Mia dikatakan tidak berbaik dengan Mira, tetapi ia dinafikan pelakon Cinta Si Wedding Planner itu.
Sebelum ini, nama pelakon baharu Mira Filzah pernah dikaitkan menjadi punca keretakan hubungan Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad.
Semuanya disebabkan hubungan baik Mira dengan hero drama Hati Perempuan itu ketika mereka bersama-sama terlibat dalam majlis Timor Fest di Kelantan pada 25 Oktober lalu.
Gosip tersebut menjadi serius apabila ada pihak pula yang cuba melaga-lagakan mereka bertiga menerusi sebuah akaun laman sosial palsu. Secara tidak langsung, ada yang mengatakan hubungan Mira dan Mia dingin selepas itu.
Mira yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Cinta Si Wedding Planner bersama aktor terkenal, Adi Putra tidak melatah berdepan dengan gosip seperti itu.
“Benda macam ini (gosip memburukkan namanya) saya tidak dapat halang ia berlaku. Pendapat orang berbeza. Saya cuma ambil benda yang positif sahaja,” ujarnya yang menganggap Syarul sebagai rakan sesama artis sahaja.
Bagaimanapun, pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara itu mengaku ada berhubung untuk berbincang mengenai bisnes bersama Syarul selepas pertemuan di majlis berkenaan.
MIRA mengakui gementar berlakon bersama Adi Putra.
“Kami ada berbincang mengenai bisnes kecantikan. Sebabnya, saya ada produk Mora Essential, manakala Syarul pula memiliki produk kecantikan untuk wanita dan lelaki di bawah jenama AISA Mask,” kongsinya.
Menyentuh mengenai hubungannya dengan Mia pula, kata Mira, hubungannya dengan pelakon popular itu tidak dingin seperti yang digembar-gemburkan.
“Saya dan Mia tiada masalah. Hubungan kami berdua okey,” ujarnya ringkas.
Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman mula popular selepas melakonkan watak gedik bersama Hafreez Adam dalam telemovie Abang Haji yang disiarkan pada Hari Raya Haji lalu. Lakonannya yang berkesan itu menarik minat ramai penonton dan dirinya mula diintai khalayak.
Dalam perkembangan lain, Mira kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Cinta Si Wedding Planner untuk slot Akasia yang bakal ditayangkan di TV3 pada Januari depan.
Menerusi drama terbabit, Mira bakal bergandingan dengan aktor terkenal, Adi Putra sebagai teraju utama.
Bergandingan bersama Adi memberi perasaan pelbagai buat pelakon berusia 22 tahun itu.
“Ini kali pertama kali saya dan Adi berlakon bersama. Ada rasa gementar dan teruja. Sebabnya Adi adalah satu nama yang besar dalam dunia lakonan. Saya anggap ia juga satu peluang yang baik yang mana saya dapat menimba banyak ilmu lakonan daripadanya,” ujarnya yang mengaku selesa bekerjasama dengan aktor tersebut.
0 Comment to "Hubungan Mira, Mia tidak dingin"
Post a Comment