MENGABDIKAN diri hampir 20 tahun dalam dunia seni tanah air, pelakon Siti Shahrizah Saifuddin, kini lebih fokus memberi tumpuan terhadap keluarga terutama anak tunggalnya, Nur Eishal Mohd Silahuddin yang kini berusia lima tahun.
Walaupun sibuk dalam mengukuhkan karier sebagai pelakon, namun peranan sebagai isteri dan ibu tetap digalas dengan penuh dedikasi.
Atas faktor itu juga, kelibat Siti Shahrizah atau nama pentasnya, Eja juga semakin sukar dilihat di kaca televisyen, sejak kebelakangan ini tak seperti dahulu.
"Sudah lama saya dalam industri ini. Apa yang tak cukup lagi?. Berapa lama lagi saya mahu memperhambakan diri?. Alhamdulillah, saya sudah pun melaluinya semua.
"Saya kini melalui fasa lain dalam hidup. Kini, saya melalui fasa untuk lebih menghargai dalam menjalani sisa-sisa hidup. Kini, keluarga adalah keutamaan saya. Lebih-lebih lagi, anak itu adalah amanah besar dari ALLAH SWT.
"Apabila sudah ada anak, pastinya komitmen kita juga akan berubah 100 peratus. Malah, suami berpesan, apabila masuk balik dalam industri ini selepas dua tahun setengah berehat, apa pun yang saya nak lakukan, keutamaan tetap pada anak," katanya kepada Zass ketika
ditemui pada Sesi Prebiu Program Raya dan Majlis Berbuka Puasa TV3, TV9 & TonTon, baru-baru ini.
Meskipun begitu, pelakon berusia 43 tahun ini tidak pernah menyifatkan karier lakonannya itu sebagai hobi.
"Berlakon adalah kerjaya utama saya. Dari dulu sampailah kini itu adalah periuk nasi saya.
"Kerana itu, saya melakukannya dengan bersungguh-sungguh, sepenuh jiwa dan raga serta ikhlas. Alhamdulillah, setelah 18 tahun, saya masih lagi berada dalam industri ini," katanya.
Tambah bintang filem Sara ini, perubahan titik fokusnya itu juga menyebabkannya kini lebih selektif dalam menerima tawaran berlakon.
"Sejujurnya, sekarang ini, tumpuan saya lebih kepada pembuatan telefilem selain menerima slot-slot istimewa seperti Maulidur Rasul, Nuzul al-Quran, Maal Hijrah, Ramadan mahu pun Syawal.
"Biasanya, untuk slot-slot istimewa ini, skrip dan jalan ceritanya adalah bagus. Tambahan pula, saya juga lakukannya bukanlah kerana hiburan semata-mata tetapi ini adalah perjalanan dakwah saya.
"Saya tak tahulah pelakon lain, tetapi biasanya setiap kali saya terima tawaran, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah meneliti skrip itu terlebih dahulu.
"Saya akan pastikan skripnya bagus dan jalan cerita yang menarik. Saya tak akan sewenang-wenangnya terima satu-satu tawaran tanpa menyemaknya. Ini prinsip saya sejak dulu," katanya.
Jelas Eja, dia juga akan memastikan watak yang ditawarkan kena dengan jiwa dan karakternya.
Malah, pelakon yang popular dalam drama bersiri Seputeh Qaseh Ramadhan lebih suka jika hasil lakonannya diingati peminat selain mahu mengekalkan kualiti dalam setiap hasil kerjanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Janin ini juga sedang berjinak-jinak kembali dalam dunia pengacaraan selepas terpilih untuk menerajui program bual bicara, Semanis Kurma di TV9.
"Saya sememangnya bermula sebagai pengacara sebelum bergelar pelakon. Seperti yang diketahui, menjadi pengacara tidak memerlukan tempoh yang lama untuk berada dalam satu-satu set penggambaran sesuai dengan jiwa saya kini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Eja bakal muncul dalam telefilem Qasih Ramadan dan Gerobok Raya arahan Heykal Hanifah pada Syawal nanti di saluran TV3.
Lebaran sederhana
Berbicara mengenai sambutan Syawal yang bakal tiba, isteri kepada Mohd Silahuddin Jamaluddin ini lebih selesa meraikannya dalam suasana yang penuh kesederhanaan.
Begitu pun, keutamaannya tetap akan diberikan kepada anak tunggalnya itu.
"Sebenarnya, sederhana itu lebih sempurna. Tapi, apa-apa pun, fokus saya tetap pada anak.
"Tak salah berbelanja sedikit untuk anak, tapi bagi suami dan saya sendiri, kami lebih selesa ‘kitar semula’ pakaian yang sedia ada dengan hanya memberi sedikit nafas baharu," katanya.
Bakal pulang ke rumah mertuanya di Ipoh, Perak, pelakon drama bersiri Tasbih Cinta ini menyifatkan hari lebaran adalah waktu terbaik untuk berkumpul dengan semua kaum keluarga.
"Sejak lima tahun lalu, saya akan pulang ke rumah mertua terlebih dahulu kerana keadaan mertua yang tidak begitu mengizinkan.
"Saya akan menghabiskan masa untuk berada di sini dalam tempoh empat ke lima hari sebelum pulang ke rumah keluarga saya di Puchong.
"Lagipun, inilah masanya saya dan mertua serta ipar duai berkumpul sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim yang terjalin," katanya.
Tambahnya lagi, sempena ketibaan lebaran juga, Eja sempat berkolaborasi bersama Najjah Boutique dalam mengeluarkan koleksi hijab pilihannya, Najjah for Eja.
"Terdapat 12 rekaan dikeluarkan Najjah Boutique bagi koleksi lebaran kali ini. Tapi, saya hanya pilih empat rekaan istimewa untuk dijual kepada peminat sejak awal Ramadan.
"Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan," katanya yang merancang menghasilkan jenama tudung sendiri.
0 Comment to "Perjalanan dakwah Eja"
Post a Comment