KANDUNGAN Leez gugur pada usia lima minggu, namun pasangan ini reda dan berharap rezeki mempunyai anak akan hadir segera pada masa akan datang.
SEPERTI ada kepulan awan mendung yang berlegar dalam jiwa penyanyi dan pelakon, Leez Rosli sewaktu dia menerima berita tentang keguguran kandungan pertamanya April lalu.
Ketika mendapat perkhabaran tersebut, hatinya bagaikan diselubungi satu rasa yang kosong, sehingga membekaskan secebis perasaan sedih dan terkilan.
Begitupun, muram yang terbuku dalam hatinya tidak kekal lama. Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Leez yang mendirikan rumah tangga bersama Aepul Drama Band pada Disember tahun lalu mengakui reda dengan takdir Allah.
Leez atau nama lengkapnya, Rosliza Rosli, 28, berkata, dia percaya bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Artis Meletop!: Apakah perasaan Leez apabila mendapat tahu bahawa kandungan pertama anda keguguran?
LEEZ: Sejujurnya, saya berasa sedikit sedih dan terkilan. Saya dan suami bercita-cita untuk mendapatkan cahaya mata dalam waktu yang terdekat. Namun, sudah tidak ada rezeki, jadi kami reda dengan ketentuan takdir.
Bilakah anda mendapat tahu tentang berita sedih itu?
Sekitar bulan April lalu, saya mengikut Aepul ke Sintok, Kedah bagi menemaninya membuat persembahan bersama Drama Band di sana. Pada waktu itu, sudah hampir seminggu saya lewat datang bulan. Jadi, apabila saya memeriksa dengan alat ujian kehamilan, ia menunjukkan tanda positif. Namun, beberapa hari kemudian, saya mengalami pendarahan kecil. Sebaik sahaja bertemu dengan doktor, saya diberitahu bahawa kandungan yang pada waktu itu berusia lima minggu tidak dapat diselamatkan.
Apakah sebab utama anda keguguran?
Menurut doktor, kemungkinan besar kandungan saya gugur akibat perjalanan jauh ke Kedah. Lagipun, saya tidak sedar sedang mengandung pada waktu itu. Jadi, saya tetap melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Bagaimanakah reaksi suami anda?
Seperti saya, Aepul juga sedih apabila mendapat tahu saya keguguran. Bagaimanapun, kami berdua positif dan menerima perkhabaran itu dengan hati yang terbuka. Jika ada rezeki, insya-Allah kami akan menimang cahaya mata suatu hari nanti.
Adakah anda menjalani proses berpantang?
Ya, selepas keguguran saya dijaga oleh ibu di rumah dan turut berpantang seperti wanita yang baru lepas bersalin. Saya juga perlu menjaga pemakanan dan mengehadkan pergerakan.
Apakah aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan?
Saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon kerana sibuk mempromosikan bisnes busana Muslimah Belle Dame secara online sepanjang Ramadan. Menerusi akaun @belledame_official, saya ada menjual tudung segera dan jubah yang direka dengan potongan menarik. Saya akan kembali aktif selepas sambutan hari raya Aidilfitri nanti.
Perancangan hari raya anda dan suami pada tahun ini?
Kami akan menyambut hari raya pertama di rumah keluarga Aepul di Bangi, Selangor. Kemudian, pada hari raya keempat, kami akan pulang ke Sarawak bagi merayakan Syawal bersama keluarga saya.
0 Comment to "Leez Rosli keguguran"
Post a Comment