Sunday, 13 December 2015

Janji Dayang Nurfaizah


DI Pintu Syurga nyata menjadi taruhan terbaik buat penyanyi Dayang Nurfaizah kembali bersinar dalam arena muzik tanah air setelah beberapa tahun namanya menyepi.

Lebih memberi impak, lagu ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran itu juga berjaya dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29).

Tidak terhenti di situ, Dayang terus mengorak langkahnya menampilkan single Tak Pernah Menyerah ciptaan komposer baharu, Akid.

Belum pernah mengecewakan, apabila lagu itu turut memberi kesan yang mendalam buat pendengarnya sekali gus melayakkannya ke pentas akhir AJL30.

“Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang dan rezeki untuk bersama penyanyi lain ke pentas akhir AJL30.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dan berharap ia akan berterusan dan sebagai balasan, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi pembikinan muzik video Langit Cinta, baru-baru ini.

Ditanya sejauh mana keyakinan untuk memenangi AJL kali ini, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty bagaimanapun hanya menjanjikan persembahan yang terbaik darinya.


“Untuk mengulangi kejayaan sebelum ini sebenarnya saya sendiri pun tidak tahu. Tapi saya cuba beri yang terbaik dan apa sahaja keputusan itu adalah rezeki masing-masing.

“Saya tidak boleh jangka apa pun keputusannya kerana lagu-lagu lain yang terpilih juga bagus-bagus dan penyanyinya juga bukanlah calang-calang.

“Jadi semuanya beri saingan yang hebat dan saya juga tidak mahu ketinggalan untuk beri yang terbaik,” katanya teruja.

Sebagai penyanyi yang lebih sedekad berkecimpung dalam bidang nyanyian, Dayang tidak pernah menganggap namanya tergugat bersaing dengan nama-nama baharu menerusi AJL30.

“Sebenarnya itu adalah pendapat masing-masing. Saya sendiri menganggap pertandingan seperti ini membuatkan saya lebih bersemangat dalam dunia nyanyian saya.

“Saya sendiri tidak boleh jangkakan sehingga bila saya mahu terlibat dengan pertandingan seperti ini, selagi saya rasa mahu dan mampu bertanding, selagi itulah saya akan lakukannya.

“Bagi saya ia akan beri cabaran yang tersendiri dan ia akan membuatkan saya memikirkan bagaimana untuk lakukan kelainan dan sesuatu yang segar untuk peminat.

“Saya tidak rasa seperti down-grade diri kerana dalam bertanding tidak kiralah penyanyi itu lama atau baharu ia tetap pertandingan. Kalah atau menang adalah adat pertandingan,” jelasnya panjang lebar.

OST Langit Cinta

Berkongsi lebih lanjut mengenai single terbaru, Langit Cinta, anak jati Kuching Sarawak ini tidak menafikan karya itu turut memiliki cabarannya yang tersendiri.

“Ini adalah lagu pertama saya yang turut dijadikan sebagai runut bunyi filem dan saya rasakan ia satu tanggungjawab yang besar.

“Saya tidak mahu sampaikannya sekadar nyanyian kosong tapi mahu ia dialunkan dengan penuh emosi supaya dapat dikaitkan dengan filem.

“Sebagai penyanyi saya akui agak berat untuk nyanyikannya kerana ia perlu disampaikan dengan emosi, pendengar dapat merasa apa yang saya nyanyikan,” katanya.

Pada masa sama, Dayang akui tidak memandang nama atau populariti seseorang komposer untuk memilih lagu yang ingin dinyanyikannya.

“Selalunya jika diberi lagu, saya tidak akan bertanya siapakah komposernya. Saya lebih mementingkan lagu itu sendiri.

“Saya tidak kisah sama ada komposer itu popular atau tidak, lama atau baharu. Yang penting adalah melodinya kerana itulah yang akan membawa haluan lagu itu ke mana,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

- Janji Dayang Nurfaizah

SHARING GOOD

0 Comment to "Janji Dayang Nurfaizah"

Post a Comment