Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) berhubung notis makluman terhadap penyebaran berita dan spekulasi yang tidak disahkan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Guan Eng mendakwa notis makluman itu adalah satu taktik politik untuk menghalang rakyat daripada memahami kontroversi 1MDB dengan lebih baik.
"Kenyataan sedemikian tidak boleh dibuat oleh SKMM kerana ia bertentangan dengan kebebasan maklumat yang kita amalkan.
"Mengapa apabila hanya ada berita negatif yang melibatkan pemimpin Barisan Nasional, SKMM mengeluarkan notis seperti itu?
"Tiada sebarang tindakan telah diambil apabila terdapat berita yang serupa tentang pemimpin-pemimpin pembangkang," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar di sini Jumaat.
Guan Eng berkata apabila dakwaan fitnah anaknya telah tersebar di beberapa blog, dia diberitahu bahawa tindakan akan diambil.
"Ia sudah terlalu lama dan tiada apa yang berlaku. Saya tidak fikir pun SKMM berminat," katanya.
Terdahulu, dilaporkan SKMM telah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar-gambar yang diubahsuai, berita yang tidak disahkan atau sebarang spekulasi mengenai siasatan 1MDB melalui media sosial, termasuk aplikasi pesanan mudah alih WhatsApp.
"Adalah menjadi satu kesalahan apabila berkongsi atau menyebarkan perkara-perkara atau kandungan sedemikian kerana ia mungkin melanggar undang-undang khususnya Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Jika didapati bersalah, hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan atau tidak lebih satu tahun penjara," jelas kenyataan itu," kata SKMM dalam satu kenyataan.
0 Comment to "Lim Guan Eng Bidas SKMM Keluarkan Notis"
Post a Comment