Thursday, 9 July 2015

Julfekar gigih cipta nama



TIDAK hanya menumpukan kariernya menerusi industri muzik tempatan, komposer dan penyanyi kelahiran Sabah, Julfekar Ahmad Shah kini komited meluaskan empayarnya menembusi pasaran Filipina.

Semuanya bermula apabila lagu ciptaannya, Hilangkanlah nyanyian isterinya, Min Yasmin mendapat tempat dalam kalangan pendengar muzik negara itu.

Melihatkan sambutan itu, Julfekar membuat keputusan mengalih bahasa Hilangkanlah dalam versi Tagalog, Sa Iyo dan memilih pelakon dan penyanyi Filipina, Nikki Bacolod berkolaborasi bersama Min.

Apa yang membanggakan, biarpun sudah beberapa bulan Sa Iyo berada kukuh di dalam carta Top 10 radio ternama negara itu yang turut menyenaraikan lagu barat.

“Persaingan sangat kuat tetapi saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dua radio ternama mereka iaitu Love Radio dan Yes FM memilih untuk memutarkan lagu Sa Iyo.

“Di sana, lagu-lagu tempatan terpaksa bersaing dalam carta Top 10 yang sama dengan lagu barat dan Alhamdulillah sudah tiga bulan Sa Iyo dalam senarai itu bersama nyanyian Sia, One Direction dan Taylor Swift,” kata Julfekar.


Mengulas lanjut, komposer ini memberitahu kerjasama bersama Nikki tidak hanya terhenti dengan Sa Iyo, malah berjaya menghasilkan sebuah album penuh 2 Voices.

“Selama dua tahun berhubung dan dia saya telah menyerahkan beberapa lagu untuk Nikki nyanyikan.

“Lebih setahun tempoh menyiapkan rakaman 20 lagu, memaksa Nikki berulang studio di Manila dan Kuala Lumpur sehingga akhirnya album 2 Voices sedia untuk dipasarkan.

“Menjadi visi saya untuk bekerjasama dengan artis Filipina dan dalam masa sama, saya akan memasukkan artis-artis kita ke sana. 2 Voices menggabungkan Nikki dan Min dengan enam lagu Tagalog, dua Melayu dan dua Inggeris.

“Beberapa label besar mengajak saya bekerjasama selepas mereka mendengar lagu Hilangkanlah, sebelum dipindah kepada Sa Iyo,” katanya yang bangga apabila Min turut menyanyikan lagu solo di dalam bahasa Tagalog.


Promosi album

Tambah Julfekar, hasrat untuk menembusi pasaran negara tersebut telah lama diidamkan dan menganggap kejayaan ini sebagai titik permulaan buat dirinya.

“Kita selalu berada di dalam kelompok bahasa Melayu termasuk di Brunei dan Singapura tetapi saya mahu mencuba suatu kelainan dan sebab itu saya memilih Filipina kerana negara itu melahirkan ramai bakat besar dalam muzik dunia.

Lihat sahaja kelab-kelab atau hotel-hotel seluruh dunia yang menggunakan khidmat pemuzik mereka.

“Dalam masa yang sama, saya mahu mencabar diri untuk memasuki dunia selain Melayu. Filipina pilihan tepat kerana mereka negara bukan Muslim yang mempunyai pengetahuan muzik yang sangat luas. Muzik adalah sebahagian daripada kehidupan mereka.

“Ini cabaran saya untuk turut serta berada di dalam senarai industri muzik mereka,” katanya.

Pasangan suami isteri ini akan terbang ke Manila pada hari raya ke-5 untuk majlis pelancaran album 2 Voices, sesi bertemu peminat, lawatan ke stesen radio serta mengadakan showcase di beberapa pusat beli-belah di kota yang berpenduduk lebih 27 juta orang itu.

Julfekar memberitahu, harapannya besar untuk menjadikan album 2 Voices terutama lagu Sa Iyo sebagai jambatan kukuh mengembangkan muziknya ke Filipina sebelum merancang ke negara Asia lain.

2 Voices turut mengandungi lagu Sayang Naman, #Dream, Fikirkan Kembali, Yakap, Sanay May Bukas Pa, Pusong Duguan, Fairy Tale, Lafazkanlah, Ang Tanging Dasal dan Narito Ako.

Album ini diterbitkan sepenuhnya oleh Julfekar menerusi labelnya, MillenniumArt Sdn Bhd dengan kerjasama penulis lirik Filipina, Roosevelt T Itum.

2 Voices diedarkan oleh PolyEast Records bermula Julai ini.

- Julfekar gigih cipta nama

SHARING GOOD

0 Comment to "Julfekar gigih cipta nama"

Post a Comment