Thursday, 9 July 2015

Azwan Satar belum putus asa



PENTAS program realiti popular, Akademi Fantasia 2014 (AF2014) menjadi platform buat dirinya lebih serius menjalani karier nyanyian.

Biarpun tidak berjaya menempatkan diri sebagai finalis, anak jati Batu Pahat, Johor ini tidak pernah mengenal erti berputus asa mengejar impian bergelar penyanyi berbakat.

Selepas lebih kurang setahun beralih daripada pentas realiti itu, Azwan Satar terus komited mengembangkan bakat nyanyiannya untuk terus diterima.

“Alhamdulillah, perjalanan karier saya masih lagi berjalan seperti biasa. Walaupun jarang tampil di kaca televisyen, sebenarnya saya masih lagi aktif.

“Selepas keluar daripada AF2014, saya aktif dalam memenuhi undangan nyanyian dalam majlis-majlis tertentu.

“Dalam perkembangan lain, saya juga sibuk mempromosikan single pertama, Harus Akhiri Ceritanya ciptaan komposer Ajai dan penulis lirik Sheikh Qalam,” ujarnya.


Mengakui perjalanan bergelar anak seni bukanlah mudah, Azwan memberitahu semangat dan sokongan yang diberikan keluarga serta peminat terutamanya warga fan club ‘Azwanners Family’ menjadi kekuatan buat dirinya untuk terus berjuang meneruskan karier itu.

Persaingan yang wujud juga tidak menjadi penghalang buat penyanyi berusia 32 tahun ini membuktikan kemampuannya.

“Peluang memang ada, tapi ia juga bergantung pada usaha seseorang. Bagi saya, setiap perjalanan seseorang artis adalah berbeza.

“Ada penyanyi yang lebih bernasib baik dan tidak perlu berusaha lebih, begitu juga sebaliknya.

“Saya sendiri perlu berusaha lebih untuk mengetengahkan bakat dan kalau diikutkan, banyak contoh penyanyi ternama yang lain melalui perkara yang sama biarpun terpaksa mengambil masa yang lama,” katanya.


Manfaat media sosial

Enggan dilupakan peminat, Azwan mengambil inisiatif memanfaatkan media sosial sebagai platform buat dirinya terus diingati.

“Selain mendapat sokongan daripada keluarga dan fan club, saya juga menggunakan media sosial sebagai medium untuk saya mendekatkan diri dengan peminat.

“Buat ketika ini memang media sosial penting, inilah medium yang memudahkan saya untuk berkongsi dan mempromosikan perkembangan terbaharu saya bersama peminat," katanya.

Tidak mengehadkan diri dalam karier nyanyian semata-mata, Azwan turut mendedahkan dia juga memiliki hasrat untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

“Jika diberi peluang sudah tentu saya tidak akan menolak kerana saya turut berminat.

“Namun nyanyian masih lagi menjadi keutamaan buat saya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Azwan turut sibuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan kerepek pisang tanduk yang diusahakan bersama keluarganya di bawah syarikat milikinya, Azwan Syukran Enterprise.

Sempena sambutan hari raya akan tiba ini, Azwan turut bakal tampil dengan telefilem Raya AF2014 yang bersiaran menerusi Astro Ria pada hari raya pertama.

- Azwan Satar belum putus asa

SHARING GOOD

0 Comment to "Azwan Satar belum putus asa"

Post a Comment