AZMIR (kiri sekali) pada majlis pelancaran albumnya, Cinta Kita Berdua.
Tidak menjadikan masalah pertuturannya yang sengau sebagai halangan bergelar penyanyi, langkah Azmir Arif kini semakin panjang. Lelaki kelahiran Pulau Pinang yang baru sahaja muncul dengan album terkininya, Cinta Kita Berdua mempunyai harapan besar terhadap produk tersebut.
Selain mahu namanya dikenali dengan lebih meluas, Azmir sebenarnya menentang arus apabila menerbitkan sebuah album berbanding banyak penyanyi hanya berani mempertaruhkan single kerana pasaran muzik yang tidak menentu.
“Saya memang minat menyanyi sejak kecil. Justeru, untuk mengukuhkan nama dan memperluaskan jenama Azmir Arif, Cinta Kita Berdua diterbitkan sebagai tanda kewujudan saya. Saya berharap selepas tujuh tahun, nama saya akan terus dikenali, lebih-lebih lagi dengan kelahiran album ini,” ujarnya yang meletakkan penilaian di tangan pendengar terhadap album miliknya ini.
Dia kemudian menambah, apa yang dilakukannya bukan sekadar mahu mengejar populariti. Katanya: “Tidak dinafikan populariti itu penting tapi jika kita ikhlas dan melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh, insya-Allah populariti itu akan menyusul kemudian.”
Diterbitkan oleh Rohana Kasih Production dan diedarkan Warner Music Malaysia, album tersebut mengandungi lapan buah lagu dengan dua daripadanya merupakan minus one. Bercakap mengenai penerbitan album tersebut, kata Azmir ia dihasilkan untuk memenuhi kehendak semua peringkat umur.
“Album ini mengandungi pelbagai genre lagu termasuk pop, balada, hip hop dan juga tradisional. Sebab itu saya katakan sasaran album ini ialah semua peringkat umur,” katanya yang mengambil masa selama setahun untuk menyiapkan album tersebut.
Ditanya bagaimana dia mahu memastikan kelangsungannya dalam industri pada masa akan datang, ternyata Azmir sudah punya perancangan sendiri. Pemilik nama sebenar, Mohd. Azmira Mohamad Arif ini mempunyai keinginan menerbitkan album tradisional kerana berasa anak muda masa kini sudah melupakan irama tersebut.
“Jika album ini mendapat sambutan, saya mahu mengeluarkan album penuh lagu tradisional kerana berasa masih ramai lagi peminat irama ini hanya kerana ia jarang diputarkan di corong radio, ia hampir dilupakan,” katanya penutup bicara.
Cinta Kita Berdua yang dilancarkan pada Mei lalu mendapat sentuhan banyak komposer hebat tanah air termasuk Datuk Adnan Abu Hassan, Jeff A to Z, Alfa Booty, Khalil, Syeikh Qalam, Nira Aria, Aesar Mustafa, Faizol Rock dan Hudson Gan.
0 Comment to "Semangat Azmir Arif tidak luntur"
Post a Comment