Mark dan Sam bijak menyesuaikan diri dengan pelawak-pelawak dalam pasukan masing-masing.
Kesudian Sam Bunkface dan Mark Adam menyertai program Juara Parodi membuka lembaran baharu buat dua penyanyi itu.
Baik Sam mahupun Mark, kedua-duanya melafazkan keterujaan menyertai program yang turut menggandingkan pelawak-pelawak tanah air itu.
Biarpun bukan pelawak, kekuatan mereka menjayakan persembahan secara harmoni bersama rakan pelawak lain merupakan asas terpenting dalam program tersebut.
Siapa sangka, sedikit demi sedikit sisi komedi Sam dan Mark terserlah menerusi program Juara Parodi yang mula disiarkan sejak 6 November lalu.
Melakar lirik-lirik kreatif secara bersahaja dengan lagu asal yang ditukar genre muziknya juga tidak boleh sembarangan. Selebihnya, corak-corak komersial serta persembahan menepati tema mingguan menjadi penyumbang impak.
Juara Parodi yang disiarkan menerusi Astro Warna (saluran 132) setiap Jumaat, pukul 10 malam itu, mempertaruhkan 10 pasukan gandingan penyanyi dan pelawak.
Sam bergabung dengan Joey dan Syuk (SYJ), manakala Mark pula bersama Shuib dalam kumpulan Slumber Blur. Selain Mark dan Sam, Juara Parodi turut disertai oleh Misha Omar, Zulin Aziz, Sherry Ibrahim, Tomok, Black, Achey, Abam, Azlee dan Lan Senario serta ramai lagi selebriti.
Format pemarkahan pula sebanyak 70 peratus daripada juri profesional iaitu Afdlin Shauki dan Zainal Abidin, manakala 30 peratus lagi melalui undian khidmat pesanan ringkas.
Bersiaran selama 12 minggu, tiada penyingkiran dilakukan sehingga minggu ke-10 persaingan dan hadiah RM300,000 menanti juara selain trofi.
Saya cakap orang ketawa – Mark
Menyifatkan program tersebut bukan picisan, Mark nyata berdepan dengan cabaran tersendiri.
Di sudut lain, penyanyi lagu Marry Me itu juga terkejut apabila dianggap seorang yang lucu.
“Saya tidak pandai melawak, jadi saya tidak tahu di manakah sisi lucu yang ada pada diri, namun sebaik saya bercakap, orang akan ketawa.
“Mereka mengatakan pertuturan saya lucu padahal reaksi muka saya bersahaja. Itu menambahkan geli hati mereka,” ujar penyanyi berasal dari Filipina itu yang tidak terasa apabila orang ketawa setiap kali dia membuka mulut.
Bagi Mark, asalkan dapat membuatkan orang ketawa dia turut gembira. Malah, dia akan lebih bersikap ‘loyar buruk’ jika orang tidak berhenti ketawa mendengarnya bercakap.
Menyertai Juara Parodi pula, Mark menyifatkan ia sebuah program yang menuntut daya kreativiti yang tinggi.
“Kena banyak berfikir. Selain itu, kami juga kena tulis lirik sendiri dan menyanyikan lagu orang lain dengan melodi lain. Setiap kumpulan yang bersaing juga sangat hebat. Ia membuatkan diri saya sentiasa tertekan, namun program ini sangat menyeronokkan kerana dapat belajar banyak perkara baharu di samping mengenali pelawak-pelawak yang ada,” luah penyanyi yang kini muncul menerusi single baharu yang berjudul Berat.
Bagi Sam pula, peluang yang diperoleh untuk menyertai Juara Parodi tidak harus disia-siakan.
Sam dapat lepaskan tekanan
Selain ia merupakan program baharu yang menggandingkan penyanyi dan pelawak, Juara Parodi juga merupakan platform untuk dirinya melepaskan tekanan.
Sam yang bergandingan dengan Joey dan Syuk (SYJ) itu turut gembira kerana peminat Bunkface menyambut baik penyertaannya dalam program itu.
“Saya selesa menjadi diri sendiri dalam program ini. Jika sebelum ini saya hanya menyanyikan lagu-lagu Bunkface, program ini menuntut saya menyanyikan lagu orang lain dengan melodi yang lain. Ia dapat membuka minda saya untuk lebih kreatif dan sebagai platform untuk saya melepaskan tekanan.
“Joey dan Syuk akan memainkan peranan dari segi idea untuk jalan cerita yang menjurus pada komedi.
“Sebaliknya, saya membuat susunan muzik dan memastikan cerita dan lagu digabungkan selari untuk persembahan.
“Ia sesuatu yang baharu apabila penyanyi digabungkan dengan pelawak dalam sebuah program,” jelasnya yang seronok bekerjasama dengan Joey dan Syuk selain memuji bakat komedi yang ada dalam diri kedua-duanya.
Bunkface 10 tahun
Sedar atau tidak, band Bunkface yang ditubuhkan atas bait-bait perjuangan kini sudah mencecah 10 tahun.
“Alhamdulillah, tahun depan Bunkface genap 10 tahun. Pada saya, band kami mampu bertahan sejauh itu kerana kami bermula dengan lagu-lagu yang menjurus pada suntikan perjuangan dan semangat,” ungkapnya yang memberitahu Bunkface bakal muncul menerusi single baharu yang berjudul Masih Di Sini.
Lagu itu juga disifatkan Sam sebagai bukti band mereka masih utuh di arena muzik. Selain merupakan single terbaharu, kata Sam, Masih Di Sini juga merupakan lagu runut bunyi untuk filem animasi Boboiboy.
“Insya-Allah, pelancaran single itu dirancang seiring dengan tayangan filem animasi popular itu di pawagam pada awal tahun depan. Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan sebuah konsert,” kongsi suami kepada Aida Azira Husin itu.
0 Comment to "Sisi komedi Mark, perjuangan Sam"
Post a Comment