Wednesday, 7 October 2015

Fynn Jamal Pernah diejek, dituduh sombong


DEK kurang keyakinan diri, artis berbakat besar, Fynn Jamal lebih selesa menggunakan kebijaksanaan berbanding fizikal dalam meletakkan dirinya ke lapangan seni hiburan.

Atas dasar itu juga, penyanyi berusia 32 tahun itu kerap menolak pelawaan daripada rakan media untuk melakukan sesi fotografi mahupun ditemubual.

"Saya kerap diejek kerana mempunyai bentuk fizikal kurang menarik, suatu ketika dulu. Saya faham, ALLAH SWT menjadikan setiap individu mempunyai kecantikannya tersendiri.

"Tetapi apabila semua orang kerap mengatakan perkara yang sama, keadaan itu membenihkan rasa percaya dalam diri sekali gus menyebabkan saya turut terpengaruh.

"Malah, sampai ke hari ini, saya masih tidak selesa dengan berat badan sendiri sehingga menjejaskan kesihatan diri,” katanya.

Bagaimanapun, kata Fynn, situasi itu mulai berubah sejak kehadiran anak angkatnya, Bakti Arjuna Fitri Abdullah, tiga tahun.

"Alhamdulillah, saya mula menghargai dan mempercayai diri sendiri secara perlahan-lahan. Kehadiran Arjuna membawa momen indah dalam hidup sehingga menimbulkan rasa selesa dalam diri saya.

"Cinta terhadap anak dan suami adalah sesuatu yang berbeza. Apabila sudah ada anak, perasaan itu boleh diibaratkan seperti seseorang sangat memerlukan kamu sekali gus meningkatkan rasa yakin dalam diri," katanya.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Nur Affina Yanti Jamalludin ini mengakui keadaan itu juga sedikit sebanyak telah mengganggu karier seninya.

"Ya, bahkan sampai sekarang masih ada yang mengatakan saya sombong terutamanya bagi mereka yang tidak mengenali saya secara rapat. Tetapi, selepas beberapa ketika, ada yang sudah mula menerima siapa diri saya yang sebenar,” katanya.

Tambahnya, disebabkan itu juga karya yang dihasilkannya sama ada menerusi lagu mahupun puisi lebih dekat dengan masyarakat.

"Semua karya saya adalah penggabungan di antara pengalaman saya sendiri dan cerita-cerita daripada orang sekeliling. Mungkin kerana itu, orang ramai terima setiap naskhah saya. Saya suka menjadi ‘suara’ masyarakat.

"Ini kerana, kadang-kadang ada individu yang tidak pandai menyampaikan suara hati mereka sebaliknya lebih senang melakukannya menerusi karya yang dihasilkan," katanya.


Kisah di sebalik duta Caliph

Dalam pada itu, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Arjuna menyebabkan Fynn bersetuju untuk menerima tawaran menjadi duta produk Caliph Suplimen Sunnah.

"Saya reda apabila doktor mengesahkan Arjuna menghidap non-verbal autisme yang menyebabkan dia tidak boleh bercakap.

"Saya meminta tempoh untuk mencuba terlebih dahulu produk tersebut dan sekiranya berjaya barulah saya menerima tawaran itu.

"Alhamdulillah, seawal minggu pertama mencuba, Arjuna semakin menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dan ia benar-benar memeranjatkan saya," katanya.

Tidak hanya bercakap kosong, kata Fynn, perkembangan anaknya itu kemudiannya didokumentasikan dan boleh ditonton di laman Instagram miliknya melalui #JunaCaliphJourney.

"Seperti yang dijanjikan, saya akan membuat pemerhatian lalu merakamkan setiap perkembangan terbaharunya.

"Saya mahu, masyarakat melihat dan menilai sendiri akan perkembangannya dari semasa ke semasa kerana tidak mahu dikatakan sebagai ‘syok sendiri’.

"Sebenarnya, saya sangat teruja apabila melihat maklum balas positif daripada Arjuna dan situasi itu membuatkan saya tidak sabar untuk berkongsi dengan orang ramai, katanya.

Dalam perkembangan lain, Fynn kini sibuk mempromosikan single terbaharunya, Suatu Pernah selain terlibat dalam konsert jelajah bersama Datuk M Nasir di Kuantan, Johor Bahru dan Pulau Pinang, November depan.

- Fynn Jamal Pernah diejek, dituduh sombong

SHARING GOOD

0 Comment to "Fynn Jamal Pernah diejek, dituduh sombong"

Post a Comment