Remy Ishak menunjukkan produk wangian keluarannya iaitu RUMI.
Pelakon Remy Ishak berkata, minyak wangi keluarannya iaitu RUMI yang dikatakan mempunyai bau seakan-akan sama seperti produk keluaran Rozita Che Wan (Che Ta) iaitu Precious By RCW adalah satu kebetulan.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 34, berkata, dia tidak pasti tentang perkara itu kerana tidak pernah mencuba produk keluaran artis wanita tersebut.
"Sama? Entahlah, saya tidak pernah pula mencuba wangian tersebut. Apa yang boleh saya katakan wangian agak subjektif untuk ditafsirkan dan persamaan itu mungkin secara kebetulan,” katanya kepada mStar Online.
Remy ditemui pada majlis pelancaran wangian tersebut di Hotel Royale Chulan di sini pada Rabu.
RUMI dikeluarkian oleh RISA Team Global (RISA) di bawah label syarikat miliknya iaitu By Remy Ishak yang dijual pada harga RM49.90 sebotol pada kandungan 35 mililiter.
Tambah Remy apa yang membuatkan dia sedikit ralat, ketika memikirkan untuk memasarkan produk wangian sendiri sejak tiga tahun lalu, Rozita terdahulu melakukannya.
Remy Ishak
Ketika itu dia hanya mampu ketawa sambil hatinya terdetik, rupa-rupanya bukan dia seorang yang memikirkan idea tersebut.
"Namun, itu bukanlah menjadi masalah bagi saya. Sekadar ralat kerana artis lain yang buat dulu apa yang kita rancangkan, itu saja," katanya.
Tambah Remy dia mengambil masa hampir dua minggu untuk mencari adunan tersendiri bagi mencipta haruman tersebut.
Katanya, apa yang menggembirakan ialah impian untuk memiliki produk sendiri selepas 10 tahun penglibatan dalam dunia seni akhirnya menjadi kenyataan.
"Idea untuk keluarkan produk wangian ini sudah timbul sejak tiga tahun lalu namun atas dasar sibuk mencipta nama di dalam arena lakonan, saya pendamkan dahulu hasrat itu. Tambahan pula ketika itu saya tiada team untuk melaksanakannya," kata Remy.
Tambahnya haruman adalah perkara yang menjadi kegilaan dia sejak dulu dan agak sukar baginya mencari bauan yang menepati cita rasa sendiri.
Bagaimanapun ilham menghasikan minyak wangi tersebut terlaksana selepas dua minggu membuat eksperimen mengadun jenama wangian antarabangsa.
"Pati wangian ini didatangkan khas dari Paris dengan serapan bau bunga-bungaan untuk haruman wanita dan kayu-kayuan untuk menyerlahkan lagi imej maskulin bagi lelaki.
"Nama RUMI pula dipilih berdasarkan nama watak saya menerusi drama terbitan Astro iaitu Rumi & Jawi yang akan disiarkan pada waktu terdekat ini," katanya.
Sebelum ini Remy pernah bergelar duta kepada produk wangian lelaki Dashing selama empat tahun sebelum kontrak itu tamat pada penghujung tahun lalu.
0 Comment to "Remy Ishak: Wangian RUMI Seperti Produk Che Ta Satu Kebetulan"
Post a Comment