Friday, 12 February 2016

Syamsul Berasa Kagum Kegigihan Yusof Haslam


Syamsul Yusof kini memegang pangkat Supritenden dalam drama Gerak Khas.

Sifat rajin bekerja Datuk Yusof Haslam tanpa mengira waktu membuatkan pengarah, Syamsul Yusof melahirkan rasa kagum dengan kegigihan ayahnya itu.

Syamsul, 32, berkata, perkara tersebut membuatkan dia cuba mencontohi ayahnya dalam mengembangkan kerjaya dia sebagai seorang anak seni.

“Kalau nak tahu, ayah saya seorang yang kuat bekerja. Bayangkan, saya sudah masuk tidur, dia masih berjaga dan dia akan bangun pagi sebelum saya.

“Saya mencontohi kegigihannya, cuma tidaklah sekuat dia. Bagi saya, rehat juga diperlukan dalam sibuk dengan kerjaya,” katanya kepada mStar Online.



Datuk Yusof Haslam

Syamsul ditemui pada majlis pelancaran drama Gerak Khas 2016 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Datuk Yusof Haslam serta barisan pelakon seperti Raja Ilya, Fattah Amin, Salina Saibi, Mas Khan, Tisha Shamsir dan Deen Maidin.

Mengenai Gerak Khas 2016, drama bersiri yang mula diterbitkan sejak tahun 1999 itu bakal disiarkan pada stiap Jumaat bermula 4 Mac ini, pukul 9 malam di TV2.

Kata Syamsul, musim terbaharu drama berbentuk kepolisan itu memberi kelainan tersendiri di mana karya tersebut akan diarahkan oleh lima pengarah iaitu Aziz M Osman, Faizal Yusof, C Kumaresan, Majed Salleh dan dia sendiri.

“Gerak Khas adalah sebuah drama lama di mana penonton setianya adalah golongan yang sudah berusia. Jadi untuk musim kali ini, saya dan pengarah lain mahu tampil dengan pendekatan berbeza untuk menarik perhatian penonton baru.

“Bukan senang, kami telah berbincang dan berselisih pendapat tentang idea masing-masing bagi mendapatkan hasil terbaik.

“Alhamdulillah, banyak pengolahan yang dibuat termasuklah skrip dan pemilihan pelakon,” ujarnya.


Barisan pelakon Gerak Khas 2016

Dalam pada itu, Syamsul berkata, sebanyak 30 peratus teknologi janaan imej berkomputer (CGI) digunakan dalam Gerak Khas 2016 sekali gus menampakkan ia sebuah drama yang berkualiti tinggi.

“Saya rasa, tiada drama.lagi yang menggunakan CGI sehingga 30 peratus dalam karya mereka.

“Memandangkan adik saya, Syafiq mempunyai syarikat CGI, iaitu Vipers Studio, ia memudahkan lagi untuk kami mengaplikasikan teknologi tersebut bagi menampilkan Gerak Khas 2016 yang lebih berkualiti,” tuturnya.

- Syamsul Berasa Kagum Kegigihan Yusof Haslam

SHARING GOOD

0 Comment to "Syamsul Berasa Kagum Kegigihan Yusof Haslam"

Post a Comment