Saturday, 13 February 2016

Hafiz Suip janji terbaik dalam Konsert 5 Divo malam ini


BAGI Hafiz, bukan untuk membuktikan siapa yang lebih hebat, tetapi penyatuan tiga buah negara di atas sebuah pentas sama membuatkan Konsert 5 Divo unik.

TAHUN 2016 bakal menjadi pemanas buat penyanyi Hafiz Suip untuk kembali menghangatkan kariernya yang dilihat berjalan agak perlahan sekitar tahun lepas.

Akui penyanyi berusia 27 tahun itu, ada beberapa perkara dan keutamaan yang perlu diberi perhatian sehingga membuatkan wajahnya agak kering daripada sebarang publisiti mahupun produk terbaharu.

“Antara puncanya, saya terpaksa mengambil rehat selama enam bulan sewaktu mengalami kecederaan tulang belakang. Jadi, saya fikir dari situ ia sedikit sebanyak memberi kesan apabila jarang tampil dengan sebarang persembahan.

“Malah, sepanjang tempoh enam bulan itu saya juga sibuk dengan urusan pertunangan. Jadi, soalnya di sini bukan kerana membabitkan orang lain tetapi kerana situasi saya sendiri yang sedang bergelut dengan bermacam perkara,” jelasnya.

Dalam masa sama, penyandang tiga kali Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) itu menidakkan perbandingan yang mengaitkan perkara itu dengan prestasi cemerlang ditonjolkan Akim & The Majistret.

“Saya tidak rasa faktor kebangkitan Akim & The Majistret atau pertunangan saya merupakan punca kepada perkara itu (karier perlahan). Namun saya tidak menolak andai ada yang melihat pergerakan karier saya agak perlahan pada tahun lepas.

“Saya akui, bermula tahun lepas karier dan populariti Akim melonjak naik bersama band yang disertainya. Tetapi, apa yang saya mahu tegaskan di sini ialah ia tiada kena-mengena dengan saya.

“Walhal saya cukup berbangga dengan pencapaiannya memandangkan dia merupakan rakan baik sejak kami sama-sama mula memasuki dunia hiburan. Secara peribadi, saya memang memberi sokongan sepenuhnya untuk diri dan karier dia sejak dahulu lagi,” ujarnya.



BAKAL bergelar raja sehari pada 14 Mei nanti kata Hafiz, dia banyak meminta pandangan tentang perkahwinan daripada rakan baiknya, Akim Ahmad.

Kahwin, karier

Selepas mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan bersama pilihan hati, Nur Effy pada 27 Februari tahun lalu, pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada 14 Mei depan bertempat di kampung halaman mereka di Kuching, Sarawak. Majlis resepsi pengantin lelaki pula berlangsung pada keesokan harinya.

“Alhamdulillah, setakat ini persiapan majlis perkahwinan kami berjalan dengan lancar dan sudah siap sehingga 70 peratus. Kami hanya merancang untuk sebuah majlis yang sederhana.

“Apa yang penting utamakan kehadiran kaum keluarga terdekat. Sebab kalau ikutkan, bilangan ahli keluarga saya sahaja sudah mencecah 800 orang.

“Perkahwinan itu sebenarnya untuk membina sebuah ikatan yang suci iaitu akad nikah. Sebab itu majlis perkahwinan dan pertunangan saya nanti diadakan dengan sederhana sahaja. Jujurnya, saya tidak mementingkan perkahwinan yang mahal. Untuk apa berhutang hanya kerana mahu kelihatan mewah,” ujarnya yang akan melangsungkan perkahwinan bertemakan majlis dalam taman.

Selain persiapan perkahwinan, Hafiz juga bersiap sedia untuk Konsert 5 Divo yang akan berlangsung malam ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor malam ini.

Menjanjikan persembahan terbaik, Hafiz berbangga kerana dipilih mewakili Malaysia bersama Hazama untuk konsert yang menggabungkan penyanyi dari tiga negara termasuk Indonesia dan Singapura.

“Saya sangat terharu kerana terlibat dalam konsert gabungan tiga buah negara yang berjiran. Secara tidak langsung, saya juga mewakili Malaysia bersama Hazama,” ujarnya yang akan menyanyikan lima buah lagu antaranya Ku Akui, Noktah Cinta, Awan Nano dan Bahagiamu Deritaku.

Konsert 5 Divo menampilkan penyertaan lima orang penyanyi hebat termasuklah Hazama, Judika, Taufik Batisah dan Afgan.

- Hafiz Suip janji terbaik dalam Konsert 5 Divo malam ini

SHARING GOOD

0 Comment to "Hafiz Suip janji terbaik dalam Konsert 5 Divo malam ini"

Post a Comment