Afdlin Shauki
PELAWAK terkenal ini mengakui lebih selesa menyampaikan dakwah dalam bentuk komedi supaya masyarakat dapat menerima secara lebih mudah mesej yang hendak disampaikan.
Menurut Afdlin Shauki, rata-rata pendakwah masa kini menyelitkan unsur humor dalam dakwah mereka yang dilihat mudah diterima umum.
"Adakala dakwah terlalu serius juga membuatkan masyarakat sukar menerima perkara yang hendak disampaikan.
"Mungkin kerana itu pendakwah masa kini cenderung menyampaikannya secara santai dengan menambahkan ciri-ciri jenaka dan komedi," katanya.
Pelakon dan juga pengarah ini berkata, dia mempunyai misi tersendiri apabila berhasrat menyampaikan lawak yang mempunyai pengisian mengenai Islam.
"Bagi saya ia satu cara yang baik untuk membuka mata mereka mendekati apa yang dituntut dalam Islam.
"Meskipun disampaikan dalam bentuk lawak namun ia mempunyai tujuan atau objektif yang kuat supaya tidak melupakan ajaran Islam walaupun dalam berhibur," katanya.
Berkongsi mengenai perkara itu, Afdlin berkata, hasratnya tercetus apabila melihat banyak komedi dakwah disampaikan di negara luar.
"Saya melihat pelawak-pelawak luar khususnya yang menyampaikan 'stand up comedy' melakukan persembahan lawak dengan cara sebegini.
"Bagi saya ia sesuatu yang amat baik dan tidak salah untuk mengikutnya kerana pengisian mereka banyak mengingatkan kita mengenai Islam," katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, dia tetap berhati-hati supaya apa yang ingin disampaikan tidak disalah erti sehingga dianggap mempersendakan atau memperkecilkan Islam.
"Saya akan cuba menyampaikannya menerusi pementasan Lawak Ke Der 2015 nanti untuk melihat apa respons audiens.
"Apa pun, saya harap mereka dapat menerima dan saya akan lakukan sebaik mungkin," katanya.
Sementara itu, Afdlin juga tidak akan membawakan karakter 'Datin Maimon' yang pernah dipentaskannya pada program Maharaja Lawak Mega (MLM) dan Lawak Ke Der sebelum ini.
Ulasnya, watak berkenaan telah mendapat teguran daripada pakar agama kerana menyerupai wanita.
"Saya tidak akan memainkan sebarang peranan yang menyerupai wanita lagi selepas ini. Maksudnya, tiada lagi 'Datin Maimon' dan seumpama dengannya.
"Perkara ini telah saya tanya dengan Mufti Perak, Tan Sri Harunsani Zakaria dan ianya memang tidak baik dilakukan meskipun sekadar hendak menghiburkan penonton," katanya lebih berhati-hati dengan apa yang dilakukannya sementelah telah menunaikan Umrah.
Cipta nama di Hollywood
Tidak ketinggalan bercerita mengenai perkembangan terbarunya dalam bidang pengarahan, ujar Afdlin, dia bakal mengarahkan sebuah filem yang mendapat kerjasama daripada produksi Hollywood tidak lama lagi.
Filem yang berjudul Sandakan Tears itu masih di peringkat produksi dan dia sedang menunggu proses menyiapkan skripnya oleh produksi Hollywood terbabit.
"Jika tiada aral, penggambaran akan bermula hujung tahun ini. Lagipun pemilihan pelakon masih dalam perbincangan kerana ada pelakon yang disenaraikan mempunyai jadual kerja yang padat," katanya masih belum memutuskan pelakon filem tersebut.
Afdlin dikatakan akan bekerjasama dengan pengarah tersohor Hollywood, Roger Christian mengarahkan filem tersebut.
Menariknya Hugh Jackman antara aktor yang disebut bakal terlibat dengan filem yang berkisar mengenai sejarah di Sandakan, Sabah itu.
Selain itu, pelakon Biar Betul ini rancak menjalankan perniagaan Pelikat Pants miliknya yang sudah berkembang ke Afrika Selatan dan Australia.
Dia juga aktif menerima jemputan sebagai penceramah undangan bagi program seminar dan ceramah motivasi.
- Afdlin Shauki: Tiada lagi Datin Maimon
0 Comment to "Afdlin Shauki: Tiada lagi Datin Maimon"
Post a Comment