagai seorang suami yang mempunyai dua orang isteri?
Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik. Anak-anak saya kini semakin membesar, Sarah Ashraf berusia 1 tahun 10 bulan, Adam Ashraf (5 bulan) dan Anas Ashraf (2 bulan). Kalau boleh saya tidak mahu terlalu berkongsi tentang isteri atau anak melalui perkongsian gambar di laman sosial terutama Instagram.
Memang itu adalah kehidupan peribadi tetapi selagi anda masih berstatus selebriti, tidakkah anda berasa ia tidak berbaloi untuk anda cuba mengelak berkongsi tentangnya?
Saya lihat sebelum ini apabila isteri-isteri saya berkongsi gambar di Instagram, banyak komen-komen negatif yang dilemparkan masyarakat. Saya tidak mahu itu berlaku lagi. Saya tidak mahu disebabkan perkara seperti itu, ia menyebabkan perdebatan tidak sihat dalam kalangan peminat. Jadi, tahun lalu saya menasihati Dayana dan Wan Sakinah untuk menutup laman Instagram masing-masing. Pada mulanya, mereka berkeras hati tidak mahu berbuat demikian tetapi awal tahun ini saya terkejut mereka tidak lagi mempunyai Instagram.
Boleh ceritakan bagaimana mereka boleh terbuka hati untuk berbuat demikian?
Saya bawa mereka pergi majlis ilmu akhir tahun lalu, entah bagaimana selepas itu mereka sendiri memutuskan untuk tidak lagi mempunyai akaun Instagram.
Baiklah, tentang teater muzikal Randai Cinduo Mato yang bakal dipentaskan bermula 25 sehingga 27 Mac, boleh perincikan sedikit tentangnya?
Saya akan melakonkan watak sebagai Raja Mudo. Teater ini sangat istimewa kerana ia ialah teater tradisional yang jarang diterbitkan secara komersial. Saya suka watak ini kerana sangat mencabar dan ia mengetengahkan tentang adat-adat budaya masyarakat Minangkabau. Malah, sejujurnya saya sendiri memang meminati dunia teater jadi ini adalah satu peluang yang tidak mungkin dilepaskan.
0 Comment to "Ashraf Muslim minta isteri tutup laman Instagram"
Post a Comment