PASANGAN ini dijangka diijabkabulkan tahun depan.
Pada Ahad lepas, pelawak popular, Tauke selamat mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihan, Nadia Mohd. Affandi, 26, di Dungun, Terengganu. Situasi itu mencetuskan pelbagai polemik terutamanya dalam kalangan kumpulan Jambu yang terkejut dengan perkhabaran tidak diduga itu.
Sementelahan pula, majlis pertunangan Tauke berlangsung tidak sampai seminggu selepas rakan baiknya, Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas pada 30 November lepas.
Bersama Sensasi Bintang, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Sensasi Bintang: Tahniah apabila selamat mengikat tali pertunangan tempoh hari. Mengapa ia diadakan secara mengejut?
TAUKE: Saya tidak pernah berniat untuk menyembunyikan perkara itu. Sebenarnya, majlis itu telah lama dirancang dan sepatutnya diadakan pada 29 November sebelum ditunda kepada Ahad lepas atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Lagipun, ia hanya diadakan secara kecil-kecilan bersama keluarga terdekat saja.
Ada segelintir pihak yang mempertikaikan bahawa majlis itu seolah-olah tidak menghormati pemergian Pak Yus. Komen?
Kalau nak tahu, ia sebenarnya memang amanah arwah yang mahukan saya mendirikan rumah tangga sejak dahulu. Saya sendiri terkilan kerana Pak Yus sepatutnya menjadi pengapit pada majlis perkahwinan kami nanti. Majlis telah lama dirancang selama berbulan-bulan lamanya, sebab itu saya teruskan. Nadia dan Pak Yus cukup istimewa di hati saya, jadi saya harap kesemua pihak termasuk peminat Jambu dapat memahami perkara ini.
Boleh kongsikan serba sedikit berhubung majlis pertunangan berkenaan?
Ia dilangsungkan di kampung halaman Nadia di Kampung Balai Besar, Dungun, Terengganu. Pihak lelaki memberikan tujuh dulang hantaran termasuk cincin pertunangan sementara dibalas sembilan dulang hantaran oleh pihak perempuan.
Kalau tidak keberatan, boleh ceritakan siapa Nadia sebenarnya?
Nama sebenarnya Nadia Mohd. Affandi dan berusia 26 tahun. Dia bekerja di sebuah syarikat swasta, selain banyak membantu menguruskan perjalanan seni saya sebelum ini.
Selepas sekian lama menduda, bagaimana boleh tergerak hati untuk memperisterikan Nadia?
Saya telah berkawan lebih empat tahun bersamanya. Dia cukup memahami dan menerima saya seadanya. Selain bersikap penyabar, dia juga sangat memahami kerjaya saya sebagai artis. Insya-Allah, dia adalah jodoh saya dan berharap dapat disatukan dengannya sebagai peneman hidup sehingga ke akhir hayat.
Ada sebarang perancangan berhubung tarikh sebenar perkahwinan?
Jika diikutkan, kami merancang untuk diijabkabulkan sekitar Disember tahun depan. Cuma, jika boleh lebih cepat disatukan lebih bagus, jadi sama-samalah kita mendoakan yang terbaik. Insya-Allah, jika sudah ada tarikh nanti, saya akan menguar-uarkannya kepada semua kemudian.
Bagaimana pula dengan karier anda dan kumpulan Jambu?
Saya tidak merancang untuk membubarkan kumpulan Jambu walaupun terpaksa bergerak secara solo selepas ini. Mungkin, saya akan tampil dengan ahli dan nama kumpulan baharu jika menyertai mana-mana program seperti Maharaja Lawak Mega selepas ini.
0 Comment to "Tauke: Ia memang amanah arwah"
Post a Comment