Saturday, 13 February 2016

Diana Amir: Saya masih aktif, rindu berlakon


BEGITU banyak perubahan yang berlaku dalam diri Diana Amir atau nama sebenarnya, Nurdiyana Amir Hashim, sejak melahirkan puteri sulungnya, Khawlah Al Azwar pada 8 Mac 2015.

Tidak hanya bergelar ibu, Diana yang membina nama sebagai model dan pelakon, juga agak jarang kelihatan di kaca televisyen (TV) mahupun di layar perak.

Situasi itu menyebabkan ada yang beranggapan selebriti berusia 30 tahun itu tidak lagi aktif dalam bidang yang pernah mengangkat namanya itu.

"Saya masih ada di sini. Karier seni saya berjalan seperti biasa cuma tidak seaktif dulu.

"Terbaru, saya muncul sebagai pengacara dalam program Al Hidayah 2016. Itu pun, sesi penggambarannya dijalankan pada akhir tahun lalu.

"Saya terima tawaran mengacara ini sebab jadual dan waktu penggambarannya tidaklah terlalu lama berbanding drama atau filem," katanya kepada Zass.

Mengakui rindu untuk kembali berlakon, isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman ini bagaimanapun kini meletakkan keutamaannya kepada keluarga.

"Fokus saya adalah pada keluarga terutamanya Khawlah yang kini sudah pun berusia 11 bulan.

"Buat masa ini, saya menguruskannya sendiri tanpa pembantu jadi itu membuatkan masa saya banyak diberikan pada keluarga.

"Malah, kalau boleh, saya mahu melihatnya membesar di depan mata.

"Lagipun, hidup kita ini ada fasa-fasa tertentu. Jadi, saya rasa fasa untuk saya sibuk dengan bekerja telah pun selesai. Kini, apa yg terbaik untuk saya adalah dengan menjaga anak.

"Itu keutamaan saya dan jika ada perkara lain yang datang, saya menganggap ia sebagai aktiviti sampingan buat saya," katanya.

Pun begitu, itu bukanlah bermaksud pelakon filem Aku Masih Dara ini akan terus berhenti daripada terlibat dalam sebarang kerjaya seni.

"Saya tiada masalah untuk kembali semula berlakon, cuma saya perlu meneliti adakah watak yang ditawarkan bersesuaian atau tidak.

"Saya terima apa saja watak, namun apa yang penting batas pergaulan masih dijaga," katanya.

Pada masa sama, selain mengacara Diana juga aktif memenuhi jemputan sebagai penceramah bagi program-program motivasi.

“Alhamdulillah, pada saya jemputan sebagai panel adalah perkongsian ilmu bersama.

"Saya tidak menganggap diri sebagai penceramah sebaliknya sekadar berkongsi dengan masyarakat.

"Selalunya saya dijemput oleh pihak universiti, surau, masjid dan syarikat korporat," katanya.

Malah, Diana juga bercadang untuk kembali aktif menguruskan perniagaannya, Diana Amir Exlusive (DA’e) yang sudah sekian lama ditinggalkannya.

"Kali ini, saya akan lebih berfokus kepada hijab dan membuat penjenamaan semula sekali gus memperkenalkan logo baharu.

"Lagi pula, saya sering ditanya oleh peminat mengenai pemakaian hijab saya sendiri.

"Insya-ALLAH, saya akan aktif semula dalam bidang ini, sekitar awal Mac depan," katanya yang turut dilantik sebagai duta produk kecantikan, Florale.


Buka kelas Usrah

Dalam pada itu, menyedari akan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap pemahaman ajaran agama Islam, Diana berhasrat untuk membuka sebuah kelas Usrah di Petaling Jaya Convention Centre (PJCC), pada awal bulan depan.

"Sebenarnya, saya sudah lama memasang niat untuk membuka kelas Usrah ini.

"Setakat ini, ia masih lagi dalam proses pengubahsuaian dan penambahbaikan.

"Insya-ALLAH, kita akan melancarkan hari pembukaannya sempena ulang tahun pertama, Khawlah pada 8 Mac depan," katanya.

Mengulas lanjut, kata Diana, tujuan asalnya menubuhkan kelas Usrah itu bertujuan untuk 'memberi' semula sesuatu yang berguna kepada masyarakat.

"Dalam tempoh sebulan ini, saya menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan niat saya yang tergendala itu.

"Lebih-lebih lagi, sebagai orang Islam, sudah tentu saya sangat menyayangi agama saya.

"Tambahan pula, lebih banyak perkara yang perlu dipelajari. Begitu juga dengan diri saya.

Sebelum ini, pelakon filem Salam Cinta ini aktif menjalani kelas agama bersama kumpulan Usrah Fitrah di Wangsa Melawati yang turut disertai ramai seperti Irma Hasmie, Yatt Hamzah dan Heliza Helmi.

"Kalau kumpulan Usrah Fitrah khusus kepada golongan selebriti, kelas Usrah ini pula dibuka khas kepada orang ramai yang mahu mengikuti kelas agama.

"Insya-ALLAH, kelas itu dibuka mulai pertengahan Mac nanti dan bakal dilakukan pada setiap Rabu selama dua jam, bermula jam 8.30 malam.

"Kita akan lebih berfokus mengenai hukum-hakam dalam agama Islam selain ilmu akhlak, fiqah dan al-Quran," katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari instagram Diana di www.instagram.com/dianaamir atau pun e-mel melalui daemovement@gmail.com.

- Diana Amir: Saya masih aktif, rindu berlakon

SHARING GOOD

0 Comment to "Diana Amir: Saya masih aktif, rindu berlakon"

Post a Comment