PELAKON filem Gerimis Mengundang, Kamal Adli mengakui seronok berkawan rapat dengan aktres, Emma Maembong.
Bagaimanapun, pelakon berusia 29 tahun ini belum berhasrat untuk mengesahkan status hubungannya itu sebagai pasangan yang sedang hangat bercinta.
Bahkan, belajar daripada kesilapan lalu, Kamal mengakui tidak mahu terburu-buru untuk kembali bercinta lagi selepas hubungan cintanya dengan aktres, Intan Ladyana terputus di tengah jalan.
"Kekasih? Itu belum lagi. Sebenarnya, saya seronok melalui fasa perkenalan sebegini. Inilah masanya untuk merapatkan hubungan. Bagi saya, ia sangat ‘manis’. Dalam fasa bercinta, masa mengoratlah paling seronok.
"Lagipun, saya juga tak nak terkejar-kejar. Malah, ibu juga bagi nasihat yang sama. Bukan saya salahkan pada hubungan lalu yang tidak menjadi, tetapi ia (hubungan) ada memberi pengajarannya juga,” katanya kepada Zass ketika ditemui di Majlis Sidang Media & Tayangan Eksklusif Program Raya Astro 2015, baru-baru ini.
Kamal bagaimanapun lebih selesa menganggap perhubungannya dengan pelakon drama bersiri Syurga Tanpa Cinta itu sebagai kawan rapat.
"Untuk saya membawa status ini ke fasa seterusnya, biarlah selepas saya berjumpa dengan keluarganya. Buat masa ini, saya tiada hak lagi. Cukuplah saya katakan, dia (Emma) adalah wanita paling rapat dengan saya.
"Saya akan cuba berhati-hati dalam membina satu hubungan baharu. Saya cuba memperbaikinya dari kesilapan lalu. Mungkin dulu saya mengambil masa yang terlalu lama, jadi saya tak nak ulanginya lagi," katanya.
Bukan perampas
Dalam pada itu, pelakon filem Niyang Rapik ini menegaskan dia bukanlah seorang perampas sehingga menjadi punca perpisahan di antara Emma dan Zizan Razak.
"Saya tak suka digelar sebagai perampas kerana saya langsung tiada kena mengena dengan punca perpisahan mereka. Masa mereka berpisah, saya tak kenal malah saya tak wujud langsung di antara kedua-duanya.
"Masa kami berjumpa, kami dalam situasi yang sama. Dia sedang kecewa dalam bercinta manakala saya pula sudah boleh bangkit dalam meneruskan kehidupan. Masa itu, saya sering menasihatkannya agar jangan berputus asa dan elakkan daripada menjadi macam saya.
"Saya faham dengan keadaannya itu dan pada masa sama saya juga kasihan apabila dia mendapat komen-komen negatif daripada peminat yang menghentamnya. Sehinggakan saya menasihatkannya agar jangan muat naik sebarang gambar saya dalam setiap laman sosialnya.
"Tapi, apabila kami kerap berlakon bersama, ia perlu dilakukan sekali gus membantu mempromosikan drama bersiri lakonan kami," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamal kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 30 episod, Jodoh Sebelah Pintu selain terbabit dalam pementasan teater Enam Jahanam arahan pelakon, Amar Asyraf di samping aktor, Aqasha, Wan Raja dan Sari Yanti.
0 Comment to "Kamal Adli tidak mahu terburu-buru"
Post a Comment