Sunday, 13 December 2015

Nonny: Saya tidak ubah muka


NONNY menyifatkan watak jahat yang dibawanya dalam lakonan berkesan ekoran menerima banyak cemuhan daripada penonton.

Tatkala memandang wajah bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini, hati terus berbisik, cantik.

Sengaja menyuakan persoalan tentang wajahnya yang kini kelihatan semakin cantik berbanding awal-awal kemunculannya dahulu, Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin terus menghambur tawa.

Dalam tawa yang masih bersisa, pelakon yang sering disogokkan dengan watak antagonis itu menegaskan tidak pernah cuba mengubah wajahnya.

“Ramai yang cakap saya cantik sebab ‘buat’ muka. Sumpah, saya tidak pernah buat pembedahan plastik. Suntikan botox pun tidak. Buat apa buat semua itu kerana satu hari nanti saya juga akan tua. Apa yang Tuhan bagi, saya bersyukur. Jika ramai yang kata cantik, ia tidak lain disebabkan solekan. Saya banyak belajar teknik solekan di laman YouTube,” jelasnya yang hadir ke sesi fotografi bersama Sensasi Bintang pada hari itu dengan mengenakan solekan sendiri.


Berkongsi mengenai perkembangan terbaharunya, kata pelakon berusia 26 tahun itu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran slot Samarinda untuk TV3 yang berjudul Cinta Hati Abah.

Sekali lagi ditawarkan dengan watak antagonis, Nonny menyifatkan watak bernama Baizura itu memberi cabaran tersendiri kepadanya.

“Watak kali ini lebih jahat yang mana saya menjadi seorang anak yang biadab terhadap bapanya kerana hidup dalam kedaifan,” kongsi Nonny yang sekali lagi bakal muncul menerusi watak antagonis dalam drama Lara Terindah di slot Akasia bersama pelakon Nelydia Senrose.

Biarpun sering kali disogokkan dengan watak antagonis, Nonny menganggap ia sebagai rezeki yang sudah tertulis.

“Saya seronok bawa karakter jahat. Sebabnya, tidak semua pelakon yang mampu menjayakan watak tersebut. Memanglah ramai yang membenci sehinggakan ada yang memaki hamun saya di laman sosial. Malah, ada juga yang menjeling saya tatkala berjumpa, namun saya bersyukur kerana pihak penerbit mempercayai bakat saya dan penonton menyukai lakonan saya,” katanya lagi.

- Nonny: Saya tidak ubah muka

SHARING GOOD

0 Comment to "Nonny: Saya tidak ubah muka"

Post a Comment