Friday 10 April 2015

Khir Rahman: Trilogi Rock suatu magis





MENERUSI filem Rock yang dihasilkan pada tahun 2005, pengarah terkenal Mamat Khalid telah menghidupkan semula bahang muzik rock di Malaysia. Melalui filem yang sama, beliau memunculkan beberapa karakter penting sebagai penggerak naskhah dengan genre komedi muzikal itu.



Karakter-karakter seperti Zack lakonan Hasnul Rahmat, Amy Mat Piah (Que Haidar) dan Jijoe (Khir Rahman) disempurnakan dengan kemas oleh tiga aktor berkaliber itu.



Pada saat karakter Zack dikeluarkan dalam sekuel keduanya, Rock Ooo dan giliran Amy Mat Piah tidak dikembangkan peranannya dalam trilogi Rock Bro!, Jijoe masih kekal. Malah, watak yang dimainkan Khir dengan imej rambut kerinting besar dan ‘hidup mati’ untuk rock itu dikembangkan menjadi tonggak utama naskhah yang masih menjalani penggambaran sehingga 15 April ini.



Bercakap mengenai watak Jijoe, Khir mengaku kredibilitinya sebagai pelakon benar-benar teruji untuk menghidupkan karakter. Sementelah, watak itu menjadi tulang belakang kepada kehidupan serta gaya rockers sewaktu kebangkitan ledakan muzik berkenaan pada era 1980-an.



Watak Jijoe disedut dalam-dalam oleh Khir. Dia mahu generasi kini mendapat visual yang baik selain terkesan dengan lakonan yang dimainkannya sebagai pengasas grup rock yang mengaku pernah ‘bersanding’ sama hebat dengan kumpulan Search suatu ketika dulu, Rimba Bara.



Terus-menerus mengharungi liku-liku saat kejatuhan Rimba Bara, Jijoe sedaya upaya cuba mempertahankan kumpulan rock itu meskipun ada antara ahli kumpulan yang akhirnya berubah haluan menyertai aliran muzik berbeza.






“Jijoe memang tulang belakang kepada Rimba Bara. Dialah orang yang paling bermisi kerana apa pun yang terjadi, dia tetap ada untuk Rimba Bara. Tidak kisah siapa yang keluar atau apabila Amy Mat Piah (Que Haidar) tidak boleh menyanyi, Jijoe terus kuat untuk kumpulan itu.



“Watak Jijoe memang sangat relevan berada dalam ketiga-tiga sekuel Rock. Cuma menerusi Rock Bro! barulah terkeluar siapa Jijoe yang sebenar.



“Akhirnya dia merasakan perlu balik ke kehidupan sebenar, bukan sebagai rockers. Jijoe juga baru sedar bahawa dia manusia yang berjiwa kosong,” kata Khir.





Pelakon utama filem Rock Bro!, (dari kanan) Sofi Jikan, Pekin Ibrahim, Azmi Black, Khir Rahman dan Amy Juliet ketika di sesi penggambaran filem tersebut di Ipoh, Perak baru-baru ini.



Membesar dengan muzik rock



Mengakui kehidupannya berlegar dengan gelombang kebangkitan kumpulan rock seperti Search, Wings dan Lefthanded, Khir melalui zaman rock ‘kapak’, menapak dan gempak sebelum terjerumus ke lapangan rock ‘leleh’ yang dituntut dalam naskhah terbitan Mamat Khalid itu.



Cuma dalam trilogi Rock, dia perlu menyerap semangat rock ‘leleh’, jadi untuk itu, adaptasi perlu dilakukan sepenuh jiwa dan raga agar watak Jijoe benar-benar hidup.



“Kumpulan-kumpulan itu memang berada di sekeliling sewaktu saya menginjak dewasa. Bagi saya, ia tidak memberi banyak masalah. Cuma bagaimana saya mahu meletakkan diri sebagai satu watak baharu. Bukan karakter saya tetapi Jijoe.



“Kena ada perangai dan kerenah. Cara bercakap di depan orang dan di belakang pentas. Kena ada adaptasi emosi kerana dalam Rock Bro!, skop watak Jijoe makin besar. Dalam filem sebelum ini, Jijoe tidak perlu menunjukkan emosi sedih tapi kali ini emosi itu kena nampak. Jadi, cabarannya pada bahagian seumpama ini.



“Secara dasarnya, Jijoe masih sama, cuma pembawaan kisahnya sejak dari kecil hingga dewasa. Dia pemuzik dalam Rimba Bara yang mempunyai kelemahan, yang ada rasa cinta dan ada kelemahan dalam perjuangan,” ujar pelakon yang juga merupakan pengarah, penyanyi dan juga penulis skrip itu.





RIMBA BARA versi Rock Bro! dijangka menggegarkan panggung filem tempatan sekitar Mac 2016.



Trilogi Rock suatu magis



Pemilik nama Khairulizam Abdul Rahman itu menyifatkan lamaran Mamat sebagai salah seorang penerajui trilogi Rock, merupakan suatu magis.



Dia turut mengakui, terbit satu titik lembut dalam dirinya sepanjang terlibat dengan filem yang mengetengahkan sejarah warna-warni muzik dan budaya rock tanah air itu.



“Filem ini memang magis dalam hidup saya kerana ada titik lembut saya dalam filem ini. Saya ada kasih sayang untuk filem ini. Harus diakui, filem ini telah melonjakkan nama saya sebagai seorang pelakon filem.



“Jika dilihat, saya kurang membintangi drama. Kelibat saya juga jarang muncul di kaca televisyen. Bukan tidak ada tawaran langsung tetapi secara kebetulan kebanyakannya tawaran filem yang datang dulu.



“Jadi, secara tidak langsung, ia bercanggah dengan drama. Mungkin ini rezeki dan bahagian saya yang Dia beri,” ujar pelakon berusia 42 tahun itu.



Anak kepada pasangan penyanyi pop yeh yeh, Datuk A. Rahman Hassan dan Allahyarham Datin Azizah Mohamad itu juga menyifatkan filem tersebut antara takdir besar dalam hidupnya.



Katanya, pada awal penerbitan Rock, watak Jijoe bukan miliknya, namun dua minggu menjelang penggambaran, namanya dipetik menggalas watak itu.



“Nama saya naik untuk watak Jijoe. Abang Mamat menyukainya. Maka, bermulalah episod saya sebagai Jijoe dalam Rock, Rock Ooo dan terbaharu Rock Bro!.



“Saya rasa benda ini di luar dunia profesional saya. Ia adalah hasil daripada doa, kepercayaan dan hasil keberkatan. Itu sahaja yang menjadikan filem kali ini sangat berbeza. Saya juga lakukan tugas secara profesional. Bagaimanapun, untuk naskhah ini, ia lebih bersifat peribadi dan takdir,” luahnya.



Tambahnya lagi yang mengakui Rock membantu dirinya bergaul dengan orang ramai termasuk pemuzik: “Sebenarnya saya juga tidak tahu mengapa begitu sentimental dengan naskhah ini. Saya tidak pernah teragak-agak untuk menerima dan bekerjasama dalam tiga sekuel Rock.”



Dikenang



Filem Rock memperlihatkan daya tarikan pengikut setianya dan pada kali ini, Mamat cuba untuk menarik minat penonton muda dengan harapan dapat memperkenalkan mereka kepada sejarah perkembangan rock tempatan.



Memandangkan Rock Bro! merupakan sekuel terakhir Rock, garapan yang kemas dan rapi daripada pengarah kelahiran Perak itu menjadi tapak utama dalam menghasilkan filem yang mempunyai nilai komersial. Secara ringkasnya, kerja tangan Mamat pada kali ini perlu dua kali ganda lebih hebat daripada sebelumnya.



“Saya sifatkan trilogi ini sebagai satu sumbangan kepada dunia perfileman tanah air. Sebab itu, saya cakap tidak boleh hendak terlalu berkira dengan filem ini.



“Filem ini adalah sumbangan kami kepada khalayak yang menelusuri kehidupan pada tahun 1980-an iaitu zaman rock ‘kapak’ dan saya percaya ia akan berterusan.



“Saya mahu dan berharap agar filem ini terus diingati sehingga 30 atau 40 tahun akan datang kerana ia akan menjadi legenda. Menjadi legenda sehingga khalayak tidak jemu untuk menonton berkali-kali sama seperti impak filem yang ditinggalkan oleh Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee,” luah Khir.






- Khir Rahman: Trilogi Rock suatu magis

SHARING GOOD

0 Comment to "Khir Rahman: Trilogi Rock suatu magis"

Post a Comment