Thursday, 9 July 2015

Soffi Jikan paksa Izara jadi heroin



PELAKON filem, Soffi Jikan mengembangkan sayapnya dalam bidang pengarahan melalui filem komersil pertamanya, Gangsterock yang bakal ditayangkan pada 1 Syawal nanti di pawagam seluruh Malaysia.

Menampilkan barisan pelakon berpengalaman, filem aksi muzikal komedi itu menjadi pertaruhan berani Soffi selepas mengarahkan beberapa filem pendek dan telemovie sebelum ini.

Soffi turut akui bimbang dengan maklum balas yang bakal diterima daripada penonton kelak.

"Pertama kali saya rasa gerun, kecut perut...Sebelum ini saya hanya pelakon, saya hadiri majlis tayangan gembira saja," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum majlis tayangan Gangsterock bermula di sini, hari ini.

Meskipun berpuas hati dengan hasil filem itu, namun Soffi mengakui bahawa masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

Berkongsi pengalaman dalam mengejar pelakon perempuan, Izara Aisyah, Soffi akui terpaksa 'memaksa' pelakon cantik itu menerima tawarannya.


"Saya bingung apabila filem saya tiada heroin. Jawapan yang saya terima 'talk to my manager' dan ada yang saya tunggu dua jam tapi pelakon itu sudah balik rupanya.

"Ya, saya 'paksa' Izara berlakon filem saya. Saya siap marah Izara. Sepanjang di set penggambaran, dia 'improve' setiap hari. Hari pertama dia masih tanya-tanya sebab masih cuba belajar. Hari demi hari dia makin baik. Tapi hari terakhir dia pula arah saya," katanya.

Sementara Penerbit Eksekutif, Serina Redzuawan memberitahu Izara agak lambat memberi persetujuan kerana terlalu takut untuk berlakon di samping barisan pelakon berpengalaman.

"Izara terlalu takut untuk berlakon dengan barisan 'legend'. Itu yang Soffi 'marah' Izara bukan Soffi ugut Izara ke apa," katanya.

Gangsterock mengisahkan tentang pengembaraan seorang pemuzik rock, Shake lakonan Soffi sendiri yang mencuba nasib untuk menjadi bintang rock di Kuala Lumpur dan ingin menyatukan semua rockers bagi mengatasi isu gangster dan cetak rompak.

Di Kuala Lumpur, Shake bertemu Bromo yang dibintangi Saiful Apek dan Maya lakonan Izara Aisyah.

Filem ini turut diterajui Sharifah Amani, Khir Rahman, Aqasha, Allahyarham Harun Salim Bachik, Namron dan Syafie Naswip.

Gangsterock menyaksikan penampilan khas Fauziah Nawi, Chef Wan, Mr Os, Zaiton Sameon dan Ito Blues Gang.

- Soffi Jikan paksa Izara jadi heroin

SHARING GOOD

0 Comment to "Soffi Jikan paksa Izara jadi heroin"

Post a Comment