Wednesday, 7 October 2015

Siti Nurhaliza tukar plan!



NAMA Datuk Siti Nuhaliza Tarudin dalam arena seni tidak lagi perlu diperkenalkan lagi. Tidak hanya terkenal di Malaysia, penyanyi nombor satu negara ini juga sudah mendapat ruang dan tempat tersendiri di Indonesia, Singapura dan Brunei.

Namun nama dan pencapaian hebatnya di dalam dan luar negara tidak memberi jalan mudah buat anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini menggapai jalan mudah dalam melaksanakan Konsert Bio Muzikal yang sudah dirancangnya sebelum ini.

Tidak melihat kegagalan dan berputus asa dalam mencari penaja dan dana kewangan dalam melaksanakan konsert skala besarnya itu, Siti tidak menunggu lama untuk menggantikan konsert tersebut dengan Konsert Satu Suara Volume 2.

Konsert yang bakal berlangsung di Istana Budaya di sini pada 7 dan 8 November depan, bukan sahaja menampilkan Siti, tetapi juga menampilkan persembahan istimewa penyanyi popular dari Singapura, Datuk Ramli Sarip dan diva terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang.

Menganggap Konsert Satu Suara Volume 2 sebagai 'Plan B', Siti berkata, dia percaya, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.


"Nak kata terkilan dengan kegagalan rancangan Konsert Bio Muzikal itu tidaklah, apatah lagi kami sudah mencuba sehingga ke penghujung September ini mencari penaja dan sebagainya.

"Tapi Siti faham dengan situasi dan ekonomi negara kita sekarang. Ada hikmah di sebalik semua ini dan Siti lihat ia dari sudut positif.

"Malah Siti tidak membatalkan atau menarik diri, sebaliknya Siti ganti Konsert Bio Muzikal dengan Konsert Satu Suara Volume 2.

"Konsert tersebut tetap akan diteruskan sekiranya sudah cukup kewangan. Malah Siti rasa, kita akan ada lebih masa untuk buat persediaan yang lebih rapi untuk Konsert Bio Muzikal kelak," katanya ketika ditemui media selepas sidang media konsert tersebut di Istana Budaya, kelmarin.

Turut hadir pada sidang media berkenaan adalah Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Sebelum ini pada tahun 2010, Konsert Satu Suara pernah diadakan di Istana Budaya oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. yang menampilkan artis utama, Aizat dan Faizal Tahir, manakala Siti sebagai penampilan istimewa.

Berkongsi mengenai pemilihan dua penyanyi hebat yang akan bergandingan bersama di dalam konsert ini, Siti berkata, kedua-dua penyanyi tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri terutama dari segi vokal.

"Alhamdulillah Siti mendapat respons yang cukup baik dari ibu Hetty dan Datuk Ramli. Malah ketika menghubungi ibu Hetty dan memberitahu tentang rancangan asal menyampaikan hasrat mengenai konsert ini, dia memaklumkan sedia membantu saya.

"Begitu juga dengan Datuk Ramli yang cukup teruja sehinggakan dia sendiri sudah ada perancangan bagaimana yang dia mahu lakukan pada konsert tersebut kelak.

"Bagi Siti, kedua-dua penyanyi ini ada aura tersendiri dan vokal mereka juga cukup mantap," ujarnya.

Memberi kebebasan kepada Ramli dan Hetty untuk membuat pemilihan lagu, Siti berkata, pada konsert berkenaan nanti, mereka akan membuat persembahan solo, berduet dan kemudian bergandingan bersama.

"Buat masa ini Siti masih menggambarkan bagaimana perjalanan konsert itu nanti dan Siti juga masih memikirkan lagu apa yang akan dibawakan.

"Tapi untuk konsert dua jam, Siti jangka akan ada lebih 20 lagu yang akan dipersembahkan termasuk medley," katanya yang akan diiringi band yang diketuai oleh Aubrey Suwito.

Tiket konsert ini akan bermula Jumaat ini dan boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.AirAsiaRedtix.com

Ia dijual dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518.

Mesej gurauan

Dalam pada itu, diusik mengenai komen 'safe flight dear' pada status Instagram, Christiano Ronaldo, Siti berkata, dia bukanlah peminat bintang bola sepak terkenal dunia itu.

Katanya, ucapan tersebut tidak melibatkan perasaan dan ia hanya ucapan biasa dan meminta agar orang ramai tidak besarkan isu itu sebaliknya melihat daripada sudut positif terhadap apa yang ditulis.

“Tidak ada apa yang perlu diperbesarkan, pada Siti ucapan seperti itu adalah normal macam peminat Siti yang mendoakan semoga Siti selamat sampai ke destinasi.

“Siti bukan peminat tegar dia dan Siti tidak ambil tahu sangat tentang bola sepak dunia. Cuma beberapa berita tentang sumbangan dia berkaitan umat Islam membuatkan Siti tersentuh dan ingin melihat kehidupannya di laman sosial. Dan komen tersebut merupakan satu-satunya di Instagramnya,” ujarnya.

Siti berkata, dia tidak memadam komen tersebut, namun disebabkan komen tersebut sudah melebihi 13,000 maka sukar untuk orang lain mencari mesej yang ditulisnya.

Terharu diberi pengiktirafan

Sementara itu, ditanya perasaannya selepas tersenarai dalam buku tahunan The World’s 500 Most Influential Muslim (500 Muslim paling berpengaruh di dunia) untuk edisi tahun 2016, Siti berkata, dia terkejut, namun menghargai penghargaan yang diberikan kepadanya.

Pengiktirafan yang menjadikan Siti artis wanita pertama yang terpilih dalam senarai tersebut yang mula dikeluarkan sejak tahun 2009.

"Alhamdulillah apa yang Siti buat dihargai dan ia akan menjadi suntikan semangat untuk Siti terus berbakti dan istiqamah buat perkara yang baik. Ia hadiah yang bermakna buat Siti," katanya.

Dalam buku tersebut, Siti digambarkan sebagai penyanyi yang memenangi pelbagai anugerah muzik serta diberi penghormatan atas sumbangannya dalam kerja-kerja amal.

- Siti Nurhaliza tukar plan!

SHARING GOOD

0 Comment to "Siti Nurhaliza tukar plan!"

Post a Comment