Monday, 13 July 2015

Yatt Hamzah sambut Syawal bersama suami


Yatt Hamzah lupa sengketa lama, sambut Syawal bersama suami.

BAGI yang pernah menonton filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Tiga Abdul, pasti ingat akan dialog ini: ‘Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri’.

Begitulah yang dapat disimpulkan mengenai kisah rumah tangga yang melanda selebriti yang juga aktivis kemanusiaan, Yatt Hamzah baru-baru ini.

Enggan menoleh mahupun menuding jari mencari salah dan silap di sebalik keputusan yang dibuat, Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah tekad untuk melupakan segala kisah lalu.

Menurut Yatt, perkara paling bermakna yang dipelajarinya atas apa yang dilalui beberapa bulan lalu ialah dia belajar menjadi seorang hamba Allah yang reda dan bersyukur.

"Alhamdulillah, perkara lepas banyak mengajar dan paling bermakna ialah saya belajar menjadi hamba-Nya yang reda. Sebelum ini bila ALLAH SWT datangkan ujian dan dugaan, saya mungkin cepat rapuh.

"Namun sejak insiden itu saya menjadi lebih reda, sekali gus mendidik saya menjadi insan yang lebih bersyukur. Kini saya sedar ALLAH SWT telah berikan saya suami yang terbaik untuk saya dan saya terbaik untuk dia,” ujarnya.


Malah Yatt yang sempat menunaikan ibadah umrah bersama suami tercinta, Abd Mutalib Abd Shukor dan puteri kesayangan mereka, Suci Hanania Malika, 5, awal Ramadan lalu kini kembali melalui detik bahagia.

Lebih bermakna, Yatt sekali lagi tahun ini dapat meraikan hari Lebaran bersama keluarga tercinta.

Bakal berhari raya terlebih dahulu di rumah keluarga mertua di Ampang dan kemudiannya pulang ke Seremban, Negeri Sembilan untuk berhari raya bersama keluarga tercinta, Yatt berkata, dia melakukan persiapan secara sederhana seperti kelazimannya.

"Baju tak payah beli dah, boleh ambil dari koleksi butik sahaja (ketawa). Saya sebenarnya setiap tahun persiapan raya memang buat secara sederhana sahaja.

"Untuk tahun ini, saya akan berhari raya di rumah mertua diikuti berhari raya di Seremban pula. Memandangkan jarak tidak jauh, jadi tidaklah terkejar-kejar untuk pulang berhari raya,” ujarnya.

Tambah Yatt, setiap kali raya, menjadi kelazimannya untuk menyediakan rendang ayam Negeri Sembilan dan daging masak hitam kegemaran suaminya.

"Suami memang gemarkan rendang ayam Negeri Sembilan yang dimasak dengan cili padi. Jadi memang setiap kali raya sama ada di rumah mertua atau di rumah mak, juadah itu memang menjadi juadah wajib kami sekeluarga,” katanya.

Mengimbau peristiwa raya yang tak dapat dilupakan, Yatt berkata, dia pernah bergaduh dengan adik-beradiknya semasa hari raya dan kesilapan itu berpunca daripada dirinya.

"Kalau diingatkan balik memang sedih, walaupun dah lama berlalu, tapi bila mengenangkan kita sebagai punca pergaduhan, ia buatkan saya rasa sayu.

"Tapi bila masing-masing dah besar, dah ada keluarga sendiri, dah matang, saya jadikan apa yang pernah berlaku sebagai satu pengajaran. Dan kadangkala apa yang berlaku itu sebenarnya merapatkan lagi kami adik-beradik,” jelasnya.


Sambutan sederhana

Tidak merancang untuk mengadakan rumah terbuka, Yatt berkata, dia sedia menerima kunjungan rakan taulan pada hari lebaran nanti.

Tambahnya, keadaan kesihatan ayahnya, Hamzah, yang tidak berapa mengizinkan membuatkan mereka menyambut hari raya secara sederhana.

"Ayah saya kini menderita kanser paru-paru tahap keempat. Dia kerap batuk berdarah dan membuatkan kami sekeluarga sangat sayu dab sedih melihat keadaannya.

"Jadi tak sampai hati untuk sambut hari raya, sedangkan ayah tidak sihat. Justeru kami lebih senang menghabiskan masa bersama-sama sahaja,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai karier seninya yang semakin perlahan, Yatt berkata, dia merancang untuk menubuhkan syarikat produksi sendiri, yang secara tidak langsung membolehkannya kembali aktif di dalam bidang seni.

"Semuanya masih lagi dalam perancangan, jika ada rezeki lebih dan jika diizinkan ALLAH SWT. Bila ada produksi sendiri saya kira lebih mudah untuk kembali aktif.

"Tapi seperti saya katakan, semuanya masih dalam perancangan dan sekiranya diizinkan ALLAH SWT," akhirinya.

- Yatt Hamzah sambut Syawal bersama suami

SHARING GOOD

0 Comment to "Yatt Hamzah sambut Syawal bersama suami"

Post a Comment