Aeril menyifatkan bulan Ramadan sebagai waktu paling sesuai untuk merehatkan diri daripada sebarang aktiviti seni.
SUDAH dua minggu Ramadan berlalu. Bagi segelintir selebriti, ada yang menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan amal ibadah atau juga bulan yang sesuai untuk merehatkan diri daripada sebarang aktiviti seni.
Begitu juga dengan pelakon popular, Aeril Zafrel, 27, yang menyifatkan bulan mulia Ramadan sebagai waktu terbaik buat merehatkan seketika penglibatannya dalam dunia seni.
Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama terbaharu berjudul HidayahMu Ramadan, peluang yang terhidang dalam masa sebulan ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh suami kepada pelakon Wawa Zainal itu untuk fokus kepada perniagaan pakaian dan menguruskan keluarga.
“Macam kebanyakan artis lain, selalunya bulan puasa merupakan peluang terbaik untuk mengambil cuti rehat daripada bidang masing-masing. Ia sesuai dengan konsep bulan Ramadan itu sendiri yang menuntut umat Islam agar lebih banyak meluangkan masa untuk mengerjakan ibadah.
“Lagi pula, sebelum ini saya agak sibuk dengan bisnes dan penggambaran drama terbaharu. Jadi, bulan puasa ini saya berhenti seketika untuk berehat dan fokus kepada perniagaan. Memandangkan isteri juga sedang sarat hamil, jadi biarlah saya uruskan bisnes dan keluarga,” tuturnya ceria ketika ditemui dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Menyentuh soal isterinya, Wawa yang kini hamil tujuh bulan, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari berkata, Ramadan kali ini merupakan momen indah buatnya kerana dia berpeluang merasai pengalaman berpuasa ketika menanti kehadiran orang baharu dalam keluarga.
“Ini tahun ketiga saya berpuasa bersama isteri. Kalau diikutkan, ini kali kedua saya menyambut puasa ketika Wawa sedang hamil. Kali pertama adalah pada tahun 2013 sewaktu dia mengandungkan Attar.
“Selain mahu berehat seketika, inilah peluang terbaik untuk saya meluangkan lebih banyak masa menjaga isteri yang sedang sarat. Setakat ini, ibadah puasa kami berjalan lancar tanpa ada masalah,” ujarnya ceria.
Menjelang raya nanti, rutin keluarga kecil Aeril dan Wawa sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Mereka sekeluarga akan pulang beraya di Batu Pahat, Johor menziarah bapa saudara dan sanak-saudara sebelah keluarga Aeril. Kemudian, rencana cuti hari raya mereka diserikan dengan percutian ke negara Singapura.
“Cuti raya saya tidaklah lama macam orang lain. Seminggu sahaja. Dalam tempoh seminggu itu, saya manfaatkan sebaik mungkin untuk menziarahi sanak saudara di kampung, kemudian barulah kami sekeluarga akan ke Singapura.
“Saya memilih untuk pergi bercuti pada hari raya kerana tarikh bersalin bagi isteri adalah selepas raya. Jadi, sebelum itu saya bawa dia berjalan-jalan ke tempat orang. Nanti kalau sudah bersalin, sebulan tidak boleh keluar rumah,” selorohnya ceria.
Kata Aeril, aktiviti seninya akan bersambung selepas selesai sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Mengakui karier seninya semakin pulih pada tahun ini, Aeril menyimpan impian sendiri untuk mengekalkan rezeki yang diperolehnya.
“Alhamdulillah, tawaran semakin melimpah-ruah pada tahun ini walaupun pada tahun lepas nama saya agak suram kerana ia merupakan keputusan sendiri untuk berehat seketika daripada dunia seni.
“Kata orang, rezeki di tangan Allah. Saya sangat bersyukur kerana masih diterima ramai, terutamanya pada penerbit dan pengarah serta peminat,” tuturnya.
Tambah mengujakan, Aeril kini tidak sabar menanti filem terbaharunya berjudul CCTV yang bakal muncul di pawagam pada 30 Julai ini.
Filem bergenre seram arahan sutradara Daven R tersebut menampilkan Aeril di samping barisan pelakon lain seperti Hasnol Rahmat, Asliza Abdullah dan Ardell Aryana.
“CCTV merupakan filem seram pertama lakonan saya pada tahun 2015, jadi memang teruja untuk menantikan kemunculannya di pawagam kelak,” ujarnya yang pernah mengarah Omerta pada tahun 2014.
Bagi Aeril, selepas merasai pengalaman mengarah Omerta pada tahun lepas, dia masih belum terfikir untuk melakukannya buat kali
kedua dalam masa terdekat.
“Sekarang saya pilih untuk kembali sibuk dengan dunia lakonan. Bagi saya, buat masa sekarang saya masih belum terfikir untuk kembali mengarah.
“Pengalaman mengarah Omerta merupakan perkara terbesar yang pernah berlaku dalam dunia seni saya. Insya-Allah, jika diberi peluang saya akan mencuba untuk kali kedua suatu hari nanti,” tuturnya penuh mengharap.
0 Comment to "Aeril Zafrel cuti berlakon sempena Ramadan"
Post a Comment