ENGGAN selesa dengan kedudukan sebagai penyanyi, vokalis kumpulan Mega, Rahmad Tohak atau lebih dikenali sebagai Rahmad Mega mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak 20 tahun lalu.
Kerja kerasnya sepanjang tempoh itu dianggap bukanlah jalan mudah malah pelbagai dugaan terpaksa dilalui namun semuanya seakan berbaloi apabila kini dia diangkat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) yang menguruskan syarikat Water Beaute World Berhad.
“Alhamdulillah, selepas lebih kurang setahun terlibat dalam perniagaan ini, saya terpilih sebagai CEO dalam syarikat yang mana antara syarikat besar tempatan yang menghasilkan produk pemakanan dan penjagaan kesihatan.
“Kalau diikutkan pengalaman, saya sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak 20 tahun yang lalu dan sepanjang itu juga banyak selok-belok perniagaan telah saya belajar.
“Mungkin disebabkan itu juga saya dipilih untuk menyandang jawatan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan meraikan rakan niaga Water Beaute World Berhad dari seluruh negara, di Klang baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu, penyanyi berusia 46 tahun ini mendedahkan kejayaannya hari ini adalah hasil keberaniannya untuk mengambil risiko dalam bidang perniagaan.
“Untuk terlibat dalam perniagaan, kita perlu berani mengambil risiko dan kalau nak diikutkan sepanjang terlibat dalam perniagaan saya sudah banyak menanggung kerugian.
“Tapi itulah lumrah dalam perniagaan. Asalkan kita ikhlas dan bersungguh-sungguh, kerugian itu akhirnya akan terganti dengan rezeki yang lain,” ujarnya.
Promosi Hujan
Beralih kepada perkembangan nyanyiannya, Rahmad akui rezeki dalam bidang itu kembali menyebelahinya sejak muncul menerusi program Gegar Vaganza.
“Alhamdulillah, walaupun sibuk dengan perniagaan saya masih mampu untuk memberi komitmen terhadap bidang nyanyian.
“Selepas tamat dengan Gegar Vaganza, banyak undangan nyanyian yang saya terima dan selagi diperlukan saya tidak akan berhenti kerana inilah minat saya,” katanya.
Selain memenuhi undangan nyanyian, Rahmad kini sibuk mempromosikan album solo terbaharunya ‘Hujan’ yang telah dilancar sejak akhir tahun lalu.
“Sambil-sambil sibuk dengan perniagaan dan undangan nyanyian, saya juga ambil kesempatan ini untuk mempromosikan album.
“Insya-ALLAH, selepas sambutan Aidilfitri nanti, saya akan perkenalkan single kedua daripada album ini iaitu Tak Bisa Membencimu,” katanya teruja.
0 Comment to "Rahmad Mega kini CEO"
Post a Comment