EZAD menyambut raya bersama isterinya, Areana dan anak sulung mereka, Puteri Rania Keisha serta anak kedua yang bakal lahir.
Gagak dimandikan tujuh kali sehari pun, takkan putih bulunya. Kata orang, jika sekali nama dan imej diri seseorang dicalar dengan noda hitam, selamanya empunya diri itu akan dipandang enteng oleh masyarakat sekeliling. Barangkali itu frasa yang kerap kali diguna pakai oleh masyarakat zaman dahulu apabila berbicara mengenai perilaku buruk seseorang.
Namun, masihkah laku tampalan stereotaip itu pada masa kini? Ironinya, mungkin masih ada yang menggunakannya walaupun sebenarnya peranan masyarakat itu sendiri sangat penting untuk memberi peluang kedua kepada golongan seperti ini.
Empunya nama Mohd. Rohaizad Mohamad Lazim atau cukup popular dikenali sebagai Ezad Lazim, juga pernah tersilap langkah dalam mengatur perjalanan hidupnya. Segalanya terjadi sekelip mata dan sejak itu hidupnya diekori titik-titik hitam atas kesilapan sendiri.
Masa bergulir, kini semua itu pantas disapu dengan helaian bahagia yang dikecapnya bersama isteri tercinta, Nor Azeana Ramli, 37, dan anak sulung mereka, Puteri Rania Keisha, setahun tujuh bulan.
Hadir dalam satu sesi fotografi yang diadakan di Studio Utusan baru-baru ini, penyanyi yang popular dengan lagu Dirantai Digelangi Rindu itu membuka setiap bingkisan jiwa yang pernah dihambat rasa berdosa gara-gara terjebak dengan jalan hitam. Malah, dia sangat menanti kedatangan Syawal untuk menikmati kemenangan dan perjuangannya dalam membebaskan diri daripada belenggu dadah.
Ujian
Mengambil kesempatan kemuliaan bulan Ramadan yang penuh berkat, Ezad yang cukup popular ketika zaman kegemilangan bersama kumpulan Exist sekitar tahun 1995 berkata, ini merupakan peluang terbaik buat dirinya bermuhasabah diri dengan segala ujian yang tiba-tiba datang menerpa dia dan isteri.
Isterinya yang sedang hamil enam bulan disahkan menghidap kanser gastrointestinal stromal tumors (GIST). Penyakit tersebut baru sahaja dikenal pasti oleh doktor sejurus Azeana dimasukkan ke hospital pada Februari lalu selepas mengadu sakit perut.
“Mula-mula isteri mengadu sakit perut, kemudian saya bawa dia ke Hospital Ampang untuk melakukan pemeriksaan dan doktor mengesahkan ada ketumbuhan dalam perutnya. Seminggu selepas itu, isteri selamat menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu.
“Saya fikir perkara ini sudah selesai tetapi doktor yang memeriksa isteri sekali lagi telah mengesan dia menghidap kanser. Siapa yang tidak terkejut tetapi saya terima ini semua sebagai dugaan,” tuturnya perlahan.
Disebabkan penyakit itu, kandungan isteri yang sepatutnya dijangka melahirkan pada 15 Oktober depan terpaksa diawalkan demi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku terhadap bayi dalam kandungan.
“Doktor mengesahkan kanser saya berada pada tahap ketiga dan cepat merebak. Sebab itu kondisi kesihatan sekarang agak lemah dan tidak boleh terlalu aktif.
“Alhamdulillah, sewaktu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada Februari lalu, bayi dalam kandungan tidak menerima kesan. Jika diikutkan nasihat doktor, mereka sarankan untuk melahirkan bayi ini secara pembedahan tetapi abang Ezad tidak mahu.
Katanya, kalau boleh biarlah normal sama seperti puteri sulung kami dahulu,” tuturnya tersenyum sambil mengerling manja kepada suami tercinta.
Keajaiban
Bicara isterinya itu kemudian disambut Ezad penuh pengharapan.
“Saya menyimpan harapan tinggi. Setiap kali selepas solat tarawih, saya tidak lupa memohon keajaiban daripada Tuhan supaya menyembuhkan penyakit isteri.
“Saya tahu ini ujian daripada Dia. Sekali diuji, itu tandanya manusia itu dalam perhatian Pencipta, tanda Dia sayangkan hamba-hambaNya. Semoga bulan mulia Ramadan menjadi waktu mujarab untuk saya memohon keajaiban daripada Tuhan,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Terkadang, musibah yang datang menimpa itu membawa mesej dan nilai-nilai positif untuk dimengertikan. Lantas, ia terpulang kepada manusia untuk menilai segala dugaan itu sebagai bebanan atau hikmah.
Ezad, 37, dan Areana menyifatkan dugaan yang diterima dalam sekelip mata itu mempunyai hikmah yang sungguh luar biasa. Derita yang ditanggung isteri, si suami turut berasa tempiasnya. Bahkan, curahan kasih sayang kepada isteri yang selama ini banyak berkorban semakin bertambah saban hari.
“Dugaan besar seperti ini memang ada hikmah. Apa yang saya sedar, selepas dapat tahu isteri sakit, saya semakin menginsafi diri. Perasaan sayang kepadanya semakin hari menjadi lebih mendalam.
“Saya anggap dan menerima perkara ini dengan hati yang terbuka. Tuhan mahu buka jalan buat kami untuk semakin rapat dan bertambah sayang,” tuturnya sambil tersenyum bahagia.
Ramadan, Syawal
Normal seperti umat Islam lain, sambutan Ramadan tahun ini tidak banyak bezanya buat Ezad sekeluarga. Bagi Ezad sendiri, bulan puasa kali ini memberi pengertian berbeza buat dirinya sementelah dia mengakui, Ramadan terdahulu seakan tercemar dengan profil dirinya yang gelap dilitupi najis dadah.
“Alhamdulillah, saya kini berbeza daripada Ezad yang sebelum ini. Jika dahulu, Ramadan saya seakan tiada erti, puasa pun macam tidak berpuasa. Apa lagi mahu berpuasa penuh. Sekarang, saya berjaya berpuasa penuh seperti perintah agama.
“Apa yang penting, saya sangat teruja menjalani ibadah puasa tahun ini bersama isteri dan anak., walaupun tidak dapat solat tarawih setiap hari kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.
“Istimewanya, pada bulan puasa isteri selalu memasak di rumah, jadi kami tidak berkesempatan langsung untuk berbuka di luar, apatah lagi mahu membeli juadah di bazar,” ujarnya.
Berbicara soal Syawal, bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam selepas sebulan berjuang menahan nafsu, persediaan bagi Ezad sekeluarga sederhana tetapi cukup meriah.
“Tiada apa yang istimewa, sama sahaja dengan keluarga lain. Pakaian raya sekeluarga sedondon berwarna peach. Tradisi pulang ke kampung tiada masalah dalam keluarga memandangkan saya dan isteri sama-sama berasal dari Kedah. Selepas beraya di rumah keluarga saya di Alor Setar, kami akan pulang ke Kulim pula. Begitulah cerita Syawal kami saban tahun,” seloroh Ezad penuh ceria.
Dalam perkembangan terkini kariernya, pelantun lagu Hati Mati itu sedang dalam proses menyiapkan klip video single terbaharu berjudul Cinta Terakhir bersama Waris.
Mengulas mengenai single tersebut, Ezad melahirkan keterujaannya kerana impian untuk berduet dengan Waris akhirnya tercapai.
“Sudah lama saya memasang impian untuk bernyanyi bersama Waris, sehingga pada hari saya menerima tawaran daripada Waris sendiri, saya tidak menunggu lama untuk memberi jawapan balas.
“Sekarang proses penggambaran klip video single tersebut masih tertangguh dan akan bersambung selepas raya. Pengarah mahukan konsep zaman peperangan pada zaman dahulu diterapkan dalam klip video itu, maka terpaksalah menggunakan kuda, kostum peperangan dan ramai kru.
“Sebab itu ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan,” ujarnya sambil menambah klip video itu dijalankan di Ladang Warisan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
0 Comment to "Ujian hidup Ezad Lazim, Azeana"
Post a Comment